suria

Sorry, tak minat donat! Gadis panik monyet larikan beg tangan ketika berkelah, sedar-sedar duit jatuh dari pokok

Anis bersama rakan-rakan berdepan gangguan monyet liar ketika piknik.

HARI yang bermula ceria untuk menikmati piknik bersama rakan-rakan bertukar cemas gara-gara kehadiran sekumpulan monyet liar.

Begitulah yang dialami seorang gadis apabila beg tangannya 'dibawa lari' oleh seekor monyet yang kemudiannya memanjat ke sebatang pokok yang sangat tinggi.

Menerusi video yang berjaya dirakam dan dikongsi di aplikasi TikTok, beberapa keping wang kertas milik gadis itu dilihat jatuh bertaburan dari atas pokok.

ARTIKEL BERKAITAN: Video dikejar geng monyet raih lebih 3 juta tontonan, pelajar mengaku ada buat sesuatu kepada anak monyet sebelum insiden - "Saya serik, dah insaf"

ARTIKEL BERKAITAN: Wow gigih! 11 gadis piknik tepi sungai, selamba 'angkut' cermin tandas - "Kalau selfie memang tak muat"

Gadis berkenaan, Anis Farhana Nor Azmi berkata, kejadian berlaku ketika dia berkunjung ke Pantai Teluk Batik di Lumut, Perak pada minggu lalu.

Menurut gadis berusia 19 tahun itu, dia bersama enam rakan dari Taiping tiba seawal pukul 7 pagi untuk menghabiskan masa bersama dengan piknik di tepi pantai.

"Masa tu kami belum makan lagi. Sampai saja di tepi pantai, kami letak barang masing-masing dan pergi mengambil gambar di kawasan berdekatan.

"Saya letak beg tangan atas bangku, boleh nampak dari tempat kami bergambar. Ketika itulah sekumpulan monyet datang serbu ke tempat barang-barang kami," katanya kepada mStar.

monyet kacau piknik 7

Bulatan merah menunjukkan wang kertas yang dijatuhkan monyet dari atas pokok.

Lebih mesra disapa Anis, katanya, walaupun banyak makanan yang diletakkan, tetapi barang-barang mereka yang lain menjadi tumpuan haiwan tersebut termasuk beg tangannya.

"Macam-macam makanan kami bawa untuk piknik, Ada donat, roti, sandwich, keropok. Bila kami datang dekat cuba selamatkan barang-barang, monyet-monyet macam nak serang kami.

"Monyet-monyet lain tak kacau, tapi ada seekor monyet yang duduk atas beg tangan saya sebelum bawa lari naik panjat atas pokok," ujarnya yang berasal dari Taiping.

monyet kacau piknik 3

Anis akui panik beg tangannya dirampas oleh seekor monyet.

Anak bongsu daripada enam beradik itu mengaku panik dan terus mengejar monyet berkenaan namun gagal mendapatkan semula beg tangannya.

"Dalam beg tangan tu ada kunci kereta, dompet, kad-kad bank, kad pengenalan dan lesen memandu. Memang panik sebab ada dokumen diri yang penting.

"Selalunya monyet minta makanan, tak pernah pula ambil barang-barang lain seperti beg tangan kalau ada makanan depan mata," tambahnya.

monyet kacau piknik 2

Dompet milik Anis.

Sejurus selepas itu, Anis berkata, monyet tersebut mencampakkan beberapa wang kertas dari dompetnya ke bawah sambil menambah sebahagiannya tersangkut di celah pokok.

"Saya ada bawa cash kira-kira RM50, kira-kira RM26 jatuh ke bawah dan lain tersangkut kat pokok. Kami cuba baling ranting kayu dan goyangkan pokok untuk takutkan monyet.

Paling geram part duit, suka hati monyet campak macam tu je dari atas pokok. Mujur saya tak bawa banyak cash kerana selalu guna kad debit

ANIS FARHANA NOR AZMI

"Setengah jam kemudian, monyet tu campak beg tangan. Selepas hampir sejam, baru dicampakkan dompet saya ke bawah.

"Alhamdulillah kad bank, kad pengenalan dan lesen memandu masih ada. Mungkin tempat simpan kad agak ketat, menyukarkan ia dikeluarkan monyet," tambahnya.

monyet kacau piknik 5

Anis dan rakan-rakan meneruskan piknik selepas kejadian berlaku.

Walaupun mood piknik agak terbantut pada mulanya, namun pelajar Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan, Sarawak itu lega kerana barang-barang pentingnya dikembalikan semula dan dia meneruskan piknik bersama rakan-rakan.

"Kami ambil keputusan untuk pindah lokasi dekat sikit dengan kawasan pantai, dan memastikan antara kami sentiasa menjaga barang-barang yang dibawa.

"Paling geram part duit, suka hati monyet campak macam tu je dari atas pokok. Mujur saya tak bawa banyak cash kerana selalu guna kad debit.

"Apa pun, saya tak serik untuk piknik selepas ini hanya kerana seekor monyet. Cuma saya dan rakan-rakan kena lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain