suria

Naik eskalator guna wheelchair, pemuda ini dedah pernah ‘ajar’ orang awam common sense - “Saya ambil papan tanda OKU letak depan lif”

Firdaus yang berkerusi roda berkongsi pengalaman menggunakan eskalator.

VIDEO seorang pemuda berkerusi roda yang menggunakan eskalator di sebuah pusat beli-belah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Rata-rata menyifatkan tindakannya bukan sahaja mengundang risiko, malah membahayakan pengunjung lain yang turut menggunakan kemudahan itu.

Antara lain mereka mencadangkan kepadanya supaya menggunakan kemudahan lif yang disediakan, bukannya eskalator.

ARTIKEL BERKAITAN: "Baru dia tahu betapa susahnya saya hari-hari" - Pernah dilabel perigi cari timba, wanita ini 'buat hal' lagi... kali ini try kerusi roda suami

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri kental tunggang motosikal dari KL-Ipoh, suami kagum drive ikut dari belakang - "Kalau boleh jalan mesti aku bawa motor tu"

Bercakap kepada mStar, bekas atlet tenis para negara, Muhamad Firdaus Ibrahim memberitahu, tindakannya menggunakan eskalator itu bersebab dan bukannya untuk tujuan suka-suka.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, dia pada mulanya menggunakan lif sewaktu berkunjung ke pusat beli-belah di Kuala Terengganu, Terengganu bersama isterinya baru-baru ini.

"Saya guna je lif kat mall tu. Tapi bila nak ke parking, terpaksa menunggu lama. Jadi saya spontan guna eskalator untuk naik ke tingkat atas.

"Sebenarnya tak guna banyak tenaga pakai kerusi roda naik eskalator. Boleh nampak dari video saya cuma pegang biasa, ia lebih kepada teknik dan skil," katanya ketika dihubungi.

kerusi roda eskalator 3

Firdaus merupakan bekas atlet para.

Firdaus berkerusi roda selepas terbabit dalam satu nahas motosikal kira-kira sedekad lalu.

Pemuda yang berasal dari Bagan Serai, Perak ini bagaimanapun berkata dia hanya menggunakan laluan eskalator dalam keadaan bersesuaian.

"Biasanya ada security di premis, atau ada pelekat yang memberi amaran mengenai larangan menggunakan kereta sorong bayi atau kerusi roda, jadi memang tak ikut situ... atau saya guna eskalator bila keadaan yang tak ramai orang untuk keselesaan," ujarnya

kerusi roda eskalator 2

Firdaus (kiri) dan isteri.

Firdaus yang merupakan pemenang pingat gangsa dalam Sukan SEA 2017 turut berkongsi pengalaman apabila terpaksa menggunakan eskalator disebabkan kapasiti lif telah penuh.

"Berdasarkan pengalaman, bila pintu lif terbuka tapi tiada seorang pun yang berada di dalam nak keluar untuk beri laluan kepada kita untuk masuk.

Bukan saya nak tunjuk saya ni hebat. Ia sebenarnya sebagai alternatif bukan sahaja sekiranya ada kecemasan, tapi juga apabila lif rosak

MUHAMAD FIRDAUS IBRAHIM

"Ada lif di sebuah shopping mall, bagus dirikan papan tanda di lif supaya beri laluan kepada OKU (orang kelainan upaya), ibu mengandung, warga emas dan bawa anak kecil.

"Tapi ada yang masih tak faham. Pernah sekali tu, masih tiada siapa yang keluar dari lif. Saya kemudian ambil papan tanda tu dan letak depan lif, barulah ada yang serba salah," ujarnya.

kerusi roda eskalator 4

Firdaus merupakan penjawat awam.

Sehubungan itu, dia yang merupakan penjawat awam berkata, perkongsiannya juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat supaya bersikap bertolak ansur dan bertimbang rasa.

"Ini terutama dalam keadaan pandemik di mana lif mempunyai prosedur operasi standard (SOP), ada kapasiti dan tak boleh bersesak.

"Jadi jika ada yang sudi beri ruang untuk golongan macam kami masuk lif, kena la ada yang keluar dulu untuk beri laluan," katanya yang masih bersedia untuk menyertai mana-mana acara sukan pada masa akan datang.

kerusi roda eskalator 5

Pernah memenangi pingat gangsa dalam Sukan SEA 2017.

Mengenai penggunaan eskalator, Firdaus menegaskan bahawa ia juga dilakukan oleh golongan berkerusi roda sebagai alternatif.

"Bukan saya nak tunjuk saya ni hebat. Ia sebenarnya sebagai alternatif bukan sahaja sekiranya ada kecemasan, tapi juga apabila lif rosak.

"Bagi saya, ia berisiko sekiranya yang berkerusi roda tidak mahir menggunakannya. Jangan cuba kalau tak berani, bimbang ada risiko lain," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain