suria

Baru 14 tahun, ada sebab abang long sanggup berhenti sekolah... demi keluarga gigih guna motor angkut stok, kini ada kereta tapi tetap teringin nak belajar

Hazim berjaya membeli sebuah kereta terpakai minggu lalu.

KEHIDUPAN anak sulung ini berubah sepenuhnya selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 2014.

Imbas Muhammad Hazim Mohd Rosli, 23, dia terpaksa mengorbankan kepentingan diri demi membantu ibu, Roslinda Mohammed, 45, serta empat lagi adiknya yang masih kecil pada waktu itu.

Demi mencari sesuap nasi, dia yang senang disapa Hazim sanggup meninggalkan dunia persekolahan dan mula berniaga seawal usia 14 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan viral di mStar, peniaga kambing bakar tak menang tangan terima tempahan... ramai ikut jejak bersedekah - “Rezeki Allah balas balik”

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga terkejut ramai mesej tanya nasi kerabu, rupa-rupanya diri dah viral sebab tak kedekut - “Kalau boleh nak jumpa depan-depan”

"Saya mula buat bisnes selepas arwah ayah meninggal dunia. Arwah jatuh dalam bilik air. Masa tu saya tingkatan dua, saya tengok mak seorang yang bekerja untuk kami. Mak saya kerja housekeeping saja.

"Saya kesian tengok mak nak tanggung saya dan adik-adik. Jadi saya pun berhenti sekolah. Mulanya saya cuma bantu makcik saya berniaga laksa. Kemudian, saya jadi makin minat nak buat bisnes sendiri.

"Bermula detik itu, saya berniaga macam-macam benda. Cermin mata, topi, kasut dan macam-macam lagi. Asal boleh jadi duit untuk bantu adik-adik, saya tak kisah. Masa bulan puasa, saya juga ada jual sampul raya," imbasnya.

Menurut Hazim, kadang-kala dia juga teringin untuk menjalani hidup seperti rakan sebaya yang lain.

hazim2

Hazim bersama keluarganya.

Namun, dia reda akan ketentuan tuhan dan percaya ada hikmah disebalik dugaan yang menimpa dirinya sejak usia muda.

"Saya pun ada keinginan untuk belajar balik. Tapi dah jalan hidup saya macam ni, jalan cerita saya macam ni... saya jalan saja.

Saya beli sebuah kereta minggu lepas. Alhamdulillah dapat beli kereta pertama cash walaupun tak mahal.

HAZIM

"Sekarang, tiga adik masih sekolah. Saya cakap, jangan jadi macam saya, tak habis sekolah. Kalau boleh patah balik, saya pun nak sekolah.

"Tapi saya percaya Allah dah atur macam ni, saya percaya rezeki Allah itu luas. Janji kita rajin usaha dan tak tinggal solat," ujarnya.

Bercerita lanjut, Hazim berkata dia kini masih lagi meneruskan perniagaan, namun fokus dengan operasi secara atas talian dan siaran langsung (live) di aplikasi TikTok serta Instagram.

Menurut jejaka yang menetap di Kuala Lumpur itu, banyak cabaran yang terpaksa dilalui termasuklah berhujan-panas dengan kapcai miliknya untuk menghantar barang tempahan pelanggan.

hazim3

Hazim turut mengusahakan kedai burger sejak dua bulan lalu.

Malah, video memaparkan Hazim menaiki sebuah motosikal yang dipenuhi dengan stok barang jualan turut tular setelah dikongsi di media sosial miliknya.

"Sejak tahun lepas saya banyak buat live berniaga di Instagram dan TikTok. Yang video naik motor tu, saya bawa stok kasut, baju, topi dan stokin untuk dihantar kepada pelanggan.

"Video itu bukan nak minta simpati, cuma saya nak tunjuk yang saya memang dah terbiasa hidup susah. Saya cuba nak keluar dari hidup susah. Sekarang saya pun tak kaya lagi, tapi Alhamdulillah cukup makan.

"Keluarga menjadi kekuatan utama saya. Biarlah orang nak cakap buruk sekalipun, saya tak akan putus asa. Mulut orang tak akan bagi kita senang, buat saja apa yang kita suka. Yang penting, elakkan berkawan dengan orang negatif," ujarnya.

Hasil bertahun-tahun berniaga, Hazim akhirnya berjaya membeli sebuah kereta terpakai pada minggu lalu, sekaligus dapat memudahkan lagi pergerakannya selepas ini.

hazim1

Kisah Hazim tular selepas dia membuat perkongsian mengenainya di media sosial.

Namun kata Hazim, dia terkilan kerana Allahyarham bapanya tidak sempat melihat dia meraih pencapaian itu.

"Saya beli sebuah kereta minggu lepas. Alhamdulillah dapat beli kereta pertama cash walaupun tak mahal. Saya sangat gembira dan bersyukur.

"Cuma, tak sempat nak tunjuk kat arwah ayah. Sebab dulu pernah cakap kat ayah, tapi tak sempat dia nak tengok," ujarnya sebak.

Dalam perkembangan terbaharu, Hazim mengorak selangkah lagi apabila membuka sebuah gerai burger di Ampang sejak dua bulan lepas.

Kata Hazim, tiada apa yang diharapkan selain rezeki mencurah-curah agar dia terus dapat berbakti untuk keluarganya selepas ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain