suria

Ibarat 'eye-opening', ramai ternganga tengok suasana terkini rumah panjang di Sarawak... seronoknya 17 keluarga sanak saudara berjiran

Alicia mengenakan pakaian tradisional etnik Kenyah, (kanan) suasana rumah panjang ketika perayaan.

SEBUT sahaja rumah panjang, pasti ramai yang membayangkan rumah tradisional etnik Sarawak yang tidak mempunyai banyak barang dan dekorasi yang serba ringkas.

Namun tanggapan tersebut meleset sama sekali apabila melihat perkongsian seorang wanita mengenai situasi sebenar rumah panjang ketika ini yang jauh berbeza daripada apa yang digambarkan.

Bukan sahaja luas, malah rumah panjang yang didiami oleh keluarganya tampak meriah, ceria dan serba moden.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mix Filipina, bukan juga keturunan Melayu Borneo! Gadis ini buat ramai terkejut selepas dedah identiti diri

ARTIKEL BERKAITAN: Kenal sejak Tingkatan 4, pengantin Iban-Melayu imbas momen indah di sekolah... cikgu pun join photoshoot! - “Dulu fikir cinta monyet je”

Jangan terkejut kerana penempatan tersebut juga mendapat liputan rangkaian talian telefon dan capaian internet!

Berkongsi cerita dengan mStar, Alicia Sibi berkata dia membesar di rumah panjang yang terletak di Sungai Asap, Belaga sejak 26 tahun lalu.

"Dari kecil lagi saya dibesarkan di sana. Hanya apabila melanjutkan pelajaran, barulah saya berhijrah dari kampung. Ibu bapa serta sanak saudara semuanya masih menetap di rumah panjang.

"Di kampung saya ada 14 blok rumah panjang iaitu A hingga N. Rumah panjang kami ini kiranya penempatan semula. Jadi rezeki kami sekeluarga dan sanak saudara dapat duduk di satu blok yang sama iaitu A.

"Di blok A, ada 17 pintu semuanya... kiranya 17 keluarga. Di blok-blok lain ada antara 15 pintu hingga 17 pintu.

rumah panjang 1

Suasana di dalam rumah panjang keluarga Alicia.

"Kampung saya boleh dikira moden dari segi kemudahan seperti elektrik, air dan liputan talian telefon serta internet. Saya post video pun dari kampung," ujar wanita berusia 26 tahun ini.

Menurut Alicia, suasana rumah panjang akan lebih meriah apabila tibanya musim perayaan seperti Krismas dan perayaan kebudayaan lain.

"Video yang saya kongsikan di TikTok tu, ketika itu menjelang Krismas. Jadi kami buat persediaan dengan menghias rumah panjang bagi menyambut Krismas agar ceria dan cantik.

rumah panjang 2

Kuih adut (kiri) dan kuih anye merupakan antara kuih popular etnik Kenyah.

"Kalau hari-hari biasa pun meriah. Kanak-kanak akan bermain di bahagian hadapan seperti beranda yang kami gelar 'ruai'. Di situlah juga port untuk yang lain bergotong royong, melepak ataupun bersembang," ujar wanita dari etnik Kenyah ini.

Bercerita serba sedikit mengenai etniknya, Alicia berkata mereka lebih dikenali sebagai Orang Ulu secara umum.

"Ada yang menyangka etnik Kenyah sama seperti Iban, namun kedua-duanya ada banyak perbezaan iaitu dari segi bahasa, pakaian tradisional, konsep rumah panjang pun berlainan.

"Dari segi makanan pula, etnik Kenyah terkenal dengan kuih 'anye'. Kuih anye diperbuat daripada beras pulut yang dikisar halus dan digoreng.

"Satu lagi kuih 'adut'. Ia pasti menjadi hidangan wajib setiap kali perayaan atau majlis keraian," ujarnya yang kini menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana (master) dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ada yang berminat nak belajar bahasa etnik Kenyah. Saya memang terharu dengan sambutan netizen.

ALICIA SIBI

Menurut Alicia, dia langsung tidak menyangka perkongsiannya mengenai rumah panjang meraih melebih dua juta jumlah tontonan di TikTok.

"Saya terkejut dengan reaksi netizen pada ruangan komen. Saya post santai-santai saja. Tapi ramai yang tak sangka rumah panjang sekarang jauh berbeza daripada yang digambarkan.

"Saya banyak dapat request yang minta buat lagi video di rumah panjang. Namun saya hadapi kekangan masa kerana ketika ini menetap di Bintulu. Masa saya post tu, kebetulan pulang bercuti untuk sambut Krismas di kampung.

rumah panjang 3

Alicia membesar di rumah panjang sejak 26 tahun lalu.

"Saya hanya sempat buat beberapa video saja untuk penuhi permintaan netizen. Kalau balik nanti, pasti saya akan cuba penuhi permintaan mereka.

"Bukan itu sahaja, ada yang berminat nak belajar bahasa etnik Kenyah. Saya memang terharu dengan sambutan netizen. Secara tak langsung, video tersebut ibarat 'eye-opening' mengenai budaya kami," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain