suria

Dulu panas baran, bermusuh adik beradik... siapa sangka jejaka berubah selepas ke kubur, siap plan kejutan buat 2 adik - “Sebak pertama kali dipeluk”

Amerul sebak ketika pertama kali dipeluk dua adiknya selepas membuat kejutan tersebut pada Khamis lalu.

RAKAMAN memaparkan seorang abang menghadiahkan dua buah telefon bimbit terpakai buat dua adiknya meraih sejuta tontonan di aplikasi TikTok.

Menurut Amerul Zakry Kamaruddin, 22, dia sama sekali tidak menyangka video itu akan meraih perhatian ramai sehingga dihujani ribuan komen netizen yang tersentuh melihat kasih-sayang antara dia dan adik-adiknya.

Malah kata anak kedua daripada tujuh beradik itu, dia sebak apabila dipeluk Nur Sufi Balqis, 14, dan Nur Nadia Maisara, 13, ketika kejutan itu dibuat di kediaman mereka di Pontian, Johor pada Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak buat kejutan selepas tak sampai hati tengok adik asyik posing dengan basikal pinjam - “Dulu sakit kanser, mungkin dia tak mau susahkan keluarga”

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan malu mengaku kita susah” - Enam beradik bergelut jual nasi kukus bisnes tinggalan arwah bapa, ibu pula terkena buatan orang

"Mereka berdua merupakan anak kelima dan keenam dalam keluarga saya. Sebenarnya mereka dah ada telefon yng dibeli oleh ibu. Tapi kami ni bukan orang senang, ibu beli telefon biasa-biasa saja.

"Saya tengok mereka macam tak berapa selesa dengan telefon yang digunakan sekarang. Jadi saya nekad nak belikan telefon second hand yang lebih bagus untuk mereka.

"Sejujurnya ketika mereka peluk, saya rasa sebak sangat. Ia merupakan kali pertama dalam hidup saya dipeluk oleh mereka berdua. Rasa bahagia yang tak boleh nak digambarkan dengan kata-kata," ujarnya.

Mesra disapa Amerul, dia mendedahkan dua telefon itu dibeli menggunakan wang gaji ketika dia bekerja di sebuah kilang, baru-baru ini.

amerul3

Amerul sebelum ini pernah bekerja di sebuah kilang di Johor.

Kini, Amerul yang juga graduan bidang Pengurusan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat telah mendapat pekerjaan baharu di sebuah gim sebagai kakitangan dalam bidang pemasaran.

"Saya baru habis belajar pada bulan Julai. Sebelum ini saya kerja kilang. Saya belikan telefon untuk mereka menggunakan wang gaji saya. Tak nak fikir panjang, saya terus beli.

Bila masuk kampus, saya mula rindu adik-adik yang lain. Sejak itu juga yang niat nak jadi abang yang terbaik

AMERUL

"Alhamdulillah, bermula bulan ini saya dah bekerja di sebuah gim. Saya sejujurnya tak sangka video tu viral. Mungkin rezeki saya bagi kat adik-adik, Allah tukarkan dengan rezeki views di TikTok.

"Kebetulan saya baru kerja dalam bidang marketing. Bolehlah saya post mengenai gim tempat saya bekerja di TikTok, manalah tahu dapat tarik pelanggan," ujarnya.

Disebalik video emosi penuh kasih-sayang itu, Amerul mendedahkan dia sebelum ini merupakan seorang yang panas baran.

Malah katanya, dia pernah naik tangan terhadap adik-adik sebelum mula berubah, beberapa tahun lalu.

amerul2

Paparan skrin video tular yang meraih sejuta tontonan di TikTok.

"Ketika remaja, umur 14 dan 15 tahun, saya seorang yang panas baran. Adik-beradik semua saya buat musuh. Masa tu darah panas, saya pernah pukul mereka. Adik juga pernah kena tampar sebab kacau saya tidur.

"Saya rasa sangat zalim dan tak berguna. Pada suatu hari, saya terniat nak ke kubur arwah adik saya. Arwah meninggal ketika baru lahir, saya pun tak sempat jumpa. Ketika di kubur, saya luahkan isi hati sendirian.

"Sejak detik itu, hidup saya mula teratur, saya juga dapat tawaran universiti. Bila masuk kampus, saya mula rindu adik-adik yang lain. Sejak itu juga yang niat nak jadi abang yang terbaik," imbas Amerul lagi.

amerul4

Amerul bersama sebahagian ahli keluarganya.

Pesan Amerul kepada individu di luar sana, hargailah adik-beradik dan ibu bapa selagi mereka masih ada.

Malah kata Amerul, dia percaya dengan konsep rezeki kurniaan Allah dan enggan sesekali bersikap kedekut dengan mereka.

"Dengan adik-beradik, usahlah kita bergaduh. Baran macam mana pun, suatu hari nanti apabila kita susah, mereka akan tolong.

"Ikatan tak akan putus. kalau ada yang nak ubah diri dan keluarga, lakukan sekarang, jangan tunggu-tunggu. Kalau bukan kita yang berubah, siapa lagi yang nak bantu?" ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain