suria

Konvoi bawa bot, barang keperluan dari Kedah bergegas ke lokasi banjir... tragedi Tsunami 2004 bakar semangat nelayan, mahu teruskan misi tanpa kenal erti penat

Foto kiri Man Gajah (kanan) bersama seorang teman membawa bantuan untuk mangsa banjir, kanan antara bot yang turut dibawa ke lokasi banjir.

KEPRIHATINAN rakyat Malaysia jelas dapat dilihat menerusi semangat kesukarelawan mereka membantu mangsa-mangsa banjir.

Tanpa mengira latar belakang, masing-masing turun padang untuk menyalurkan bantuan.

Golongan nelayan turut tidak terkecuali menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir, sejak minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Simpati nasib mangsa banjir, Sunway Lagoon turun padang hulur pelbagai bantuan

ARTIKEL BERKAITAN: Mesra, rasa dekat macam keluarga... mangsa banjir di Hulu Langat terharu anak menantu PM luangkan masa bersihkan rumah

Salah seorang peserta konvoi itu, Abdul Rahman Murad berkata, kira-kira 40 penduduk Kota Kuala Muda dan kawasan sekitar Kedah dengan sebahagiannya nelayan telah bergegas ke salah satu lokasi terjejas teruk akibat banjir di Klang, Selangor.

Nelayan berusia 38 tahun itu memberitahu, perjalanan secara konvoi pada Khamis minggu lalu itu melibatkan kira-kira 20 kenderaan pacuan empat roda bagi membawa pelbagai bantuan dan barang keperluan.

nelayan turun padang 2

Sebahagian pacuan empat roda yang menyertai konvoi bantuan banjir.

"Macam-macam kami bawa untuk mangsa-mangsa banjir, ada barang keperluan seperti beras dan gula, pelbagai jenis makanan, tuala wanita dan lampin pakai buang.

"Selain itu, kami juga bawa keperluan lain seperti tudung, telekung, kain dan sejadah," katanya kepada mStar.

nelayan turun padang 1

Pelbagai barangan keperluan untuk mangsa banjir.

Lebih dikenali sebagai Man Gajah, katanya, kira-kira enam bot dibawa menggunakan pacuan empat roda untuk kegunaan sukarelawan di lokasi banjir.

"Perjalanan dari Kota Kuala Muda ke Klang mengambil masa lama lebih panjang sebab ada antara kami membawa bot untuk keperluan kumpulan sukarela.

"Semua barang keperluan yang kami bawa adalah hasil sumbangan antara kami dan orang ramai," katanya yang berpengalaman sebagai nelayan selama 15 tahun.

nelayan turun padang 9

Pasukan sukarelawan membuat persediaan sebelum ke lokasi terjejas banjir.

Bukan sekadar nelayan, Man Gajah berkata, antara lain yang menyertai jelajah bantu mangsa banjir itu adalah dalam kalangan kaki pancing, pemandu bot dan tekong.

"Segala barang sumbangan diserahkan kepada sukarelawan untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir. Bot-bot yang juga dipinjamkan untuk sukarelawan menjalankan operasi mereka selama dua hari sebelum kami pulang ke Kedah pada Sabtu," tambahnya.

nelayan turun padang 8

Sebahagian daripada kumpulan sukarelawan yang menyertai konvoi.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, bencana banjir yang berlaku mengingatkannya kembali pada tragedi tsunami yang melanda beberapa kampung di Kota Kuala Muda.

"Dulu saya antara penduduk yang terjejas akibat tsunami pada 2004. Rumah saya yang di tepi laut dulu habis roboh dinding, tinggal lantai saja.

"Pada masa itu, kami tinggal sehelai sepingang dan teringat pelbagai pihak membantu kami. Jika dulu kami dibantu, kenapa tidak kami pula yang membantu orang lain?" ujarnya.

Kalau kami penat, apatah lagi orang-orang (mangsa) di sana (banjir). InsyaAllah, misi diteruskan dengan sumber bantuan dan kudrat daripada kami semua tanpa mengenal penat lelah

MAN GAJAH

Dalam pada itu, Man Gajah berkata, mereka akan meneruskan misi menghulurkan bantuan dengan destinasi seterusnya di Hulu Langat yang juga terjejas teruk akibat banjir.

"InsyaAllah kita akan gerak secara konvoi ke Hulu Langat pada Jumaat, dan selepas itu kembali ke Kedah dan seterusnya ke Pahang pula yang turut dilanda banjir," katanya.

nelayan turun padang 10

Serahan bantuan di lokasi terjejas banjir.

Mengakui penat berhujan berpanas dalam menghulurkan bantuan, namun kata Man Gajah, apa yang lebih penting adalah niat mereka untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Penat tu memang penat tapi tak apalah. Kami buat semua ni pun kerana Allah. Kalau kami penat, apatah lagi orang-orang (mangsa) di sana (banjir).

"InsyaAllah, misi diteruskan dengan sumber bantuan dan kudrat daripada kami semua tanpa mengenal penat lelah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain