suria

Gigih kumpul duit, suami isteri berhenti kerja nak berbudi pada tanah... berbaloi pekakkan telinga diperlekeh, dah tuai 20 ekar pisang dan ubi!

Pasangan ini mengusahakan 20 ekar tanah gersang kepada kebun pisang tanduk dan ubi kayu.

MUNGKIN bagi sesetengah orang, pertanian merupakan bidang yang tidak mendatangkan keuntungan atau tidak 'glamour' kerana terpaksa bergelumang dengan tanah serta benda kotor.

Namun berbeza pula dengan lelaki ini yang menjadikan pertanian sebagai salah satu impian dalam hidupnya.

Siapa sangka, bermula dengan angan-angan, lelaki ini akhirnya berjaya merealisasikan impiannya dengan mengusahakan kebun pisang tanduk dan ubi kayu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami tak jual, siapa nak boleh ambil” - Selepas tanam sayur di laman rumah untuk sedekah, 2 jejaka bujang tak sangka dapat permintaan lain

ARTIKEL BERKAITAN: Balik kampung nak jaga ayah sakit, jurulatih kecergasan isi masa berkebun akui ia bukan kerja mudah... mencangkul, tebang pokok dah macam gim kedua!

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Hafiz Abd Razak berkata kebun seluas 20 ekar yang diperoleh dengan menyewa lot tanah di Labis, Segamat, Johor itu hanya diusahakan bersama-sama isteri, Zulaika Musa.

"Sebenarnya kalau nak diikutkan enam bulan sebelum berjaya usahakan kebun ini, saya dah pasang angan-angan. Lagi pula tahun lepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi kita tak boleh ke mana-mana pun. Kami simpan gaji yang dapat.

"Saya bekerja sebagai pemandu lori sawit, isteri pula kerani kilang sambil berniaga online. Alhamdulillah, bila modal dah terkumpul, kami sepakat berhenti kerja pada Mac 2021.

"Perancangan asal, dengan modal tu, saya nak ambil lesen kontraktor. Tapi ayah saya bagi cadangan untuk buat kebun. Itulah datangnya idea untuk sewa lot untuk buat kebun," ujar lelaki berusia 33 tahun dari Batu Pahat ini.

pisang 4

Muhammad Hafiz menyewa lot tanah di Labis untuk mengusahakan tanaman pisang tanduk dan ubi kayu.

Menurut Muhammad Hafiz, 15 ekar tanah berkenaan diusahakan dengan tanaman pisang tanduk manakala yang selebihnya tanaman ubi kayu.

Bercerita mengenai cabaran, Muhammad Hafiz berkata segala-galanya ditempuhi dengan cekal dan menganggap ia sebagai sebahagian daripada pengalaman berharga.

"Cabaran tu jangan cakap, saya sendiri bertukar warna kulit. Cabaran utama dari segi cuaca. Kalau cakap-cakap orang yang pandang rendah tu, itu benda biasa. Ramai je yang perlekeh tapi kita pekakkan telinga.

pisang 5

Cuaca merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh Muhammad Hafiz.

"Namun ini yang kita pilih maka kita jalan terus. Saya tak ada pendidikan rasmi dalam bidang pertanian. Hanya ada pengalaman ikut ayah berkebun masa muda-muda dulu jadi dari situlah tahu serba sedikit.

"Pada peringkat awal, biasalah ada je anak pokok yang mati. Tapi itu adalah pengalaman," ujarnya.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Hafiz berkata video yang tular baru-baru ini di aplikasi TikTok adalah ketika dia dan isteri menuai hasil pisang tanduk buat kali pertama.

Sebenarnya kalau nak diikutkan enam bulan sebelum berjaya usahakan kebun ini, saya dah pasang angan-angan.

MUHAMMAD HAFIZ ABD RAZAK

"Tuaian fasa pertama adalah pada 20 November lalu sejak mula menanam pada bulan Mac. Dapat lebih daripada 100 kilogram pisang tanduk. Ia dituai secara berperingkat dan kalau ikut jumlah pokok, hasilnya boleh capai 100 tan.

"Memang perasaan kali pertama menuai hasil tu lain sangat 'feel' dia. Selepas macam-macam yang dilalui, curah modal dan keringat, nikmatnya tak terkata... memang bersyukur sangat-sangat. Lebih-lebih lagi buat berdua je dengan isteri sebab nak jimat kos," ujarnya lagi.

pisang 2

Pasangan ini nekad berhenti kerja untuk berjinak dalam bidang pertanian.

Tidak menyangka perkongsian video yang dimuat naik oleh isterinya meraih melebihi 290,000 jumlah tontonan, Muhammad Hafiz berkata mereka sekadar mahu mengabadikan momen berkenaan selain mahu memberi inspirasi kepada orang lain.

"Sebenarnya isteri saya banyak berkongsi video suka duka kami usahakan kebun, dari semak hinggalah dah menuai. Siapa yang follow TikTok dia, mereka tahu perjalanan kami sehingga kini.

pisang 3

Berbulan mengusahakan kebun, pasangan ini menuai hasil pertama pada bulan lalu.

"Impian selepas ini, sudah tentu nak besarkan lagi kebun. Target kami, nak tambah tanah lot kebun dan nak buka kilang kerepek sendiri pada 2023, jika ada rezeki mudah-mudahan.

"Apa yang boleh saya kongsikan, pertanian ini menguntungkan tapi caranya nak kena betul. Jangan buat separuh jalan. Dan angan-angan tu penting sebagai motivasi untuk maju ke depan," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain