suria

Dah habis sesi PdPR tapi murid tak nak keluar, cuba teka apa karenah pelajar yang cikgu TikTok ini layankan? – “Sebagai guru, kita kena relaks”

Cikgu Che' Ta berkongsi pengalaman membuat video TikTok selepas sesi PdPR.

BAGI segelintir pelajar, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) semakin menyeronokkan.

Golongan pendidik juga mula merancang pelbagai strategi bagi memastikan sesi pengajaran yang diketengahkan secara dalam talian mampu menarik perhatian.

Seorang guru terpaksa melayan karenah beberapa murid yang tidak mahu berganjak keluar dari aplikasi Google Meet, dengan merakamkan video menerusi aplikasi popular TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid minta panjangkan sesi PdPR, guru terpaksa buka ruang 'perbahasan' dengan rakan sekelas - "Saya ikut suara majoriti"

ARTIKEL BERKAITAN: Alahai murid! Guru akur ditegur 'masa dah habis' ketika sesi PdPR Matematik, kelas B.Inggeris lain pula ragamnya... kena tunggu semua 'bye-bye' dulu

Guru berkenaan, Annetta Zaity Zainal berkata, ketika kejadian, dia baru selesai mengajar murid-murid Tahun Enam secara dalam talian bagi subjek Sains.

Wanita berusia 43 tahun itu bagaimanapun berkata, tiga daripada 21 muridnya masih kekal berada di aplikasi Google Meet meskipun sesi kelas yang berlangsung selama sejam tamat.

"Bila mereka tak nak keluar, saya merayu. Saya cuba pujuk kata dah lapar sebab waktu makan tengah hari, tapi mereka seronok tengok saya dalam video.

"Mereka pula pujuk saya dan request minta saya buat video TikTok. Saya pun layankan aje dengan pasang lagu dan goyangkan badan macam menari," katanya kepada mStar.

pdpr tiktok 5

Cikgu Che' Ta menghidupkan suasana ceria dalam kelas dalam talian.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Che' Ta, katanya, kebanyakan murid-muridnya mengetahui dirinya aktif di laman sosial TikTok malah pernah berkongsi video-video berkaitan PdPR.

"Saya dikenali di sekolah sebagai cikgu TikTok kerana video-video saya yang pernah viral. Malah antara mereka pernah menonton video-video saya di TikTok.

"Atas permintaan followers, saya juga pernah buat live ketika mengajar kerana mereka mahu lihat bagaimana sesi PdPR dijalankan," ujarnya yang bertugas di Teluk Intan, Perak.

pdpr tiktok 3

Sesi PdPR yang dikendalikan oleh Cikgu Che'Ta.

Menurut guru yang berasal dari Kuching, Sarawak itu, dia akan memaklumkan murid-muridnya di awal sesi kelas terlebih dahulu sebelum bersiaran langsung.

"Sesi live iu dibuat menggunakan telefon bimbit dan hanya merakamkan diri saya yang sedang mengajar. Saya pula mengajar macam biasa di Google Meet menggunakan laptop.

PdPR tak boleh disamakan dengan situasi dalam kelas di sekolah. Kalau ada budak masuk kira bersyukur, jadi kita kena bagi mereka rasa seronok

ANNETTA ZAITY ZAINAL

"Kiranya ada dua kelas. Satu kelas saya mengajar murid-murid subjek Sains, dan satu lagi memberi pemahaman kepada followers tentang sesi PdPR, bezanya saya hanya memberi tumpuan ketika mengajar murid-murid sepanjang kelas online berlangsung," tambahnya.

Cikgu Che' Ta yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 21 tahun berkata, sesi memujuk bukan perkara baharu kerana ia giat diamalkannya sejak pelaksanaan PdPR.

pdpr tiktok 4

Berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang perguruan.

"Setiap kali kelas online, saya akan buat persiapan awal dan pakai baju cantik-cantik macam saya ke sekolah, siap ada name tag sebelum ambil gambar saya dan kongsi di grup WhatsApp beberapa minit lebih awal, pujuk mereka 'cikgu dah siap ni, jom lah Google Meet'.

"Kenapa saya buat begitu? Sebab saya tak nak kelas online sebagai sesi yang membosankan murid-murid. Saya mahu mereka sentiasa seronok dengan kelas online saya.

"PdPR tak boleh disamakan dengan situasi dalam kelas di sekolah. Sebagai cikgu, kita kena relaks. Kalau ada budak masuk kira bersyukur, jadi kita kena bagi mereka rasa seronok," katanya.

Dalam pada itu, kata Cikgu Che' Ta, dia amat bersyukur kerana disenangi murid-murid dan berbesar hati untuk melayan karenah murid-murid di luar waktu kelas.

"Mereka rindu sekolah, kawan-kawan juga rindu saya. Bila ada murid-murid pujuk minta saya buat video TikTok, saya layankan saja supaya mereka sentiasa rasa dihargai," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain