suria

Tripple joy! Bukan je sarung jubah konvokesyen, bakal mak mentua siap pakaikan cincin tunang! Gadis ini anggap penutup 2021 begitu bermakna

Amira dirisik sewaktu hari konvokesyennya baru-baru ini.

MAJLIS konvokesyen adalah hari yang paling dinanti-nantikan oleh para graduan bagi meraikan kejayaan selepas berhempas-pulas di menara gading untuk tempoh beberapa tahun.

Pada hari bersejarah tersebut, sudah pastinya para graduan akan diraikan oleh ahli keluarga masing-masing yang tidak lupa menghadiahkan jambangan bunga atau hadiah lain sebagai tanda ucapan tahniah.

Tanggal 20 Disember lalu bukan sahaja menjadi detik manis buat wanita ini kerana menyarung jubah konvokesyen, malah lebih bermakna, jari manisnya turut disarungkan cincin oleh bakal ibu mentua.

ARTIKEL BERKAITAN: “Betul ke dia nak saya?” - Gadis tak sangka ‘jejaka kenal online’ mesej ibu maklumkan nak kahwin, video tunang viral sampai Indonesia

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini berdepan ujian sukar sebelum kahwin! Semua ahli keluarga perlu merasa Covid-19, mula-mula tunang kemudian nikah pula ditangguh

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Amira Anwar berkata, dia sama sekali tidak menyangka menerima kejutan apabila 'dirisik' pada hari konvokesyennya minggu lalu.

"Saya sememangnya maklumkan kepada bakal tunang mengenai hari konvokesyen yang jatuh pada tanggal 20 Disember. Tapi dia beritahu kena kerja pada tarikh tu... saya pun faham kerjanya memang susah nak dapat cuti.

"Jadi memang saya fikir, dia takkan datang untuk raikan hari konvokesyen saya bersama-sama. Rupa-rupanya, sebulan sebelum tarikh tu lagi, dia dah plan nak buat kejutan merisik pada hari konvo saya," cerita lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pendidikan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini.

Senang disapa sebagai Amira, wanita ini berkata sebelum dia dikejutkan dengan kehadiran keluarga bakal tunangnya, dia terlebih dahulu menerima jambangan coklat daripada lelaki tersebut yang dihantar oleh seorang pekerja 'surprise delivery'.

"Masa bagi ucapan yang dirakam oleh pekerja 'surprise delivery' tu, saya gurau saja cakap, bunga dah dapat, coklat dah dapat, lepasni harap dapat cincin pula.

konvo 1

Amira tidak menyangka menerima kejutan daripada bakal tunangnya sewaktu hari konvokesyen.

"Memang betul-betul tak sangka, satu jam selepas tu, memang dia dan keluarganya terpacul depan mata. Terkejut bila tengok emak saya pimpin emak bakal tunang berjalan ke arah saya," ujar bakal guru yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini.

Tambahnya, dia sendiri tidak menyangka keluarganya turut 'bersubahat' dengan keluarga bakal tunangnya untuk menjayakan kejutan berkenaan.

"Sudah semestinya bakal tunang dah maklumkan dan bincang dengan keluarga saya terlebih dahulu sebelum buat kejutan di hari konvokesyen saya.

Ia adalah penutup tahun 2021 yang sangat bermakna untuk saya.

AMIRA ANWAR

"Momen tersebut ibarat 'triple happiness' untuk saya. Pertama dapat raikan konvokesyen, kedua pula dirisik dan ketiga, esoknya (21 Disember) adalah hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-25.

"Ia adalah penutup tahun 2021 yang sangat bermakna untuk saya," ujarnya lagi sambil menambah, dia dan pasangannya merancang untuk mengadakan majlis pernikahan pada tahun hadapan.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Amira berkata dia sekadar mahu mengabadikan momen-momen indah berkenaan di dalam media sosial sebagai kenangan.

konvo 2

Selain keluarganya, keluarga bakal tunang Amira turut hadir meraikan konvokesyennya.

"Alhamdulillah, ramai sangat yang doakan dan tumpang gembira sekali. Tapi sedih juga bila ada yang DM dan kongsi kisah di mana dia pun rancang perkara yang sama macam saya, tapi tak kesampaian selepas pasangannya curang.

"Usah bimbang, pasti Allah akan menggantikan sesuatu yang lebih baik selepas ini. Dan saya doakan, yang lain juga dapat merasa momen yang sama kelak. Apapun, terima kasih atas ucapan tahniah daripada netizen dan mohon terus doakan untuk kami selepas ini," katanya lagi.

Sehingga kini videonya yang dimuat naik di TikTok meraih melebihi 390,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain