BERTEMANKAN sebuah van usang dan sekaki payung comel berwarna putih, dua wanita ini memberanikan diri membuka gerai kecil di tepi jalan dengan menjual sarapan 'rare' pada waktu pagi. Mempertaruhkan kombinasi kopi dan pulut, siapa sangka bisnes yang dahulunya bermula di rumah, kini sudah menjangkau usia setahun dan mula dikenali serta menjadi sebutan ramai. Dua wanita di sebalik gerai bernama 'Pulut & Kopi' ini adalah pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masing-masing sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana (master). ARTIKEL BERKAITAN: Penangan kopi tulen di warung bonet kereta, dilayan pula barista macam di coffee shop popular... anakanda Sultan Johor siap cemar duli! ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada duit sambung belajar, pemuda balik kampung dan buka kedai kopi dalam bilik tidur... kini harapkan rezeki di lorong belakang Berkongsi cerita di sebalik penubuhan gerai mereka, Nor Fazrina Fazrin Hassan, 27, dan Iffah Irdina, 25, berkata, segala-galanya bermula pada 2019 iaitu selepas kedua-duanya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda. "Kami saling mengenali dan bersahabat baik ketika masing-masing menuntut di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Selepas tamat degree pada 2019, kami mula jual pulut berserta rendang secara online. Kami COD (cash on delivery) kepada pelanggan. "Bila nak sambung master, kami teruskan bisnes ini... susah juga kalau belajar dan bekerja dengan mana-mana company sebab terikat. Lebih mudah jika bekerja sendiri sebab kita boleh manage masa sendiri. "Bermula Februari 2021, kami beranikan diri buka gerai kecil tepi jalan di Bandar Teknologi Kajang sehingga sekarang. Konsep yang kami ketengahkan adalah 'old school' untuk tampilkan kelainan," ujar Iffah Irdina atau lebih senang disapa Irdina. Tiga aneka pulut dan kopi gula melaka menjadi 'signature' gerai Pulut & Kopi. Menurut Irdina, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi mereka pada peringkat awal pembukaan gerai tersebut sebelum berada pada tahap sekarang. "Mula-mula lagi kami dah berdepan cabaran... kami naik motor je COD kepada pelanggan. Kemudian bila nak buka gerai, kami ragu-ragu juga. Boleh ke orang terima kombinasi pulut dan kopi. Tapi kami tekadkan juga. "Kami beli van usang dari jiran dengan harga RM200 secara tunai hasil berniaga. Kami belanjakan RM600 untuk baiki sebab van tu dah tak bergerak tiga tahun. Kemudian beli payung putih kena dengan konsep yang diketengahkan. Gerai kopi ini beroperasi di tepi jalan di Bandar Teknologi Kajang. "Bila dah buka gerai, cabaran seterusnya adalah macam mana nak tarik pelanggan. Ambil masa juga sebelum dapat sambutan. Kami bekerja keras buat marketing sendiri di media sosial. "Dan kalau sebut gerai tepi jalan, sudah tentu cabaran utama adalah cuaca. Pernah juga pulut yang dijual tak sempat habis kerana hujan," ujarnya yang merupakan penuntut jurusan Statistik. Pulut yang dijual di gerai mereka terdiri daripada tiga menu iaitu pulut rendang ayam kuning, pulut rendang daging hitam dan pulut balado bilis petai, beserta 16 variasi air kopi. Paling terharu, ada yang datang jauh seperti Melaka, Pulau Pinang, Perak dan sebagainya. IRDINA DAN FAZRIN "Pulut kami masak sendiri di rumah. Resepi dari ibu saya... kami bermula dengan kosong, dan dalam tempoh lima bulan belajar masak pulut, dah boleh buat sendiri. Sekarang menanak lima kilogram pulut setiap hari, dan 10 kilogram pada hari minggu. "Rutin kami bermula seawal pukul 4 pagi. Selepas selesai masak, kami buka gerai dan tutup sekitar 3 petang. Waktu malam kami kena masuk kelas pula. Sememangnya agak letih tapi kami puas. "Lebih-lebih lagi bila dapat sambutan ramai yang boleh terima kombinasi pulut dan kopi. Paling terharu, ada yang datang jauh seperti Melaka, Pulau Pinang, Perak dan sebagainya," ujar Fazrin yang merupakan penuntut jurusan Media Baru dan Visual. Tidak menang tangan menyiapkan pesanan pelanggan. Setahun berniaga di gerai tepi jalan, impian mereka untuk membuka sebuah kafe bakal direalisasikan tidak lama lagi. "InsyaAllah, tahun ini kami akan buka sebuah kafe yang juga terletak di Bandar Teknologi Kajang. Kami akan uar-uarkan kelak. "Buat orang muda yang nak ceburi bisnes, cuba sahaja dan kena berani. Paling penting, cuba jadi kreatif.... cari kelainan. Kalau sama, susah juga sebab ada persaingan. Dan, yakin dengan konsep yang diketengahkan," ujar mereka lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI