suria

Minat K-Pop, Spiderman pemalu terjumpa jodoh ketika menari di konsert Twice 2019... siapa sangka dah jadi imam staf klinik gigi

Aidil dan isterinya pernah menari bersama ketika konsert Twice diadakan di ibu negara pada tahun 2019.

APABILA berbicara soal jodoh, tiada siapa dapat menduga apa yang sudah diaturkan untuk kita.

Pasangan ini misalnya, mereka pertama kali bertemu ketika menghadiri konsert kumpulan K-Pop wanita Twice di Axiata Arena pada tahun 2019.

Sebelum konsert itu berlangsung, Muhammad Aidil Syawal Supar, 22, yang memakai kostum Spiderman terlibat dalam satu acara tarian yang turut disertai isterinya, Dayang Tia Qhazria Abang Azmin, 23, bersama rakan peminat K-Pop yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu dunia kecoh pandemik, ‘muncul’ Spider-Man selamatkan sebuah gerai burger - “Terbaharu PKPB pula, tak tahulah nasib saya”

ARTIKEL BERKAITAN: “Bomba tu nak jatuh, disambut pengantin perempuan” - Photoshoot pra-perkahwinan jadi scene filem Spider-Man

Biarpun tidak mengenali antara satu sama lain, mereka mula berkawan selepas tamat konsert tersebut sehinggalah disatukan secara sah pada 2 Disember lalu.

"Sebelum konsert bermula, ada acara random dance. Saya ke konsert itu dengan memakai kostum Spiderman. Saya suka menari, tapi tiada keyakinan diri. Saya hanya nak tampilkan bakat tanpa tunjuk diri yang sebenar.

"Dalam aktiviti tarian itu, isteri saya pun ada. Kami menari bersebelahan, tapi tak mengenali antara satu sama lain. Ketika itu, kali pertama kami jumpa. Selepas habis konsert, baru kami berkawan.

"Kebetulan dia kerja klinik gigi, saya pula nak pakai pendakap gigi. Sejak itu kami mula berhubung dan mengenali hati budi," ujarnya yang sedang disapa Aidil.

aidil3

Aidil dan isterinya pertama kali berkenalan pada tahun 2019.

Menurut jejaka yang bekerja dalam penyediaan Makanan dan Minuman (F&B) itu, dia tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Namun katanya, dia tidak menolak takdir dan berharap bahtera yang dilalui bersama isteri akan sentiasa berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Bila jodoh datang awal, saya terima dan bersedia untuk galas tanggungjawab.

AIDIL

"Memang rasa muda. Tapi saya terima jodoh seadanya. Alam perkahwinan ni memang kita akan lalui, cuma antara cepat atau lambat saja.

"Bila jodoh datang awal, saya terima dan bersedia untuk galas tanggungjawab. Saya fikir nak berhenti minat K-Pop, tapi dapat isteri yang minat K-Pop, jadi kami teruskan minat sama-sama.

"Saya ada kumpul album kumpulan Twice, isteri saya pun ada koleksi sendiri. Sekarang bila kami tinggal bersama, koleksi jadi bertambah," ujarnya berseloroh.

aidil5

Aidil sering menari sambil memakai kostum Spiderman suatu masa lalu.

Menurut Aidil yang menetap di Cheras, dia juga tidak menyangka video tariannya bersama isteri yang dirakam pada 2019 akan tular di aplikasi TikTok.

Malah, Aidil turut berterima kasih atas ucapan tahniah yang dikirimkan buat dirinya dan isteri oleh netizen di platform video itu.

"Saya terkejut bila video itu viral. Ramai yang ucap tahniah dan doa yang baik-baik. Saya cuma nak ucap terima kasih atas doa anda semua.

aidil2

Pasangan ini disatukan pada 2 Disember lalu.

"Ada juga yang komen bergurau, kononnya nak dapat jodoh sama-sama dengan yang minat K-Pop," ujarnya lagi.

Setakat ini, video melibatkan pasangan itu meraih lebih setengah juta tontonan di TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain