KE mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Begitulah pepatah yang boleh digambarkan buat pasangan ibu dan anak yang menjadi perhatian di media sosial kerana bakat nyanyian mereka. Duduk bersantai di lantai rumah, seorang pemuda bersama ibunya mencuri perhatian apabila menyanyikan lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma. ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka sado nyanyi lagu Mariah Carey, ramai terpukau tonton video acapella secara solo - "Menyanyi, bina badan dua-dua saya minat" ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sangka Amelina, sehingga pemilik suara dalam van bergerak Jabatan Penerangan di kawasan PKPD munculkan diri... rupa-rupanya kakak penyanyi terkenal Pemuda itu, Muhammad Muhaimin Baharudin berkata, dia mula menceburi bidang nyanyian sebagai penyanyi sambilan di sekitar Melaka sejak 2019. Pemuda berusia 24 tahun itu memberitahu, pada masa sama dia turut menyediakan khidmat sebagai DJ atau pakej 'dua dalam satu' iaitu menyanyi dan DJ di majlis-majlis kahwin. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Minat menyanyi ni sebenarnya ikut mak yang suka menyanyi. Mak tiada pengalaman dalam bidang nyanyian tapi itu minatnya. Alhamdulillah itu bakat semula jadi mak. "Bukan saya saja, malah adik-beradik lain juga gemar menyanyi. Selain saya, dua kakak saya turut menjadikan bidang nyanyian sebagai sumber rezeki mereka," katanya kepada mStar. Foto kiri Aimin dan ibu berduet di majlis kahwin. kanan ibu Aimin turut menyanyi secara solo. Video duet Muhammad Muhaimin atau lebih mesra disapa Aimin bersama ibu menyanyikan lagu Malam Bulan Di Pagar Bintang meraih hampir sejuta tontonan di aplikasi TikTok. Aimin yang berasal dari Melaka Tengah berkata, penglibatan ibunya yang berusia 60 tahun menerusi perkongsian video-video di aplikasi popular itu bermula dari rakaman mereka berdua membuat persembahan di sebuah majlis kahwin. Mak tiada pengalaman dalam bidang nyanyian tapi itu minatnya. Alhamdulillah itu bakat semula jadi mak MUHAMMAD MUHAIMIN BAHARUDIN "Masa tu saya jadi DJ merangkap penyanyi di majlis kahwin jiran. Mak turut datang ke majlis untuk bantu apa yang patut dan mengambil peluang untuk menunjukkan bakatnya. "Dari situ ramai minat tengok mak menyanyi dan request lagi video mak. Kalau nak dapat kepercayaan orang dan buat orang suka, kita layan komen mereka," ujarnya sambil menambah ibunya yang juga nenek kepada tujuh cucu mengusahakan kedai jahit di Bandar Melaka. Dua beranak ini berbakat dalam bidang nyanyian. Berkongsi pengalaman, Aimin yang merupakan anak bongsu daripada lima turut berkebolehan menyanyi dalam pelbagai bahasa. "Dari segi nyanyian, saya suka discover bahasa-bahasa asing selain lagu Melayu dan Inggeris. Contohnya, saya boleh menyanyi lagu-lagu Mandarin, Kantonis, Tamil dan Hindi. "Saya juga menyanyi lagu-lagu Sepanyol, Korea, Jepun, Vietnam dan Arab. Lagu Sepanyol antara lagu kesukaan saya kerana tidak ramai penyanyi tempatan boleh menyanyikan lagu dalam bahasa itu," katanya yang sering membuat persembahan dengan lagu Sepanyol berjudul Despacito yang dipopularkan oleh penyanyi Puerto Rico, Luis Fonsi bersama penyanyi rap Daddy Yankee. Ketika menyertai program Lagu Cinta Kita musim kedua. Dalam pada itu, penggemar muzik genre pop rock dan reggaeton ini mahu membuat persembahan dengan lebih banyak lagu-lagu asing selain lagu tempatan. Ini kerana kata Aimin, impiannya untuk bergelar penyanyi suatu hari nanti yang bukan sahaja dikenali di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa. Aimin kini penyanyi sambilan selain bergelar DJ di majlis-majlis. "Jika ada rezeki, saya mahu bergelar penyanyi terkenal. Bukan setakat menjadi penyanyi komersial tapi juga boleh discover banyak bahasa luar negara. "Banyak lagi lagu bahasa asing yang ingin saya nyanyi seperti Perancis, Jerman dan Itali. Saya mahu capai peringkat lebih atas dalam bidang nyanyian, itu adalah impian saya," katanya yang mengagumi penyanyi Bruno Mars, Michael Buble dan Michael Jackson. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI