suria

Pernah simpati wajah ibu hamil jadi orang tua sebab alahan, wanita ini tak sangka diri sendiri pun terkena - “Mula-mula muka jadi sembab”

BUKAN biasa-biasa ujian yang terpaksa ditanggung oleh wanita ini ketika hamil anak keduanya.

Dia mengalami alahan 'mabuk' sejak kandungan berusia dua bulan, pendarahan yang teruk dan berat badan menyusut.

Bukan itu sahaja, apa yang paling ketara adalah perubahan pada kulit muka sehingga membuatkan wajahnya membengkak, menggerutu dan berkedut!

ARTIKEL BERKAITAN: Suara garau ketika hamil, muka berubah sampai ada yang tak kenal... wanita dituduh pakai silikon sebelum mengandung!

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hamil takut tengok muka sendiri, terpaksa hadap mulut laser orang kampung - “Nasib baik laki kau tak lari”

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ain ini berkata, kulit wajahnya tiba-tiba berubah apabila usia kandungan hampir mencecah tiga bulan.

"Mula-mula terjadi, ketika itu saya bangun tidur dan perasan wajah macam sembab. Di bahagian dahi timbul garisan berkedut. Saya positif je sebab fikir mungkin sebab stres.

"Tapi kemudian kulit muka macam berminyak. Kalau pakai tudung material chiffon, memang ketara lekat kesan minyak. Tak lama tu naik biji halus macam jerawat pasir.

AIN 2

Keadaan wajah Ain ketika kandungannya berusia tiga bulan (kiri) dan lima bulan (kanan).

"Saya masih positif lagi, fikir mungkin perubahan hormon kejap je. Saya ambil inisiatif tukar pencuci muka. Tapi sama je hasilnya. Kandungan masuk lima bulan, kedut habis dan menggerutu sangat-sangat. Bukan itu saja, jerawat pun tumbuh di badan.

"Memang wajah berubah sepenuhnya. Saya pernah baca pengalaman seorang kakak ni yang kulitnya berkedut ketika hamil tahun lalu. Terdetik, kesiannya akak tu. Tengok-tengok saya juga kena. Pembawakan baby is real," kata wanita berasal dari Kota Tinggi, Johor ini.

Menurut Ain, dia turut mengunjungi klinik pakar kulit sebagai ikhtiar untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.

AIN 1

Wajah terkini Ain (kiri) yang masih dalam proses untuk kembali kepada keadaan asal, (kanan) anak kedua Ain, Zayn, yang berusia empat bulan.

"Tapi doktor bimbang, takut ubat yang diberi akan memberi kesan kepada baby. Hampir enam bulan juga muka saya berkeadaan seperti itu sehinggalah bersalin.

"Hanya selepas selamat bersalin pada Jun lalu dan selepas berpantang, doktor klinik pakar kulit cadangkan pengambilan ubat makan.

"Alhamdulillah, keadaan wajah perlahan-lahan berubah untuk kembali kepada asal," ujar wanita berusia 28 tahun ini.

Ibu kepada dua cahaya mata yang masing-masing berusia lapan tahun dan empat bulan ini mengakui, emosinya mudah turun naik disebabkan perubahan yang berlaku lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan segelintir individu yang kurang sensitif.

"Saya ingat lagi masa pergi bazar Ramadan. Ada seorang kakak ni, depan orang ramai dia tegur 'Ain, muka kau accident ke?'. Tertunduk dan tergamam... rasa macam nak nangis. Suami terus ajak balik. Saya dah menangis... suami pujuk jangan ambil hati.

Saya pernah baca pengalaman seorang kakak ni yang kulitnya berkedut ketika hamil tahun lalu. Terdetik, kesiannya akak tu. Tengok-tengok saya juga kena.

AIN

"Kemudian ada seorang kenalan yang ziarahi mak. Masa saya hidang air, dia cakap 'Ain, kenapa muka macam tu... takutlah nak mengandung... nanti jadi macam kau'. Memang terasa.

"Sekali lagi masa dekat labor room sebelum bersalin, seorang makcik cleaner tegur. Bila saya beritahu umur sebenar, dia terkejut. Dia ingatkan saya dah tua sebayanya.

"Alhamdulillah, suamilah banyak memujuk saya. Dia tetap kata saya cantik, sebab dia tahu bagaimana wajah saya sebelum ini. Saya pernah suruh suami kahwin lain tapi dia menolak," ujarnya yang merupakan seorang suri rumah.

Sekadar memuat naik pengalamannya di Facebook untuk diabadikan sebagai kenangan, Ain berkata dia sama sekali tidak menyangka coretannya menjadi tular.

SAHIRA

Kisah wanita bernama Nor Sahira Dalim yang pernah mengalami alahan serupa pernah mendapat liputan mStar pada April tahun lalu.

"Saya rasa muka saya buruk tapi bila ramai beri kata-kata semangat, saya rasa terharu sangat. Rupa-rupanya ramai juga yang macam saya.

"Ada juga yang cakap, mereka mungkin tak sekuat saya kalau jadi macam tu. Saya bersyukur diuji macam ni, bagi saya sakit itu penghapus dosa. Lagipun lapan tahun saya tunggu zuriat kedua. Saya sanggup hadapi semuanya.

"Bagi yang senasib, kita fikirlah pasal diri sendiri dan orang terdekat saja. Pedulikan kata-kata orang luar. Buat para suami, kalau isteri anda alami alahan, teruslah berada di belakangnya.

"Bagi yang pernah cakap buruk, saya maafkan saja. Tapi fikir dulu sebelum keluarkan kata-kata," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain