suria

Ujian sebelum kahwin... wanita pilih setia walaupun bakal suami cedera parah digilis lori, akui majlis nikah bukan lagi keutamaan

Pasangan ini berdepan ujian berat di mana si suami ditimpa kemalangan ngeri dua minggu sebelum tarikh pernikahan.

MANUSIA hanya mampu merencana, namun Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Itulah pepatah sesuai bagi menggambarkan situasi pasangan ini yang diuji saat menjelangnya hari bahagia mereka.

Ketika segala persiapan untuk meraikan detik bersejarah dalam hidup mereka sudah hampir sempurna sepenuhnya, tanpa disangka, bakal pengantin lelaki terlibat dengan kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawa, dua minggu sebelum tarikh ijab kabul.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini berdepan ujian sukar sebelum kahwin! Semua ahli keluarga perlu merasa Covid-19, mula-mula tunang kemudian nikah pula ditangguh

ARTIKEL BERKAITAN: Termenung sendiri sambil pegang bunga tangan anak perempuan, selepas nikah baru ‘terbongkar’ bapa sedih tak sempat kenal pengantin lelaki

Gara-gara kecelakaan tersebut, tarikh majlis pernikahan terpaksa ditunda sehingga pengantin lelaki pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

Mengimbas kembali tragedi hitam yang berlaku awal Oktober lalu, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Piya Fadzill berkata ketika kejadian, suaminya, Bizawira Putra, 24, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dengan menunggang motosikal.

"Dalam perjalanan pulang ke rumah berhampiran Jalan Telaga Simpul, Kemaman, suami kena gilis dengan lori tanah. Dia alami cedera parah daripada bahagian peha ke bawah.

"Masa kejadian, saya di rumah. Saya dapat berita mengejutkan itu apabila tergerak nak WhatsApp adiknya, bertanya dia dah balik kerja ke belum. Tak sangka, adik dia beritahu yang abangnya kemalangan.

"Saya mula-mula ingatkan kemalangan biasa saja. Tapi masa di hospital, doktor maklumkan keadaan sebenarnya. Ketika itu tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan saya.

"Memang tak fikir majlis kahwin dah, apa yang saya tahu, saya tak henti-henti berdoa semoga dia cepat sembuh, cepat sedarkan diri. Masa itu saya hanya berdoa, reda dan menyerahkan semuanya kepada Allah," kata wanita berusia 23 tahun ini.

suami kemalangan 1

Suami Piya terlantar selama kira-kira sebulan di hospital akibat kecederaan parah daripada bahagian paha ke bawah.

Menurut Piya, akibat kemalangan ngeri tersebut, tulang keting kanan suaminya hancur selain mengalami keretakan pada lutut, patah paha kanan, patah tangan kiri, keretakan tempurung kepala dan gegaran otak.

Suaminya juga terlantar kira-kira sebulan di hospital, termasuk terpaksa ditidurkan selama seminggu.

"Dalam tempoh itu, saya hanya mendapat berita perkembangan dirinya daripada ayah mentua yang menjaganya selama di hospital.

"Kedua-dua keluarga dan rakan-rakan tak henti-henti buat solat hajat dan berdoa moga dia sedar dan kembali pulih. Alhamdulillah, berkat doa semua, dia sedar dan menunjukkan perkembangan positif.

"Saya dan keluarga bersyukur sangat-sangat sebab dia diberi peluang kedua," ujarnya.

Setiap percintaan, kalau kita ikhlas dengan pasangan, susah atau senang dia, kita kena bersama-sama. Itulah yang menguatkan sesebuah percintaan.

PIYA FADZILL

Tambah Piya, sungguhpun ketika itu suaminya mengalami kecederaan parah dan mempunyai harapan tipis untuk selamat, namun dia tetap yakin dengan qada serta qada Allah, malah memilih untuk setia menunggu.

"Setiap percintaan, kalau kita ikhlas dengan pasangan, susah atau senang dia, kita kena bersama-sama. Itulah yang menguatkan sesebuah percintaan.

"Dalam pada itu, sokongan keluarga juga sangat penting ketika dilanda ujian macam ni.

"Kita kena percaya, setiap ujian ada hikmah. Kita tak tahu apa yang akan jadi. Allah duga ni ada maknanya, untuk angkat darjat kita menjadi lebih reda dan sabar," katanya.

Tambahnya lagi, mereka akhirnya selamat diijabkabulkan pertengahan November lalu dalam suasana yang sederhana yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan terdekat.

suami kemalangan 2

Piya akhirnya diijabkabulkan dengan suaminya pada pertengahan November lalu.

Sekadar membuat perkongsian pengalaman di aplikasi TikTok, Piya sama sekali tidak menyangka dihujani dengan kata-kata semangat dan doa daripada netizen yang mendoakan kebahagiaan rumah tangganya.

"Kami rasa bersyukur dapat disatukan akhirnya. Walau dalam keadaan macam ni, sekurang-kurangnya saya boleh jaga suami. Sekarang ni suamu masih perlu guna wheelchair dan jalani rawatan berkala untuk cuci luka.

"Saya tak ada niat nak viral, sekadar muat naik untuk kenangan saja. Bagi yang ada suami atau orang tersayang diuji sakit, kita kena jadi sistem sokongan mereka. Jangan bagi mereka down, bagi mereka semangat dan jangan tinggalkan mereka.

"Sekali lagi saya minta doa supaya terus mendoakan kesembuhan suami, cepat boleh berjalan dan pulih seperti biasa. Kita tak tahu, dalam doa ramai orang, mungkin ada yang Allah angkat," katanya lagi.

Sehingga kini perkongsian Piya di aplikasi TikTok meraih melebihi 100,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain