suria

Perut jadi ‘kerusi’ anak, lelaki ini lega skipping mampu selesaikan masalahnya selepas kahwin - “Isteri belajar masak, seluar saya mengetat”

Asyraf berjaya menurunkan berat badannya dengan skipping.

"DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

Itulah ungkapan bagi menggambarkan kisah seorang lelaki yang nekad mahu menurunkan berat badan untuk kekal sihat.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh isterinya, dapat dilihat perbezaan penampilannya sebelum dan selepas mendirikan rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini tak perasan badannya berisi masa PKP, nasib baik ada kawan tegur... terus turun 15kg dalam masa 5 bulan - “Tahun lepas saya down teruk”

ARTIKEL BERKAITAN: 110kg turun 55kg! Itulah penangan kena reject... pemuda akui pernah ambil produk terlarang tapi tak menjadi pun

Berkongsi kisahnya dengan mStar, Mohd Asyraf Abdullah, memberitahu bahawa berat badannya naik disebabkan selera makan yang semakin meningkat sejak Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) tahun lalu.

Terkesan dengan teguran rakan-rakan yang menyedari perubahan ketara pada fizikalnya, dia nekad untuk menurunkan berat badan yang bersesuaian dengan indeks jisim badan (BMI) pada Jun tahun ini.

"Video itu isteri saja muat naik mengenangkan saya dulu memang kuat makan sejak PKP. Dulu sebelum kahwin memang main gim sebab tu nampak berbeza, tapi saya nekad nak kuruskan badan bila kawan-kawan menegur.

IMG_1849

Pasangan ini mengamalkan gaya hidup sihat untuk menurunkan berat badan.

"Isteri juga memberi dorongan sebab ketika itu berat dia pun naik juga selepas bersalin.

"Jadi kami berdua tekad untuk sihat dan dapat berat ikut BMI. Saya start skipping dan eat clean sejak empat bulan lalu," katanya yang merupakan seorang pegawai bank di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Lebih mesra disapa Asyraf, dia berkata, pergerakannya menjadi agak terhad disebabkan berat badan yang berlebihan.

Dia memilih untuk melakukan senaman skipping kerana ia dapat dilakukan dengan mudah di mana sahaja dan dalam masa yang sama dapat mengawasi anak serta membantu isterinya, Nurfatin Sakinah Mohd Salleh yang berusia 25 tahun di rumah.

"Lepas kahwin isteri baru belajar masak masa PKP ikut resepi di Facebook, saya sentiasa support dan habiskan apa yang dia masak. Sebab dia bukannya makan sangat selepas memasak, akhirnya baju dan seluar saya yang mengetat.

"Sampai ada yang cakap perut saya dah macam kerusi untuk anak. Tapi faktor utama saya nak sangat turunkan berat badan sebab risau obes.

IMG_1850

Ada yang menegur perut Asyraf yang buncit sudah menjadi 'kerusi' untuk anaknya.

"Saya perasan masa berat badan berlebihan, memang cepat penat dan rasa lelah untuk lakukan aktiviti.

"Skipping ini senaman yang mudah untuk dibuat di rumah sebab musim PKP dulu saya nak elakkan berada di luar. Bersukan di rumah lebih mudah untuk saya awasi anak dan bantu isteri buat kerja rumah jika dia sedang bekerja," katanya sambil menambah, isterinya bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat e-dagang yang terletak di Kuala Lumpur.

Menceritakan pengalamannya melakukan skipping, Asyraf yang berasal dari Alor Setar, Kedah, mengakui sakit pada bahagian otot kaki ketika baru mencuba aktiviti itu.

Dalam masa yang sama isterinya juga membantu menyediakan bekal makanan berkhasiat untuk dibawa ke pejabat setiap hari.

"Ada juga beli vase pemberat kaki saya pakai masa skipping. Dulu dari 1,000 loncatan, sekarang dah boleh buat sampai 10,000 loncatan. Saya skipping setiap hari lebih kurang tiga jam, tapi bergantung juga la sebab nak uruskan anak dan buat kerja rumah kalau isteri bekerja pada hujung minggu.

Jangan sesekali rasa putus asa, harus konsisten dengan tujuan dan InsyaAllah akan nampak hasilnya.

MOHD ASYRAF ABDULLAH

"Tapi kalau hari saya bekerja, selepas balik pejabat baru skipping. Isteri pula akan masakkan menu eat clean sebagai bekal setiap hari ke tempat kerja, contohnya macam ayam bakar air fyer, chicken wrap atau telur dan ayam.

"Saya juga ada amalkan minum air jus buah dan sayur-sayuran sebab saya tak makan sayur dalam hidangan biasa. Hasilnya nampak ketara sebab jaga permakanan dan dalam video TikTok itu berat masih 72kg pada Ogos, sekarang dah 69kg," ujarnya yang merupakan bapa kepada seorang cahaya mata perempuan berusia satu tahun iaitu Nur Aisyah Humairah.

Anak bongsu daripada enam itu berkata, untuk mendapat berat badan idaman setiap individu haruslah berusaha dan sentiasa konsiten jika mahukan hasil yang diimpikan.

Tambahnya lagi, setiap apa yang dilakukan itu perlu dilakukan mengikup kemampuan diri masing-masing.

IMG_1854

Amsyar kini mengekalkan berat badan ideal dengan senaman skipping.

"Teruskan berusaha untuk hidup lebih sihat. Pedulikan apa orang kata, nak sihat untuk diri sendiri dan keluarga kita.

"Kerana setiap usaha pasti ada hasil cuma cepat atau lambat sahaja.

"Jangan sesekali rasa putus asa, harus konsisten dengan tujuan dan InsyaAllah akan nampak hasilnya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain