suria

Kecoh 5 wanita mengaku bini, Dr Ahmad Samhan dedah identiti bidadari syurga... kongsi kisah nasi berlauk kicap, tapi kenapa ada nombor atas setiap telur?

Dr Ahmad Samhan berkongsi kisah mengenai isterinya.

TERKEJUT dengan kemunculan beberapa 'wanita' yang menyamar sebagai bini, Dr Ahmad Samhan Awang terkenang kisah rumah tangganya bersama isterinya yang sebenar.

Doktor viral yang sering berkongsi pengalaman mengenai dunia kedoktoran, perubatan dan kemasyarakatan itu berkongsi artikel '5 wanita ambil kesempatan mengaku bini Dr Ahmad Samhan' yang dilaporkan mStar kepada isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Popular di TikTok... 5 'wanita' ambil kesempatan, mengaku bini Dr Ahmad Samhan - "Eh, abang ada isteri lain ke?"

"Bila saya tunjukkan artikel ini pada isteri, dia tersenyum. Tak sangka dah 10 tahun kami menempuh alam perkahwinan. Pelbagai dugaan kami tempuhi bersama.

"Masih segar dalam ingatan ketika kami mula-mula kahwin dulu. Ketika itu kami masih belajar di Mesir," tulisnya menerusi posting di laman Facebook beliau.

dr samhan isteri 3

Individu menggunakan akaun palsu menyamar sebagai isteri Dr Ahmad Samhan.

Dr Ahmad Samhan yang mempunyai lebih 1.2 juta pengikut di aplikasi TikTok dan isteri, Dr Rushaida Zabidi, 31, menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Tanta, Mesir.

"Masa awal perkahwinan, pernah sekali aku betul-betul tak ada duit. Tapi takkanlah dah ada isteri ni aku tergamak nak minta lagi duit belanja dari abah. Malulah aku yang kacak ni kan?

"Dengan simpanan yang sedikit hasil berjimat cermat semasa bujang dulu, habis kuliah terus aku singgah ke satu kedai runcit. Dan aku pulang dengan sepapan telur," katanya.

Berpengalaman lebih lima tahun dalam bidang perubatan, Dr Ahmad Samhan mendedahkan di awal perkenalan dia dan isteri hanya mampu makan nasi dengan kicap bersama telur.

"Sayang, untuk bulan ni, ni saja abang mampu beli. Kita makan nasi dengan kicap, telur sebiji kita kongsi ya? Kata isteri 'Tak apalah, ini pun dah cukup. Ada orang berhari-hari tak dapat makan'," katanya.

dr samhan isteri 6

Dr Ahmad Samhan (kiri) dan isteri mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.

Isterinya kemudian masuk ke bilik dan mengambil pen marker, ditulisnya nombor satu hingga 30 atas setiap satu telur tu.

"Tujuannya supaya tak masak lebih dari sebiji setiap hari. Konsep kami satu hari, satu telur. Apa yang aku makan itulah yang dia juga makan.

"Hanya tersenyum apatah lagi merungut. Ketika aku diuji dengan ketumbuhan pipi, insan inilah yang sentiasa setia di samping.

"Sanggup tidur di lantai berlapikkan alas nipis tanpa sekali pun merungut sakit badan. Dia sentiasa menceriakan aku dan berbicara bercerita walaupun sepatah pun aku tak mampu membalas kerana leher ditebuk untuk aku bernafas," kata beliau yang dimasukkan ke hospital selama sebulan bagi merawat ketumbuhan pipi, pada 2016.

Di sebalik kehebatan seorang lelaki, ada wanita hebat di belakangnya. Wanita yang telah banyak berkorban.

DR AHMAD SAMHAN AWANG

Mempunyai pengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan mengakui dirinya bukan orang senang ketika itu.

"Ketika itu aku bukan sesiapa pun. Hanya seorang lelaki yang terlentang di katil dan miskin. Dalam akaun bank memang kosong. Yilek. Peritnya ketika itu hanya Allah yang tahu.

"Pembedahan yang bakal dibuat memakan kos RM20,000. Bingung mana nak cari duit sebanyak itu. Aku belum kerja, baru habis belajar. Simpanan memang langsung tak ada.

"Kesetiaan wanita diuji saat lelaki tidak mempunyai apa-apa. Mungkin dia tahu yang dia juga sedang diuji. Jika mahu tinggalkan aku pun aku takkan persalahkan," katanya.

dr samhan isteri 5

Dr Ahmad Samhan (kiri) bersama isteri dan anak-anak.

Namun Dr Ahmad Samhan yang kini mengusahakan lima klinik di Terengganu kagum dengan ketabahan dan kesetiaan isterinya.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, beliau tidak akan berada seperti sekarang tanpa isteri yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan.

"Dialah yang sentiasa beri kata-kata semangat waktu aku putus harapan. Dialah yang sentiasa memahami dan memberi sokongan penuh setiap apa yang aku lakukan.

"Di sebalik kehebatan seorang lelaki, ada wanita hebat di belakangnya. Wanita yang telah banyak berkorban. Kadang yang tampak di luar bukanlah yang sebenarnya.

"Nasihat saya kepada para suami, hargailah pengorbanan seorang isteri. Beri layanan sebaik mungkin. Belailah, hargainya dan jangan sia-siakannya. InsyaAllah rezeki datang mencurah-curah," katanya.

dr samhan isteri 7

Dr Ahmad Samhan menyifatkan tindakan pengguna akaun palsu menyamar sebagai isterinya sebagai tidak bertanggungjawab.

Pada Rabu, mStar melaporkan beberapa posting di laman sosial mengakui dirinya sebagai 'isteri Dr Ahmad Samhan', kini bertebaran di laman sosial bagi mempromosikan produk mesin urut kaki.

"Suami saya #Dr_Ahmad_Samhan adalah doktor terkemuka di Hospital Kuala Lumpur, harap nasihat beliau dapat melindungi kesihatan keluarga anda dan orang miskin," demikian antara ayat-ayat dalam posting tersebut dengan salah satunya menggunakan foto Dr Ahmad Samhan bersama isteri dan anak-anak.

Dr Ahmad Samhan bagaimanapun menegaskan kesemua profil tersebut adalah akaun palsu kerana beliau hanya mempunyai seorang isteri, dan menyifatkan ia tindakan tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama orang lain untuk mempromosikan barang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain