suria

Tiger Woods datang Semporna? Pemuda ini disangka legenda golf dunia, sebelum ni ada yang kata macam Jay-Z - “Saya Google, tengok apa yang sama”

Jojo dikatakan iras Tiger Woods susulan video review bilik penginapan di Semporna, Sabah.

RENTAS negeri akhirnya dibenarkan bermula 11 Oktober, maka ramai yang merancang perjalanan sama ada pulang ke kampung halaman atau melancong.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, seorang jejaka membuat review mengenai bilik penginapan di tempat pelancongan di Semporna, Sabah.

Selain keindahan pemandangan dengan kedudukan bilik menghadap laut, pemuda berkenaan turut menjadi perhatian apabila wajahnya dikatakan iras legenda golf, Tiger Woods.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Mirip pelakon Squid Game... wanita ini layankan 'permintaan' satu ofis, sampai menggeletar dapat respons Kim Joo-ryoung - "Bukan tak minat drama Korea cuma..."

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ini 'tiada masalah' wajahnya dikata iras Sari Yanti, patutlah ayu... rupa-rupanya pegang gelaran Ratu Lepa 2019

"Tiger Woods, is that you? (Tiger Woods, adakah itu kamu?)."

"Ingatkan Tiger Woods cakap Melayu."

"Tiger Woods dah tukar profesion review bilik pula," demikian antara komen netizen.

Namun jangan salah sangka, 'kembar' Tiger Woods itu sebenarnya adalah rakyat Malaysia yang berasal dari Kampung Senallang di Semporna.

mirip tiger woods 3

Pemuda ini berasal dari Kampung Senallang, Semporna.

Ketika dihubungi mStar, pemuda berusia 30 tahun itu, Daniel Mohd Zamlee Ladja Suhud mengakui terkejut apabila wajahnya disamakan dengan pemain golf terkemuka dunia itu.

"Tak pernah terlintas di fikiran saya video review bilik boleh jadi viral, apatah lagi saya dikaitkan dengan Tiger Woods.

"Macam-macam perasaan bila disamakan dengan Tiger Woods. Rasa bangga, seronok dan segan pun ada," katanya.

mirip tiger woods 6

Jojo bangga disamakan dengan Tiger Woods.

Lebih mesra disapa Jojo, pemuda itu baru berkhidmat dengan sebuah agensi pengembaraan sejak tahun lalu bagi mempromosikan tempat-tempat pelancongan menarik di Semporna.

"Jika sebelum ini ada kenalan dan adik-beradik mengaitkan saya dengan penyanyi rap Jay-Z kerana bibir saya yang tebal, sekarang dikatakan macam Tiger Woods pula.

"Saya cuba buat carian di Google untuk tengok apa yang sama. Mungkin sebab saya pakai topi ketika itu, dan bila ditengok gambar-gambar Tiger Woods, saya akui sesetengah angle (sudut) wajah saya nampak macam dia," ujarnya yang gemar memakai topi.

mirip tiger woods 2

Jojo di tempai percutian menarik di Semporna.

Walaupun mengikuti perkembangan Tiger Woods, namun guru tuisyen sambilan itu lebih berminat bermain tenis selain menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Saya dulu aktif bermain tenis. Percaya atau tidak, minat saya itu dipengaruhi oleh Datuk Nicol David (bekas ratu skuasy negara) kerana skuasy permainannya seperti tenis.

Macam-macam perasaan bila disamakan dengan Tiger Woods. Rasa bangga, seronok dan segan pun ada

DANIEL MOHD ZAMLEE LADJA SUHUD

"Bagi sukan tenis, saya meminati bintang tenis Rusia, Maria Sharapova dan bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal," katanya sambil menambah turut menyokong pasukan bola sepak Jerman dan kelab Manchester United serta bintang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Menurut anak ketujuh daripada 12 beradik itu, tarikan pelancongan di Semporna bukan sekadar terletak pada keindahan pulau dan lautnya saja, tetapi juga makanannya.

mirip tiger woods 4

Jojo melakukan aktiviti menyelam.

"Saya tak fokus pulau-pulau saja. Pertamanya saya akan mempromosikan tentang makanan di sini. Rata-rata pengunjung ke sini nak makan udang galah.

"Di Semporna, terdapat banyak makanan laut yang lebih segar dan murah. Selain udang galah, ada banyak makanan tradisi seperti masakan daripada ubi kayu atau sinaglag, tiyulak itum atau sup daging masak hitam serta latok atau rumpai laut," tambahnya.

mirip tiger woods 5

Jojo berkhidmat di sebuah agensi pengembaraan sejak setahun lalu.

Dalam pada itu, selain aktiviti berenang, snorkeling dan menyelam, Jojo turut menarik minat orang ramai untuk menyukai aktiviti luar kesukaannya iaitu mendaki (hiking).

"Jika ada masa lapang, saya akan hiking hingga ke puncak Bukit Tengkorak di mana dari situ boleh nampak Pulau Boheydulang yang dilabelkan sebagai Sleeping Beauty Island kerana bentuknya kelihatan seperi orang sedang tidur," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain