suria

Sabar ajelah! Gigih buat tepung sendiri, promosi di TikTok... peniaga terkejut jual ayam goreng tapi ada pelanggan nampak macam katak

Hafizah bersuyukur apabila penangan video tular di TikTok turut membuka pintu rezeki buat perniagaannya.

SEJAK pandemik Covid-19 melanda, ramai golongan peniaga mula memasarkan jualan mereka menerusi media sosial.

Tidak ketinggalan tentunya Hafizah Sobri, 36, peniaga ayam goreng yang acap kali berkongsi aktiviti di gerai miliknya menerusi video-video TikTok.

Namun, dia baru-baru ini terkejut menerima komen daripada seorang netizen yang bertanya sekiranya dia menggoreng katak di gerai miliknya yang terletak di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga terkejut ramai mesej tanya nasi kerabu, rupa-rupanya diri dah viral sebab tak kedekut - “Kalau boleh nak jumpa depan-depan”

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai musnah dibadai ribut, jualan habis berterabur... reda diuji di hari pertama Ramadan, tindakan 2 rakan niaga selepas itu nyata berbaloi

"Saya tak pasti sama ada dia bergurau atau sebaliknya. Atau mungkin dia tengok video saya goreng ayam tu sekejap saja, mungkin dia keliru.

"Dia tanya... katak ke tu? Jadi bila dia bertanya, saya jawab saja dalam video seterusnya. Saya pun tak kecil hati.

"Saya anggap ia lawak yang menghiburkan saja. Tapi tak sangka pula video itu viral," ujarnya yang mesra disapa Hafizah.

Sehingga kini, video 'katak' itu menerima hampir 200,000 tontonan di aplikasi TikTok.

hafizah 5

Hafizah sebelum ini berniaga pasar malam dengan suaminya.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Hafizah dan suami, Meor Mazlan Harun, 38, mula berniaga ayam goreng di pasar malam sejak tahun 2013.

Namun katanya, dia beralih ke sebuah gerai pada pertengahan tahun lalu selepas pasar malam tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Kadang-kadang ada pelanggan datang, mereka kata kenal gerai saya dari TikTok.

HAFIZAH

"Sebelum ini kami berniaga di pasar malam. Sejak pandemik, perniagaan terpaksa ditutup. Masa mula-mula PKP diumumkan, saya fikir mungkin tutup dua minggu saja. Ingatkan sekejap.

"Masa tu risau juga. Akhirnya kami berniaga secara online, kami post di grup Facebook dan sebagainya. Pada pertengahan tahun, kami ambil keputusan untuk buka sebuah gerai.

"Jadi buat sementara waktu, kami berniaga di gerai saja. Orang masih takut-takut nak ke pasar malam sekarang. Alhamdulillah, bolehlah cari rezeki untuk tampung hidup.

"Tapi sejujurnya memang PKP mencabar. Kita dah biasa berniaga dengan ramai pelanggan di pasar malam. Bila jadi macam ni, perniagaan perlahan sikit.

"Rindu suasana nak berniaga pasar malam macam dulu. Meriah kerana ia sering jadi tumpuan ramai. Kalau kat gerai tepi jalan, kita tunggu pelanggan. Di pasar malam, memang orang ramai akan datang," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hafizah akui bersuyukur apabila penangan video tular di TikTok turut membuka pintu rezeki buat perniagaannya.

"Kadang-kadang ada pelanggan datang, mereka kata kenal gerai saya dari TikTok. Seronok juga bila dapat buat promosi dengan media sosial.

"Ada juga yang dari luar kawasan datang ke gerai kami. Istimewanya, tepung ayam goreng kami buat sendiri. Biasanya suami yang goreng, saya pula akan susun dan jual," ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.

hafizah 2

Antara menu yang dijual di gerai miliknya.

Selain ayam goreng, Hafizah dan suami turut menawarkan menu kulit ayam goreng, aneka bebola goreng, cendawan goreng, kentang goreng dan macam-macam lagi.

Dalam temubual sama, Hafizah sempat menitipkan pesan kepada rakan peniaga khususnya yang baru menceburi bidang itu agar sentiasa cekal berhadapan dugaan.

"Kita ni peniaga, ada hari dapat untung lebih, ada hari jatuh. Kalau hujan, biasanya kurang sikit jualan.

"Jadi yang paling penting kena sabar. Kalau hari ni tak laku, tak boleh terus putus asa. Sabar paling penting," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain