TUGAS sebagai seorang penghantar makanan atau rider sememangnya berdepan dengan pelbagai cabaran sama ada dari segi cuaca, keadaan jalan raya, ragam pelanggan dan sebagainya. Kita sering kali melihat perkongsian pengalaman oleh golongan ini di media sosial. Namun perkongsian oleh seorang rider wanita mengenai cabaran yang terpaksa dilaluinya baru-baru ini benar-benar menarik perhatian netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Dah nak tengah malam, perjalanan rider silap simpang berakhir di kubur... tak terfikir gangguan mistik, cuma risau kena prank - “Ada nampak lembaga bawah khemah” ARTIKEL BERKAITAN: Sedang bertugas hantar makanan, rider ini viral sebab dalam kepalanya tetap ingat belajar - “Tahu dia rakam, tapi malas nak layan sangat” Apa tidaknya, perjalanannya diganggu oleh puluhan ekor itik ketika mahu menghantar pesanan pelanggan! "Nasib baik comel," tulisnya pada perkongsian video yang sehingga kini meraih lebih daripada 445,000 jumlah tontonan. Malah perkongsian tersebut turut dihujani ribuan komen lucu netizen yang terhibur dengan gelagat haiwan-haiwan berkenaan. Berkongsi cerita dengan mStar, Balqish Nabela Mohd Ridwan berkata insiden lucu itu berlaku sewaktu dia menggunakan jalan pintas untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggannya di sebuah kawasan kampung di Kota Bharu, Kelantan. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Jalan short-cut itu kena lalu sawah padi dan memang kawasan situ 'port' biasa itik-itik tu. Kebetulan ketika itu dah nak Maghrib, sekitar pukul 6.15 petang... memang mereka akan pulang ke reban. "Masa saya lalu, itik-itik tu baru naik dari sawah dan berkumpul ramai-ramai tengah jalan. Mereka berpusing-pusing je atas jalan seperti hilang arah nak pergi ke mana. "Jadi kenderaan memang tak boleh lalu. Di laluan bertentangan, ada seorang pemandu trak pick-up... dia berhentikan kenderaannya dan turun untuk rakam. "Saya pun sambil-sambil tu rakam sekali. Lama juga kami masing-masing tunggu itik-itik ni berpusing sehinggakan ada seorang penunggang motosikal patah balik," cerita gadis berusia 21 tahun ini. Puluhan itik berkumpul di tengah jalan dan berpusing-pusing selama kira-kira 10 minit. Senang disapa sebagai Balqish, gadis ini berkata situasi tidak diduga itu menyebabkan dia terpaksa menunggu kira-kira 10 minit. "Akhirnya selepas 10 minit menunggu, pemandu trak tu terpaksa halau supaya masing-masing boleh lalu. "Saya pun masa tu dah naik risau juga takut terlambat hantar pesanan pelanggan. Mujurlah tak lama sangat," ujar anak kedua daripada tiga adik beradik ini. Akhirnya selepas 10 minit menunggu, pemandu trak tu terpaksa halau supaya masing-masing boleh lalu. BALQISH NABELA MOHD RIDWAN RIDER Hampir lima bulan bekerja sebagai rider, Balqish berkata insiden tersebut adalah antara yang 'menarik' yang pernah dialaminya. "Saya mula jadi part-time rider ketika masih belajar. Sekarang dah lima bulan kerja. "Kalau tanya pasal insiden yang tidak dilupakan sepanjang jadi rider, saya pernah terlibat dengan kemalangan awal September lalu gara-gara kereta belok tak bagi signal. Pemeriksaan doktor mendapati saya alami 'slip disc'. "Hampir sebulan juga saya terpaksa bercuti," katanya yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Kota Bharu, Julai lalu. Balqish sudah menjadi rider sejak lima bulan lalu. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Balqish berkata dia hanya mengetahui mengenainya selepas diberitahu oleh rakan-rakan rider yang lain. "Ada netizen komen cakap itik tu tengah tawaf, itik buat road block, itik minta bayar tol dan macam-macam lagi. Tersenyum saya baca komen sorang-sorang. "Tiada apa pun yang saya nak kongsikan. Cuma pesanan buat riders, fokuslah ketika menunggang. Jangan menunggang sambil mata dekat telefon bimbit. Jaga keselamatan diri kerana kerja ni risikonya tinggi," katanya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI