suria

Setahun bersedih tanggung rindu, ibu kembali ceria jumpa ‘kembar’ arwah anak ketika naik cruise - “Suami beranikan diri tegur pemuda tu”

Suami Syira (gambar kanan) bergambar bersama 'kembar' arwah adik iparnya (berbaju putih). Adik ipar Syira, Muhammad Alif Affandi Adnan yang meninggal dunia tahun lalu (gambar kiri).

SETAHUN menanggung rindu selepas pemergian anak lelaki, siapa sangka si ibu akhirnya 'dipertemukan' dengan seseorang yang saling tidak tumpah seperti insan yang paling dirinduinya.

Bagai melihat anak kandung sendiri di hadapan mata, warga emas berkenaan terus mengalirkan air mata kerana terlalu sebak bercampur gembira.

Detik 'pertemuan' yang berlaku secara kebetulan itu dikongsikan oleh menantunya menerusi rakaman TikTok yang sehingga kini meraih melebihi 727,000 jumlah tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan kata seiras, tuan punya badan puas tenung tapi tak nampak persamaan... gadis cari bro bertopi keledar - “Aku nak jumpa kembar aku”

ARTIKEL BERKAITAN: Mirip pelakon Squid Game... wanita ini layankan ‘permintaan’ satu ofis, sampai menggeletar dapat respons Kim Joo-ryoung – “Bukan tak minat drama Korea cuma...”

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Syahira Bakri berkata dia bersama keluarga baru-baru ini bercuti ke Muar, Johor, dan tanpa diduga mereka terserempak dengan seorang pemuda yang benar-benar seiras dengan arwah adik iparnya.

"Kami nak naik cruise dekat Muar masa tu. Tiba-tiba ibu mentua cakap, ada seorang pemuda dekat situ mukanya saling tak tumpah dengan arwah adik ipar, Muhammad Alif Affandi Adnan.

"Semua sama, dari segi senyuman, rambut, cara berjalan. Saling tak tumpah. Mak serta merta mengalirkan air mata. Kami pun tengok memang sama. Suami saya dan seorang adik ipar beranikan diri tegur pemuda itu yang juga sedang bercuti dengan keluarganya.

"Suami tunjukkan gambar arwah kepadanya dan beritahu wajah adiknya sama macam pemuda tu. Mak pemuda tu pun cakap wajah mereka seiras. Sempatlah juga adik ipar dan suami tangkap gambar bersama pemuda bernama Amin tu.

"Arwah adik kepada suami saya meninggal dunia pada 12 November tahun lepas, ketika berusia 23 tahun. Arwah mempunyai masalah jantung sejak kecil. Pertemuan dengan Amin pula berlaku pada 15 November... dekat-dekat tarikh kematian arwah. Memang kebetulan sangat," ujar wanita berusia 25 tahun ini.

kembar 1

Ibu mentua Syira bersama arwah adik iparnya, Muhammad Alif Affandi Adnan.

Senang disapa sebagai Syira, wanita ini berkata selepas pertemuan tersebut, ibu mentuanya, Salwa Ahmad, 55, berulang kali meluahkan hajat mahu bertemu lagi dengan pemuda berkenaan sekiranya ada peluang.

"Bila ulang-ulang video pendek yang saya rakam, mak mentua jadi sedih. Dalam pertemuan singkat tu, tak minta langsung nomber telefon Amin. Kami sedih tengok mak macam tu, sebab itu saya fikir untuk post dekat TikTok sebagai salah satu cara untuk jejaki semula pemuda bernama Amin tu.

"Video tu viral tak sampai 24 jam pun. Menderu-deru komen netizen. Alhamdulillah, tiba-tiba dapat WhatsApp daripada seseorang yang mengaku dia sepupu Amin dan berikan nombor Amin kepada kami.

"Alangkah gembiranya bila kami dapat hubungi Amin. Kami luahkah hasrat kepada Amin dan dia pun gembira nak datang jumpa mak mentua di sini bila ada kelapangan sebab dia di Johor, kami pula di Shah Alam.

Masa sedih dulu, mak mentua cakap teringin nak ikut arwah 'ke sana' bersama. Setahun dia rindu... sebab tu dia happy bila dah jumpa dengan 'kembar' arwah.

NUR SYAHIRA BAKRI

"Mak mentua happy sangat bila dapat tahu Amin nak datang bila-bila nanti. Dia kata dia cuma nak pandang untuk mengubati kerinduan pada arwah," ujar Syira.

Bercerita lebih lanjut, Syira berkata ibu mentuanya sememangnya menunjukkan perubahan selepas adik iparnya meninggal dunia setahun lalu.

"Arwah adik ipar adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik. Semasa hayatnya, arwah selalu utamakan mak. Adik beradik lain pun utamakan mak juga tapi arwah ni lain sikit.

"Dia sakit tapi dia nak jaga mak. Mereka juga tak pernah berjauhan langsung... sebab tu mak mentua terkesan. Wallpaper telefon bimbit mak pun letak gambar arwah, dan mak selalu dengar rakaman suara arwah yang dia simpan.

"Sepanjang larangan tak boleh pergi ziarah kubur, mak sedih sangat. Walaupun dah setahun arwah pergi, kalau duduk seorang diri, mak pasti menangis.

"Pernah juga masa sedih dulu, mak mentua cakap teringin nak ikut arwah 'ke sana' bersama. Setahun dia rindu... sebab tu dia happy bila dah jumpa dengan 'kembar' arwah," ujarnya.

kembar 2

Salah seorang adik ipar Syira turut mengabadikan kenangan bersama Amin, pemuda yang mempunyai iras seperti arwah Muhammad Alif Affandi Adnan.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Syira dalam masa yang sama meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan netizen.

"Ramai sangat yang tolong jejaki Amin masa saya mula-mula upload video tu, kami terharu dan nak ucap terima kasih tak terhingga. Dengan bantuan merekalah, kami berjaya hubungi Amin semula.

"Disebabkan viral, ramai yang ikuti kisah tersebut dan minta saya update setiap perkembangan dalam usaha kami pertemukan Amin dengan mak mentua. InsyaAllah kami akan set masa yang sesuai.

"Tak kurang juga, ramai juga yang mengharapkan agar Amin diambil sebagai anak angkat.

"Apa pun, kami sekeluarga nak ucap jutaan terima kasih kepada Amin kerana sudi mahu luangkan masa untuk mak mentua kelak," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain