suria

Tuah jalan-jalan dengan isteri, gambar kura-kura di tasik jadi pilihan Apple! Jurugambar Malaysia dedah hanya bermula dengan iPhone 5s

Gambar kura-kura yang dihasilkan Amsyar dikongsi oleh pihak Apple menerusi Instagram mereka.

TAHUN 2022 ternyata membawa tuah buat jurugambar ini apabila karyanya dipamerkan menerusi laman Instagram Apple yang memiliki 27.1 juta pengikut.

Menurut Amsyar Naif Shahmaruddin, 27, dia tidak menyangka gambar memaparkan seekor kura-kura yang dirakam pada penghujung tahun 2021 itu berjaya menarik perhatian syarikat teknologi gergasi berkenaan.

Biarpun sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak Apple, dia yang senang disapa Amsyar mengakui masih terkejut apabila menerima perkhabaran itu sekitar jam 3 pagi, Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terkejut, gambar mata anak jadi tatapan 26.5 juta pengikut Instagram Apple... ambil dalam kereta je!

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah abang polis... Gambar pokok kelapa disiar di Instagram Apple, Terengganu kini di mata dunia!

"Pihak Apple sudah hantar email kepada saya sekitar tiga minggu lepas. Ketika mereka muat naik gambar itu ke Instagram, saya sebenarnya sedang tidur.

"Saya tersedar jam 3 pagi. Kawan-kawan mula ucap tahniah dalam group WhatsApp. Rupa-rupanya Apple sudah muat naik gambar saya ke Instagram mereka.

"Sempat juga saya kongsikan mengenai hal itu di Instagram sendiri, kemudian saya sambung tidur," ujarnya berseloroh.

amsyar2

Selain bekerja sebagai content creator, Amsyar juga sudah lama terlibat dalam dunia fotografi

Menurut Amsyar, gambar itu dirakam secara spontan ketika dia dan isterinya berjalan-jalan di di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Disember tahun lepas.

"Ketika itu saya dan isteri jalan-jalan di tasik. Memang plan nak ambil gambar di sekitar kawasan itu. Saya ambil gambar bunga, awan, serta haiwan-haiwan yang ada di sekitarnya.

Tak kisah pakai telefon jenis apa sekali pun, yang penting kena ada minat dan jangan putus asa.

AMSYAR

"Ketika nak melintasi satu jambatan, saya tunggu sekejap sekiranya ada kura-kura keluar. Betul-betul ia keluar, jadi saya pun ambil gambarnya.

"Saya ambil dalam dua ke tiga keping saja gambar kura-kura itu menggunakan iPhone 13 Pro. Kemudian saya edit dan kongsi ke Instagram," ujarnya lagi.

Menurut content creator yang menetap di ibu negara itu, dia menganggap pengiktirafan berkenaan sebagai sinar untuk dirinya melangkah lebih cemerlang sepanjang tahun 2022.

Malah katanya, perjalanan itu tidaklah semudah yang disangka dan dia hanya bermula dengan model iPhone 5s sahaja sekitar 10 tahun lalu.

amsyar3

Antara gambar yang dihasilkan Amsyar.

"Ia jadi pembakar semangat untuk saya teruskan usaha keluar ambil gambar lagi selepas ini. Dengan penghargaan ini, saya harap ia dapat membuka mata orang di luar sana.

"Ia juga menjadi nilai tambah dalam portfolio saya, bukan sekadar ambil gambar untuk suka-suka saja. Saya hanya bermula dengan iPhone 5s pada tahun 2012.

"Tak kisah pakai telefon jenis apa sekali pun, yang penting kena ada minat dan jangan putus asa. Kena teruskan belajar, jadikan kesilapan sebagai pengajaran," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Amsyar turut menzahirkan rasa penghargaan buat netizen yang tak putus-putus memberikan ucapan tahniah buat dirinya sejak Khamis.

apple

Gambar kura-kura tersebut yang dikongsi oleh pihak Apple.

Mengenai dirinya, Amsyar akui dia meminati bidang seni kreatif sejak zaman sekolah lagi.

Namun katanya, minat terhadap bidang itu disalurkan menerusi cabang fotografi yang kini sudah sebati dengan dirinya.

Untuk rekod, Apple pada Oktober tahun lalu turut berkongsi hasil karya seorang lagi jurugambar Malaysia iaitu Badrul Akram Badaruddin menerusi laman Instagram mereka.

Pada tahun 2020, gambar yang dihasilkan seorang anggota polis, Nor Azmeer Iskandar Amir Hamzah turut mendapat pengiktirafan sama.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain