KUNJUNGAN pertama jejaka ini ke tanah suci Makkah dan Madinah pada tahun 2013 ternyata meninggalkan kesan mendalam buatnya. Pada waktu itu, Firdaus Mohamad Fauzi, 27, sempat memanjatkan doa agar dia diberi kesempatan untuk mengulangi kunjungannya ke kota suci itu pada masa akan datang. Bagaikan rezeki yang tak disangka-sangka, dia akhirnya diterima untuk menyambung pengajian ke Universiti Islam Madinah pada 2017 dan kini sudah lima tahun berkelana di sana. ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah masuk dapur, pemuda ini kongsi bagaimana dia pandai memasak selepas hidup di negara orang ARTIKEL BERKAITAN: Dulu suka menyendiri tapi pelajar Malaysia di Mesir berubah sejak ke rumah anak yatim "Pada tahun 2013, saya terpilih mewakili Malaysia ke sana untuk program hafazan. Ketika berada di Makkah, saya mula simpan hasrat untuk belajar di sana, tapi saya tahu agak susah nak dapat. "Jadi saya sempat belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selama dua tahun. Keputusan pengajian saya juga tak bagus sangat, tapi akhirnya rezeki saya diterima masuk ke Universiti Islam Madinah pada tahun 2017. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Saya menyambung pengajian di sana dalam bidang Syariah. Sejujurnya memang teruja bila tahu keputusan kerana pada awalnya, saya fikir permohonan tak diterima," ujarnya yang berasal dari Terengganu. Senang disapa Firdaus, dia mengakui kehidupan di Makkah dan Madinah jauh berbeza dengan tanah air tercinta, namun perlahan-lahan membiasakan dirinya dengan gaya hidup dan budaya di sana. Firdaus dijangka menamatkan pengajiannya tahun ini. Tambah Firdaus, perbezaan itu juga tidak dianggap sebagai satu bebanan, sebaliknya dia gembira dapat menyelami cara hidup baharu yang tidak pernah dirasai sebelum ini. "Sangat banyak perbezaan. Sebab kita orang Melayu, bila datang sini, saya sedar bahawa orang Melayu sangat lemah lembut. Sebagaimana kita tahu, orang Arab agak kasar. Sebelum pandemik, setiap bulan buat Umrah, atau setiap dua mminggu... ikut kelapangan masa. FIRDAUS "Bila duduk sini baru tahu betapa lembutnya kita semua. Susah juga nak sesuikan diri dengan makanan. Nasi Arab memang sedap, tapi kalau hari-hari makan, mesti rasa muak. "Nak masak sendiri selalu pun agak susah nak cari bahan. Melainkan kalau ada kenalan datang nak buat umrah, saya akan kirim santan, susu pekat dan sebagainya dari Malaysia. "Tapi sejujurnya pengalaman di sini menyeronokkan. Tak tahu nak cerita bagaimana," ujarnya berseloroh. Firdaus sebelum ini pernah belajar di UniSZA selama dua tahun. Kata Firdaus, dia sebelum ini akan mengerjakan umrah sebanyak dua kali dalam sebulan, namun kini kekerapan itu dikurangkan memandangkan pandemik Covid-19 belum berakhir. "Sebelum pandemik, setiap bulan buat umrah, atau setiap dua minggu... ikut kelapangan masa. Sekarang dah pandemik, jadi agak kurang sikit," jawabnya ringkas. Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, dia turut terkejut apabila perkongsian videonya di TikTok mengenai pengalaman lima tahun menetap di Madinah akan meraih perhatian ramai. Video yang dikongsi Firdaus meraih perhatian ramai di aplikasi TikTok. Ujarnya, dia sekadar berkongsi video untuk disimpan sebagai kenangan memandangkan pengajiannya di Madinah dijangka berakhir September depan. "Saya baru saja aktif di TikTok. Saya buat video untuk disimpan sebagai kenangan. Ini tahun terakhir saya di sini. Tak sangka tiba-tiba blow up. "Ramai juga yang tanya proses untuk duduk di Makkah atau Madinah. Pada masa sama, netizen juga minta doa agar mereka dapat datang ke kota suci suatu hari nanti," ujarnya lagi. Untuk rekod, video yang dikongsi Firdaus di aplikasi TikTok sehingga kini meraih lebih 700,000 tontonan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI