suria

“Belum pernah dapat ayam” - Sayu... nelayan sabar tunggu ikan dari atas sampan, tak percaya ketika dihulur ayam segar

Video ketika team Saharuddin menyumbangkan seekor ayam segar kepada seorang nelayan miskin menyentuh hati netizen.

"RIAK wajah suramnya bertukar teruja dan gembira. Siap tanya 'betulkah untuk aku?' sebab dia macam tak percaya."

Demikian kata Saharuddin Amirullah ketika bercerita mengenai kisah seorang nelayan miskin yang ditemuinya di sebatang sungai ketika menyampaikan misi bantuan makanan, baru-baru ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda berusia 30 tahun itu berkata pada hari tersebut, dia bersama pasukan NGO VitaminBae menjalankan misi bantuan mengedarkan ayam segar kepada sebuah penempatan yang terletak sedikit terpencil dari pekan Sandakan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ramai dah tiada kerja, bayi minum air suam, air gula” - Tak sanggup lihat penderitaan, guru jadi sukarelawan... tersentuh dapat sesuatu yang ‘mahal’

ARTIKEL BERKAITAN: Guru pikul amanah berat selepas kongsi kisah hiba 5 beranak jual kelapa terbiar, tapi semuanya berubah selepas nampak tudung di ampaian!

"VitaminBae selalunya agihkan bahan asas seperti beras, telur, minyak masak dan sebagainya. Namun sempena bulan kelahiran Rasulullah baru-baru ini, kami buat agihan ayam segar.

"Selalunya apabila ada sambutan istimewa dalam Islam, kita beri yang lebih istimewa sedikit seperti ayam atau daging korban.

"Sebenarnya sewaktu kami dalam perjalanan pergi ke penempatan sasaran, memang perasan dia sedang menangkap ikan di atas sampan. Bila kami balik, masih nampak abang tu di situ.

"Kita sangka bila lama di sungai, mesti dapat banyak ikan. Speechless nampak ikan-ikan kecil hasil tangkapannya. Kebetulan masih ada baki, kami berinya seekor ayam. Senyumannya lebar.

"Katanya, selama dia jadi nelayan di situ, belum lagi pernah dapat ayam," cerita Saharuddin yang juga Koordinator VitaminBae daerah Sandakan.

Lima tahun terlibat dengan lapangan kerja kebajikan dengan hampir dua tahun bersama NGO VitaminBae, Saharuddin berkata pelbagai pengalaman dan kisah penduduk yang ditemuinya benar-benar menjentik rasa insaf dalam diri.

ayam 4

Saharuddin (dua, kanan) aktif turun ke kawasan penempatan untuk menyampaikan bantuan.

"Kalau di Sabah ini ada dua istilah. Pertamanya penempatan, dan keduanya kampung. Penempatan ni rumah-rumah yang dibuat di kawasan asal boleh buat rumah seperti sungai, hutan.

"Mereka kebanyakannya tiada status kewarganegaraan. Kasihan sangat sebab mereka ni masih terjejas sampai sekarang kerana tiada pekerjaan. Antara sebabnya, tiada vaksin lengkap jadi majikan tak mahu ambil risiko.

"Jadi mereka terpaksa buat apa sahaja kerja antaranya jadi nelayan. NGO di Sabah memang sering jalankan misi masuk hutan, sungai untuk bantu mereka.

ayam 3

Golongan yang tinggal di penempatan berhampiran sungai dan hutan adalah antara yang diberi tumpuan oleh VitaminBae.

"Kalau orang susah yang terdiri daripada penduduk kampung, kami akan salurkan maklumat kepada pihak Baitulmal atau pihak kebajikan.

"Kami (NGO-NGO) wujudkan 'sistem zoning' supaya tiada yang tercicir. Biar tiada perbezaan dalam menyampaikan bantuan dan kita tak mahu mereka di penempatan terpinggir," ujarnya yang merupakan anak jati Sandakan.

Menurut Saharuddin, selepas video mengenai nelayan tersebut menjadi tular di aplikasi TikTok dan juga Instagram, dia menerima Direct Message (DM) daripada ramai pihak yang ingin menyalurkan bantuan.

Bayangkan, sekilo daging korban tu kita rasa biasa je. Tapi bagi mereka ia macam satu rahmat.

SAHARUDDIN AMIRULLAH

KOORDINATOR VITAMINBAE SANDAKAN

"Saya bersyukur penyumbang sangat support dan membantu terutamanya orang dari Semenanjung... memang pantas dan cepat hulur sumbangan lebih-lebih lagi jika viral. Begitu juga dengan orang tempatan di Sabah.

"Kalau nak tahu, waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, telefon kami bertubi-tubi mesej masuk kerana mohon bantuan," ujarnya yang juga penjawat sektor swasta.

Tidak menyangka perkongsiannya di TikTok begitu meruntun jiwa, Saharuddin berkata tujuannya memuat naik video berkenaan adalah sebagai membuka mata ramai pihak agar sama-sama berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

ayam 2

Salah satu misi VitaminBae ketika menyantuni asnaf.

"Saya share sebab nak orang di luar sana nampak, kebaikan ni kalau depan mata, jangan ditunda lagi. Dan kalau kita rasa susah, ada yang lebih susah.

"Bayangkan, sekilo daging korban tu kita rasa biasa je. Tapi bagi mereka ia macam satu rahmat. Mereka sangat menghargai. Inilah yang membuatkan kita lagi istiqamah nak bantu orang susah.

"Bila terlibat dengan kerja sukarelawan, kita dapat cari identiti sendiri. Kita bukan nak jadi contoh pun, tapi ramai terinpsirasi.

"Jadi secara tak langsung NGO ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Itu yang kita mahukan. Sesiapa pun boleh jadi sukarelawan, " ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain