suria

Anak mengamuk nak makan ais krim pukul 11 malam, bapa terpaksa ‘kawtim’ dengan akak kaunter drive-thru - “Kalau kami yang cakap, memang dia tak percaya”

Intan Shamira dan suaminya terpaksa berpakat dengan pekerja di kaunter pandu lalu McDonalds untuk memujuk anaknya yang merengek meminta aiskrim.

SEBUT sahaja ais krim atau coklat, sememangnya ia merupakan makanan kegemaran kanak-kanak.

Baru-baru ini tular satu video di media sosial menunjukkan seorang bapa terpaksa menggunakan 'cara halus' berpakat dengan dua pekerja di kaunter pandu lalu sebuah restoran makanan segera, kerana mahu mengelakkan anak kecilnya makan ais krim ketika lewat malam.

Sehingga kini video lucu berkenaan meraih melebihi 289,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Drama ‘aiskrim’ 2 beranak buat pemuda ini insaf, ganjaran simple tapi cukup bermakna – “Belajar rajin-rajin tau, nanti ayah belanja lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 6 tahun tunggu di kereta, beritahu teringin ais krim coklat... wedding planner sebak dengar kisah ‘tabung khas buat arwah ibu’

Berkongsi cerita dengan mStar, Intan Shamira Abdul Kader berkata dia dan suaminya, Muhamad Syafiq Fadlan terpaksa berpakat dan menggunakan 'pihak ketiga' kerana anak kecil mereka yang berusia dua tahun, Irdina Sumaiyah, merengek meminta ais krim kegemarannya.

"Rumah kami tak jauh pun dari McDonalds. Malam tu Sumaiyah tiba-tiba mengamuk nak makan ais krim. Ketika itu dah nak dekat pukul 11 malam.

"Saya dan suami pun hidupkan enjin kereta nak bawa pergi McDonalds. Suami yang cadangkan guna taktik tu... ibarat 'reverse psychology'. Dia minta pekerja dekat kaunter pandu lalu tu supaya yakinkan Sumaiyah kononnya ais krim dah habis.

"Mujurlah mereka sporting dan pandai main peranan. Kalau mereka tak tolong 'kawtim', mesti taktik ni tak jalan. Sumaiyah percaya cakap pekerja-pekerja tu. Kalau kami yang cakap, memang dia tak percaya," kata wanita berusia 29 tahun ini.

Senang disapa sebagai Intan, ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata anak kecilnya itu sememangnya menggemari aiskrim dan kentang goreng dari restoran makanan segera berkenaan.

sumaiyah 2

Gelagat Irdina Sumaiyah yang dikongsi ibunya di TikTok sering menghiburkan netizen.

"Kalau pergi McDonalds, memang dua makanan ini yang jadi kegemaran. Tapi Sumaiyah bukanlah penggemar tegar McDonalds. Hanya tiba-tiba dia teringat atau kebetulan pergi ke sana, baru dia minta.

"Kami elakkan beri selalu kerana tak mahu dia fikir, kalau minta je mesti dapat. Jadi kena guna pendekatan atau taktik untuk memujuknya. Lagipun masa dia nak makan tu tak sesuai... dah malam.

"Nanti gula terlebih, makin aktif dan susah pula nak tidur," ujarnya yang turut mengusahakan bisnes makanan, Nasi Lemak Kukus Induk, Cawangan Kulai, Johor.

Kami elakkan beri selalu kerana tak mahu dia fikir, kalau minta je mesti dapat. Jadi kena guna pendekatan atau taktik untuk memujuknya.

INTAN SHAMIRA ABDUL KADER

IBU

Apa yang lebih lucu, menurut Intan, dia dan suaminya masih belum membelikan ais krim kepada Sumaiyah sejak insiden berkenaan.

"Tak sangka pula video ni viral. Kalau nak tahu, sejak malam tu, Sumaiyah belum lagi dapat ais krim dia. Dia ada minta tapi kami guna jawapan pekerja kaunter pandu lalu itu beritahu malam tu kononnya ais krim dah habis.

"Dia boleh terima lagi jawapan tu setakat ini... kiranya dah lima hari (sejak 18 Oktober) dia belum dapat ais krim. Ada yang komen, nanti buat video lagi apabila dia dapat makan ais krim.

sumaiyah

Irdina Sumaiyah bersama sepupu-sepupunya.

"Lucu bila baca komen-komen netizen. Ada yang kongsi pengalaman hampir serupa dengan anak masing-masing.

"Bagi pendapat saya, kalau kita sebagai ibu bapa tak mahu belikan atau dapatkan apa yang anak minta, cuba pujuk dengan alternatif lain atau guna reverse psychology berbanding memarahi mereka," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain