suria

Kecewa permohonan kerja ditolak sebab minta gaji RM2,000, gadis ada master dapat habuan berganda selepas jual kek comel

Farah bersyukur apabila rezeki perniagaan kek dapat memberi peluang untuk dia berbakti kepada keluarga.

GRADUAN dalam era pandemik Covid-19 berhadapan cabaran getir dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang mereka.

Begitu juga dengan lepasan bidang Psikologi dan Kaunseling Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini yang mana dia turut berhadapan cabaran sama sejak tahun 2020.

Enggan mempersiakan potensi dirinya, Farah Nurul Asyikin Mohamad Sukri, 27, memilih untuk menceburkan diri dalam perniagaan makanan demi meneruskan kelangsungan hidupnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja bank, jual brownies! Pemuda ini mampu buka kedai kek walau cuma belajar di YouTube, sekali pergi kelas asas

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih kek, tinggalkan pesakit! Lelaki ini kagum dengan diri sendiri selepas lebih 6 tahun belajar di Rusia, tidak lagi bergelar doktor

"Saya ikuti pengajian di peringkat ijazah, kemudian master dalam bidang ini. Saya juga ada rancangan untuk sambung PhD, namun ada halangan. Sekitar Februari 2020, saya mula cari kerja, namun susah nak dapat kerana pandemik sedang melanda.

"Ketika itu, saya ambil job freelance secara online dan buat saluran YouTube. Beberapa bulan juga saya menganggur sehinggalah saya terlihat satu trend video di TikTok berkaitan kek viral.

"Saya cuba resipi itu, akhirnya, Alhamdulillah ia menjadi mata pencarian saya. Sekarang, dah lebih setahun saya berniaga kek. Saya bermula dengan modal RM60 saja pada waktu itu.

"Saya tak pinjam duit sesiapa untuk mula berniaga. Dengan keuntungan pertama, saya guna untuk teruskan berniaga. Walaupun lari bidang, saya seronok dapat terokai bidang baharu," ujarnya yang senang disapa Farah.

farah3

Variasi kek pelbagai warna yang kelihatan comel sering menjadi pilihan pelanggan Farah.

Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, dia turut berhadapan dengan soalan-soalan daripada insan sekeliling mengenai keputusannya untuk menceburi bidang yang berbeza.

Selain memanfaatkan peluang serta potensi yang ada, Farah menganggap perjalanannya dalam dunia bisnes sebagai 'fasa berehat' daripada bidang psikologi dan kaunseling yang sudah sekian lama sebati dengan dirinya.

Bila saya berniaga, Allah bagi berganda-ganda rasa seronok kepada saya. Selama ini keluarga banyak habiskan duit untuk saya belajar. Dengan pendapatan sekarang, saya berbakti kepada mereka pula.

FARAH

"Ada orang persoalkan, tak rugi ke belajar sampai master, tapi tak dimanfaatkan... tapi saya anggap ini rezeki yang Allah dah tetapkan. Saya nampak peluang lebih cerah dalam dunia bisnes.

"Saya push untuk kedua-dua bidang, saya pun ada cari kerja tapi tak dapat. Bila saya berniaga kek, saya nampak ada sinar untuk diri saya. Ilmu yang saya pelajari selama ini juga boleh diaplikasikan dalam bisnes.

"Salah satu sebab juga kenapa saya lari bidang, saya nak rehat sekejap dalam bidang ini. Dulu macam-macam saya terokai seperti intern di wad psikiatri, buat tesis mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dekati remaja berisiko dan macam-macam lagi.

farah2

Farah bersama kedua ibu bapanya.

"InsyaAllah bila bisnes dah stabil, saya akan sertai balik bidang yang saya pelajari. Saya juga memasang impian untuk buka syarikat konsultan suatu hari nanti," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai perniagaan yang diusahakan, Farah yang menetap di Ampang, Selangor akui tak menang tangan melayan permintaan pelanggan selepas video-video kek comel yang dihasilkannya tular di media sosial.

"Media sosial sangat bagus, membantu dalam marketing percuma. Awalnya saya berniaga menerusi Facebook, kemudian saya kongsikan juga di Instagram da TikTok.

farah4

Sudah lebih setahun Farah berniaga kek.

"Bila video saya viral di TikTok, lagi berderu masuk pelanggan. Selain jual dalam Selangor, saya juga menerima tempahan dari Perak, Perlis, Terengganu dan Johor.

"Setakat ini saya buat sendirian saja. Tapi kalau tak menang tangan, saya minta tolong emak dan adik. Dalam berniaga juga ada naik turunnya. Kalau sale perlahan sikit, saya anggap Allah nak bagi saya rehat seketika. Sebabnya kalau permintaan banyak, memang saya tak akan ada cuti," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Farah juga bersyukur apabila rezeki dalam perniagaan kek dapat memberi peluang untuk dia berbakti kepada keluarga.

"Saya rasa berbaloi sangat. Sebelum ini, saya pernah mohon kerja. Saya tak dapat jawatan itu kerana minta gaji RM2,000. Ada seorang lagi calon yang minta gaji RM1,800 dapat jawatan tersebut.

farah2

Permintaan kek Farah semakin bertambah selepas video yang dimuat naik olehnya tular di TikTok.

"Tapi saya terima apa yang berlaku. Bila saya berniaga, Allah bagi berganda-ganda rasa seronok kepada saya. Selama ini keluarga banyak habiskan duit untuk saya belajar. Dengan pendapatan sekarang, saya berbakti kepada mereka pula," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Farah yang mengasaskan Therapeucake Bakery menawarkan tiga seleksi kek iaitu Tom & Jerry Icecream Cheesecake, Cakesicles dan Bunga Cupcakes.

Di akhir bicara, Farah turut menzahirkan rasa penghargaan atas sokongan keluarganya, tak lupa juga kepada semua pelanggan yang jatuh hati dengan keenakan kek yang dihasilkannya.

"Terima kasih kepada semua pelanggan saya, yang dalam mahupun luar Selangor. Terima kasih kerana percayakan kek saya dan sokong saya. Anda semua menyokong impian saya, tiada kata selain syukur yang mampu saya ucapkan," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain