RAKAMAN tular memaparkan seorang remaja lelaki yang dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri wang tabung sebuah masjid hangat menjadi perbualan netizen. Lebih memilukan, dia ketika perbicaraan mahkamah mendakwa terpaksa bertindak sedemikian demi mendapatkan wang untuk membeli ubat ubatan datuknya yang menghidap kencing manis. Kisah itu pantas mendapat perhatian netizen yang mana rata-ratanya simpati, malah menyuarakan hasrat untuk membantu selepas dia dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Curi Beg Tangan Di Masjid Dicekup ARTIKEL BERKAITAN: Geng Curi Tabung Masjid Dicekup Di sebalik kisah tular itu, timbul pula pendedahan demi pendedahan lain yang membongkar mengenai diri dan tindak tanduk sebenar remaja itu. Dakwa aktivis sosial terkenal, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang, remaja berkenaan merupakan seorang penagih dadah. "Dia kaki syabu menurut maklumat yang diterima. Mahkamah bukan khilaf, mesti fakta untuk tuduh cukup, baru polis akan tuduh dan mahkamah akan jatuh hukuman yang setimpal. Posting Uncle Kentang menerusi ruangan komen di Facebook membongkar sisi lain mengenai kisah tular itu. "Mungkin dalam rayuan, dia jual cerita sedih pada majistret, tapi majistret lebih arif dan tidak beli sob story dia dalam rayuan. "Maka, majistret telah menjatuhkan hukuman yang tepat dan adil," jelas Uncle Kentang panjang lebar menerusi satu catatan di ruang komen di Facebook yang turut tular. Tambah Uncle Kentang, dia beranggapan pihak masjid juga berkemungkinan sudah muak dengan sikap remaja itu sehingga mereka tergamak memandikannya seperti jenazah. "Takkan la majistret nak jatuhkan hukuman sebegitu jika tertuduh memang mencuri untuk beli ubat untuk atuk. Mahkamah bukan khilaf, mesti fakta untuk tuduh cukup, baru polis akan tuduh dan mahkamah akan jatuh hukuman yang setimpal. UNCLE KENTANG "Saya rasa masjid pun masak dengan perangai dia. Kalau tidak, masjid akan lepaskan dia dan bantu dia. Ini mungkin masjid dan tahu sangat perangai dia, barulah pihak masjid bawa ke balai polis. Kita harus tahu cerita sebenarnya," ujar Uncle Kentang lagi. Di Twitter pula, netizen memberikan reaksi berbeza-beza mengenai isu itu. Menurut seorang netizen, remaja berkenaan wajar dihukum atas perbuatan tersebut. Namun katanya, tindakan pihak masjid yang memandikannya seperti jenazah juga tidak wajar dan dianggap memalukan. Remaja itu dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000. (Foto: BERNAMA) Untuk rekod, Sinar Harian pada Khamis melaporkan Daniel Iskandar, 19, dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu. Dia yang juga seorang penganggur mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan. Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah. Perbuatan itu dilakukan di masjid berkenaan di Kilometer (KM) 28 Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Januari lalu. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI