suria

Potret ukiran daun dapat pujian Tun M... pelukis sanggup buang perasaan malu nak serahkan sendiri hasil seni, makin semangat berkarya – “Saya tidur dalam keadaan gembira”

Foto kanan tangkap layar video Dr Mahathir menghargai potret yang diukir Muhammad Hafizi (gambar kecil) di atas sekeping daun.

SIAPA sangka daun yang diukir potret Tun Dr Mahathir Mohamad dengan begitu kemas dan teliti mendapat reaksi bekas Perdana Menteri itu.

Menerusi akaun TikTok rasmi Dr Mahathir pada Jumaat, @chedetofficial memberi mesej ringkas:

"Hello Hafizi, terima kasih kerana melukis muka saya atas daun.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula 'request' isteri, karya seni atas daun kini sumber rezeki... 'pakar bedah daun' nak serah potret Tun M tapi malu - "Silap sikit, kena buat lain"

"Itu satu usaha yang cantik. Saya ucap tahniah," kata Dr Mahathir menerusi video berdurasi 17 saat yang turut memuatkan rakaman pembikinan ukiran potret beliau di atas daun.

Pada Rabu, menerusi laporan mStar, pelukis berkenaan berkongsi pengalamannya membuat ukiran pada sekeping daun termasuk potret Dr Mahathir yang dihasilkannya.

Melabelkan dirinya sebagai 'pakar bedah daun', Muhammad Hafizi Abdul Karim berkata, dia tidak menyangka karya seninya mendapat perhatian daripada tokoh yang amat dikagumi itu.

"Tak terkata. Rasa segan sangat bila Tun Dr Mahathir sebut nama saya. Seronok sangat.

"Beliau menghargai bakat saya. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan ukiran dan karya seni yang lebih baik," katanya kepada mStar dengan nada teruja.

Potret Dr Mahathir diukir di atas sekeping daun.

Pembikinan ukiran potret Dr Mahathir di atas sekeping daun.

Pelukis berusia 30 tahun itu turut berkongsi berita gembira apabila dihubungi pihak Dr Mahathir berhubung potret bekas perdana menteri yang dihasilkannya itu.

"Pegawai Tun Dr Mahathir cakap beliau sangat suka dengan ukiran saya. InsyaAllah dalam masa terdekat beliau nak jumpa. Mungkin minggu depan di Alor Setar, Kedah. Tarikh belum ditetapkan.

Kalau saya malu, saya tak akan dapat melangkah lebih jauh. Tapi perasaan segan tetap ada bila berhadapan dengan orang yang besar dan berpengaruh

MUHAMMAD HAFIZI ABDUL KARIM

"Saya kena buang perasaan malu bila dapat berjumpa dengan beliau. Saya tak sangka Tun Dr Mahathir begitu peramah kerana sudi memberi respons yang baik terhadap karya saya dan kesudian beliau untuk berjumpa.

"Seronok sangat. Saya masih boleh tidur, cuma tidur dalam keadaan gembira, tersenyum. Alhamdulillah," katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

tun m ukiran daun 5

Selain potret, turut diukir adalah kaligrafi dan gambar haiwan.

Mengakui perasan malu yang menebal, bapa kepada dua anak itu mahu membuang perasaan itu untuk melangkah lebih jauh dalam bidang yang diceburi.

"Kalau saya malu, saya tak akan dapat melangkah lebih jauh. Tapi perasaan segan tetap ada bila berhadapan dengan orang yang besar dan berpengaruh," tambahnya.

Terdahulu, Muhammad Hafizi atau lebih dikenali sebagai Eiji menjadikan seni ukiran daun sebagai sumber rezekinya.

tun m ukiran daun 6

Antara ukiran lain di atas sekeping daun.

Malah, dia turut menyimpan hasrat untuk menyerahkan ukiran daun potret Dr Mahathir kepada pemimpin yang disegani itu.

"Saya berhasrat untuk menyampaikan potret Tun Dr Mahathir kepada beliau sendiri. Rasa berbesar hati kalau beliau dapat melihat bakat saya.

"Tak dapat jumpa pun tak apa, asalkan beliau dapat ukiran daun itu pun syukur Alhamdulillah. Tapi kalau diberi peluang untuk bertemu beliau dan serahkannya sendiri, saya tahu nak cakap apa, speechless... nak sangat, tapi saya pemalu," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain