suria

Tersentak kata-kata adik, wanita lelong barang kumpul dana bantu mangsa banjir... hikmah sedekah, insan istimewa kembali ke pangkuan keluarga

Barang-barang elektrik dan dapur memasak yang dibeli secara borong untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.

BUKAN wakil rakyat atau orang terkenal, namun sikap prihatin dengan nasib mangsa banjir membuatkan wanita ini tetap mahu tampil menyampaikan sumbangan.

Menggunakan wang hasil jualan bisnesnya dan dana yang disumbangkan oleh kenalan, wanita ini membeli pelbagai barangan kelengkapan rumah untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di sekitar tempat tinggalnya iaitu Temerloh, Chenor, Mentakab dan Lanchang di Pahang.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Suriani Basar berkata hatinya terdetik untuk berkongsi rezeki kerana dipengaruhi oleh tindakan salah seorang adiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibarat satu keluarga, geng rider tak kisah motor kena lumpur... sanggup lupakan kerja, tolak bonus nak jadi sukarelawan misi bantuan banjir!

ARTIKEL BERKAITAN: Viral 2021: Hebat! Geng anak muda buat nama Felda Lakum jadi sebutan... dulu ‘tong-tong’ duit beli makanan, kini sampaikan bantuan mangsa banjir

"Sebenarnya saya hanya peniaga biasa, bukan NGO atau persatuan. Saya buat bisnes kecil-kecilan berniaga pelbagai barangan kelengkapan rumah, pinggan mangkuk, cadar, sejadah dan lain-lain bersama adik-beradik dan team.

"Sebelum ini saya tak pernah pun buat sumbangan kepada mangsa banjir. Nak dijadikan cerita, tempat saya tinggal iaitu Temerloh dilanda banjir besar. Alhamdulillah, rumah saya selamat tapi hampir-hampir juga air nak naik.

"Bila banjir besar, jalan utama terputus hubungan jadi banyak kawasan tak dapat bantuan. Seorang adik saya minta duit, katanya nak beli makanan untuk diagih di pusat pemindahan sementara (PPS). Dia beli roti, air mineral dan air kotak.

sedekah 2

Mangsa banjir mengambil dapur memasak yang disumbangkan secara percuma oleh Suriani.

"Hari kedua pun sama, dia minta lagi duit. Katanya, dia rasa satu kepuasan bila dapat membantu. Kata-kata itu buat saya tersentak. Saya terfikir, saya buat bisnes, jadi apa salahnya bersedekah... pasti Allah akan gandakan rezeki.

"Sebelum ini bila saya buat live untuk jual barangan, tak sampai 100 orang pun yang join. Tapi hari pertama selepas adik saya sedekah tu, orang yang join live saya cecah 400. Sampai habis barang-barang," ujar wanita berusia 29 tahun ini.

Menurut Suriani, sambutan hebat yang diterima ketika sesi live sebelum itu membuatkannya semakin berkobar-kobar untuk menggerakkan inisiatif sendiri di mana wang terkumpul hasil jualannya akan digunakan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.

sedekah 3

Tikar getah, kipas duduk dan periuk nasi elektrik juga antara barangan yang disumbangkan oleh Suriani.

"Masa awal-awal live dulu, ketika itu banjir baru naik. Saya cepat-cepat buat live sebab bimbang lot rumah yang disewa untuk simpan stok barang jualan dinaiki air.

"Saya lepaskan barang-barang bawah harga modal sebab nak cepat collect dana dan bimbang air naik. Saya beritahu dalam live, saya nak cari dana untuk mangsa banjir dan wang hasil jualan akan digunakan untuk beli pelbagai barangan untuk disumbangkan. Alhamdulillah sambutan menggalakkan.

"Jadi wang hasil jualan itu dicampur dengan sumbangan kenalan, saya beli pelbagai barangan seperti tikar, barang elektrik, toto, dapur memasak dan sebagainya.

"Selepas banjir surut, barang-barang ini yang mereka perlukan. Lagipun dah ramai sumbangkan makanan. Team saya hantar sendiri di rumah-rumah mangsa banjir," ujar ibu kepada dua orang cahaya mata ini.

Saya terfikir, saya buat bisnes, jadi apa salahnya bersedekah... pasti Allah akan gandakan rezeki.

SURIANI BASAR

Tambah Suriani, bantuan yang disalurkan setakat ini merangkumi tiga peringkat, dengan yang pertama dan kedua, mereka menghantar sendiri ke rumah mangsa banjir.

"Untuk batch pertama, sebanyak 37 periuk nasi elektrik dan 18 kipas duduk disumbangkan. Untuk batch kedua, kami beli 63 heater dan 16 periuk nasi elektrik.

"Untuk batch ketiga pula, kami beli 68 set dapur memasak dan saya juga war-warkan di media sosial, siapa memerlukan, sila datang ambil di stokis saya.

"Kali ini kami tak hantar sebab kami takut kawasan yang kami pergi tu dah dapat bantuan. Jadi, siapa yang memerlukan bolehlah ambil di stokis saya.

"Kesemua barangan elektrik dan barangan kelengkapan ini saya beli secara borong dari Kuala Lumpur," ujarnya.

sedekah 4

Team Suriani juga 'turun padang' menghantar barangan untuk disumbangkan ke rumah mangsa banjir.

Gembira dapat bersama-sama meringankan bebanan yang ditanggung mangsa banjir, wanita ini berkata dia terharu apabila secara tiba-tiba menerima mesej daripada orang tak dikenali yang mengucapkan terima kasih atas apa yang dilakukannya.

"Saya cuba letakkan diri saya di tempat mereka. Kalau Tuhan uji aku, mungkin aku jatuh terduduk. Disebabkan itu juga membuatkan hati terjentik.

"Orang kata sedekah ini pembuka rezeki. Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka, tiga hari lalu, kami sekeluarga dapat perkhabaran gembira. Suami saya yang bekerja di Johor Bharu sebagai penjawat awam, akhirnya berjaya ditukarkan ke Temerloh.

"Permohonan pertukaran sebelum ini banyak kali kena reject, namun kali ini Allah makbulkan. Saya bersyukur sangat sebab kami PJJ, kini suami kembali bersama keluarga.

"Saya memang percaya dengan kuasa sedekah. Allah pasti akan beri ganjaran. Kalau bukan di sini, pasti ada ganjaran di sana kelak," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain