suria

Tolonglah, ini ikhtiar terakhir sebelum isytihar tokwan dah mati... hampir 10 tahun, kes atuk hilang bersama kereta Kancil masih misteri, tapi naluri mak kata masih hidup

Datuk Fira, Tamam Ahmad dilaporkan hilang ketika keluar untuk mengambil wang pencen pada Mei 2012.

"INILAH ikhtiar terakhir daripada keluarga kami selepas hampir 10 tahun tokwan hilang"

Demikian kata Nur Zafirah Mohamad Radzai ketika mengulas mengenai kisah datuknya, Tamam Ahmad, yang dilaporkan hilang ketika keluar ke bank untuk mengambil wang pencen pada Mei 2012.

Apa yang menambahkan lagi 'misteri', bukan sahaja jasad warga emas tersebut tidak ditemui, malah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya turut ghaib bersama sehingga hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ditinggalkan sejak usia 6 bulan harapkan ‘hadiah’ bermakna di hari bahagia, tak pernah putus asa mencari... - “Pulanglah demi nenek”

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki... selepas 21 tahun mencari, anak akhirnya dapat peluk lelaki bergelar bapa - “Kami borak di telefon tiga minit je, ayah ajak jumpa”

Untuk rekod, kisah kehilangan Tamam yang ketika itu berusia penghujung 60-an dan menetap di Kampung Nelayan, Kuala Perlis, pernah dilaporkan di dalam akhbar tempatan.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita berusia 29 tahun ini berkata, ketika hari kejadian, datuknya keluar pada waktu pagi dan memandu seorang diri ke bank di Kuala Perlis.

tokwan 1

Fira berkongsi kisah kehilangan datuknya di Twitter.

"Ketika tokwan hilang 2012, saya berumur 18 tahun. Tokwan waktu tu usianya dalam penghujung 60an. Setakat yang kami semua tahu, dia tak sakit, masih kuat dan tak nyanyuk.

"Pagi tu, dia keluar rumah seorang diri pergi bank sebab nak ambil duit pencen. Tokwan memang boleh drive. Sesampainya di bank, malangnya duit pencen tak boleh dikeluarkan sebab tiada kad pengenalan. Kad pengenalan tokwan hilang.

"Dia balik semula ke rumah. Ketika itu ada makcik saja, pakcik saya kerja. Menurut cerita makcik, tokwan minta RM10 tapi tak beritahu nak buat apa.

"Selepas makcik bagi duit, dia keluar semula namun terus tak pulang-pulang hinggalah hari ini," ceritanya yang senang disapa sebagai Fira.

Menurut Fira, kelibat datuknya yang merupakan seorang pesara kerajaan tidak muncul sehingga lewat malam dan keadaan tersebut menyebabkan ibu saudaranya membuat laporan polis.

tokwan 2

Semakan Fira di laman JPJ untuk mencari petunjuk juga menemui jalan buntu.

"Selain misi pencarian oleh pihak polis, mak saya, Halimatus Zaharah Tamam, yang menetap di Kuantan, Pahang dan anak sulung daripada tiga beradik, terus bergegas balik ke Perlis untuk sama-sama mencari.

"Hasil carian mak dan keluarga, tokwan rupa-rupanya tak pergi semula ke bank selepas minta duit daripada makcik.

"Mak pergi tanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di pekan Kuala Perlis, tapi pegawai sana beritahu tiada pula tokwan datang nak buat kad pengenalan.

"Mak ada tanya imigresen sebab terfikir tokwan pergi Siam, pun tak ada. Adik beradik cari merata termasuk kandang lembunya tapi tak ada. Orang kampung yang tinggal berdekatan kandang pun kata tokwan lama dah tak datang.

"Anehnya, dengan kereta sekali ghaib. Kami periksa maklumat di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk cari petunjuk, namun maklumat pembaharuan cukai jalan (roadtax) kali terakhir adalah pada 2012 juga," cerita ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Kami ikhtiar pergi jumpa ustaz. Menurut ustaz, tokwan masih ada, tapi dia nyanyuk. Kata mereka, orang yang jaga tu tokwan kenal.

NUR ZAFIRAH MOHAMAD RADZAI

CUCU

Fira berkata dia dan keluarganya tidak pernah putus ikhtiar untuk mencari datuknya meskipun sudah hampir 10 tahun berlalu, termasuklah menggunakan kaedah perubatan Islam.

"Kami tak pernah habis ikhtiar meskipun polis dah tutup kes. Kami ikhtiar pergi jumpa ustaz. Menurut ustaz, tokwan masih ada, tapi dia nyanyuk.

"Kata mereka, orang yang jaga tu tokwan kenal. Setiap kali pergi jumpa ustaz yang berbeza, benda yang sama mereka sampaikan. Malah naluri mak, satu-satunya anak perempuan tokwan, kuat mengatakan tokwan masih ada.

"Pernah polis call buat pengecaman mayat bila ada kes mati, pakcik pergi cam tapi bukan mayat tokwan. Mereka semua rasa dia masih ada. Memang susah nak terima hakikat kehilangan lebih-lebih lagi pusaranya pun tiada," katanya yang juga menetap di Kuantan.

Tambah Fira, mereka bersetuju untuk membuat hebahan sebagai jalan terakhir sebelum mengambil keputusan untuk mengisytiharkan kes kehilangan datuknya sebagai kes kematian.

tokwan 3

Gambar datuk, nenek dan keluarga besar Fira yang diambil pada 2002.

Untuk rekod, mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950, isu sama ada seseorang itu masih hidup atau telah meninggal dunia, jika ia dibuktikan selama tujuh tahun tidak didengari atau dijumpai hidup oleh orang-orang yang lazimnya boleh mendengar atau berjumpa dengannya dan jika dia hilang selama tujuh tahun berturut-turut, maka boleh diandaikan bahawa individu itu telah meninggal dunia.

"Inilah ikhtiar terakhir kami sebelum nak declare tokwan meninggal dunia di mahkamah. InsyaAllah tahun depan. Benda ini berat sangat sebenarnya lebih-lebih lagi buat mak. Sudahlah tok meninggal pada 2010, kemudian tokwan pula hilang dua tahun kemudian.

"Andai kata tokwan masih ada lagi, setidak-tidaknya kami boleh menjaganya. Siapa yang pernah ternampak, minta hubungi kami. Tak banyak yang kami minta, sama-sama doakan tokwan. Kami tak mengharap, namun kalau orangnya dah tiada, kami mahu kepastian," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain