suria

“Tak sempat duduk pun atas pelamin’’ - Pengantin tak tangguh photoshoot, rela basah abadikan momen perkahwinan dalam banjir

Pasangan pengantin ini tetap tersenyum biarpun banjir melanda pada hari perkahwinan mereka.

PERSIAPAN rapi pasangan ini untuk majlis bersejarah mereka punah apabila banjir melanda sebahagian kawasan di Selangor sejak beberapa hari lalu.

Di sebalik bencana yang melanda, Ain Nashwa Md Aszman, 26, selamat dinikahkan dengan pasangannya, Muhammad Syafiq Azhar, 27, di sebuah surau pada Sabtu.

Imbas pengantin perempuan yang senang disapa Ain ini, air banjir mula memenuhi kediamannya di Rantau Panjang, Klang pada Jumaat malam, sekali gus membuatkan dia gusar memikirkan majlis yang bakal berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: “Penat tapi kenalah buat juga’’ - Pengantin ‘murah senyuman’ tetap menonjol di hari bahagia, video tenang dalam banjir raih lebih 7 juta tontonan

ARTIKEL BERKAITAN: “Tetap jadi kenangan yang abadi” - Debaran nak nikah belum selesai, kereta bawa pengantin tersangkut dalam banjir!

"Kawasan rumah masuk air dalam jam 12 malam. Masa tu agak risau sebenarnya, saya memikirkan majlis yang akan berlangsung esoknya.

"Pelamin yang dipasang pun basah. Tapi mujur kerusi untuk bersanding tak basah, kerana ia diletakkan di atas platform pelamin itu.

"Esoknya saya patut akad nikah jam 10 pagi, tapi tertunda sehingga 11.30 pagi gara-gara banjir," ujarnya.

Selain upacara akad nikah, Ain sudah menempah makanan daripada pengusaha katering untuk jamuan di kediamannya pada hari tersebut.

ain2

Antara foto yang sempat dirakam biarpun keadaan cuaca tidak begitu mengizinkan.

Kata wanita itu, segala persiapan sudah dilakukan, jadi dia seleluarga tetap meneruskan acara berkenaan biarpun air sudah memenuhi kawasan kediaman.

"Katering pun dah tempah, jadi kami teruskan saja. Nak tak nak, kami teruskan majlis. Ada juga yang datang, tapi kami faham yang mana tak dapat datang.

Atas pelamin tak sempat nak bergambar, tak sempat duduk pun.

AIN

"Mulanya sudah tentu saya sedih sebab dah buat persiapan rapi. Tapi saya reda, saya yakin Allah ada perancangan lain. Keluarga dan suadara pun bagi sokongan," ujarnya.

Di sebalik kedukaan itu, Ain dan suaminya turut mengabadikan kenangan unik mereka dalam satu sesi photoshoot banjir bersama jurufoto dan juruvideo yang sudah ditempah awal.

"Sekurang-kurangnya ada juga gambar. Tambahan pula, kami pakai baju sendiri, bukan baju sewa. Jadi tak risau untuk ambil gambar dalam banjir.

aim4

Ariff (kiri) dan Khairul Ikhwan (kanan) bertindak sebagai jurufoto dan juruvideo untuk acara tersebut.

"Atas pelamin tak sempat nak bergambar, tak sempat duduk pun. Pelamin juga sudah dibuka, risau gelombang kedua banjir melanda," ujarnya.

Dalam pada itu, jurufoto terlibat, Mohamad Ariff Rosly, 25, mengakui ia merupakan pengalaman pertamanya membuat sesi photoshoot ketika banjir.

"Saya pernah ambil gambar dalam situasi hujan, tapi dalam banjir, ini yang pertama kali.

"Mereka sebenarnya tempah untuk dua event. Pagi tu kami dah ambil gambar mereka sekeluarga di surau selepas akad nikah.

ain3

Ain dan pasangannya dinikahkan pada Sabtu lalu.

"Kemudian kami dimaklumkan rumah pengantin banjir. Pengantin kata tak ada rezeki, mungkin boleh shoot lain kali.

"Saya bincang dengan juruvideo, akhirnya kami usulkan idea untuk shoot kenangan dalam hujan ketika banjir. Waktu itu air tak berapa tinggi," ujar Ariff lagi.

Menurut Ariff, dia dan juruvideo, Khairul Ikhwan Mohamad, 25, yang sama-sama bernaung di bawah Lenstopia Studio menghabiskan masa sekitar 30 minit untuk mengabadikan momen indah pasangan itu.

Video sesi photoshoot itu turut dikongsi ke aplikasi TikTok sehingga meraih lebih 1.2 juta tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain