suria

Dr Say tersentak isterinya yang sibuk disaran belajar masak, dah 2022 tapi ada lagi pemikiran macam tahun 1992

Dr Say berkongsi pandangan mengenai tanggungjawab isteri.

BUKAN sekadar berkongsi mengenai kesihatan dan isu semasa semata-mata, doktor selebriti, Dr Say Shazril juga sering memuat naik posting melibatkan isteri tersayang yang juga pegawai perubatan, Dr Azura Abas.

Seperti belangkas, pasangan ini sering dilihat bersama ke mana-mana sahaja, sama ada menghabiskan masa berdua mahupun dengan dua anak lelaki mereka yang masing-masing berusia hampir tiga tahun dan lima bulan.

Sifat romantik pemilik nama Dr Muhammad Shazril Shaharuddin tidak perlu disangkal, namun netizen turut ‘rajin’ memberi cadangan untuk kebahagiaan rumah tangga pasangan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik! Syarat mahu ramai anak, 'keazaman suami perlu rendah'... Dr Say dedah rancang keluarganya guna ilmu buku Biologi Tingkatan 4

ARTIKEL BERKAITAN: Persoal kenapa orang bercerai, Dr Say dedah ramai lelaki 'suka simpan' - "Nasib baik aku tak lafaz pelik-pelik"

Terbaharu, doktor selebriti ini menerima komen yang menyarankan supaya isterinya belajar memasak.

"Baru-baru ini saya dapat komen berbunyi begini 'Dr Say suruhlah Dr Azu (Dr Azura) belajar masak, mesti nanti lagi sayang'. Terduduk saya dibuatnya sebab ingat tahun 1992 je orang fikir begitu, tak sangka 2022 masih lagi ada komen sebegitu.

"FYI (buat pengetahuan anda sekalian), bini saya pandai je masak. Nasi ayam, nasi lemak, mi goreng, ikan stim you name it, she can cook it. Cuma saya yang suruh dia tak payah masak," tulis Dr Say Shazril di laman Instagram miliknya, Isnin malam.

dr say isteri masak 6

Isteri Dr Say, Dr Azura juga merupakan doktor dan pelajar IPT. foto instagram say_shazril / azuraabas

Pendirian pengacara program Tanya Doktor dan My Doctors itu kerana memahami kesibukan isterinya yang turut menggalas tanggungjawab sebagai doktor dan pelajar ijazah sarjana di sebuah institut pengajian tinggi (IPT).

"Bini saya bekerja sebagai doktor dan pada masa sama ambil Masters. Saya tengok dia berhempas pulas dan stres. Maka logik akal sebagai seorang manusia dan suami, adakah saya nak suruh dia masak lepas susah-susah semua tu? Semestinya tak.

"Kalau dia ada free time dia masak je untuk saya. Dia masak saya okay, dia tak masak pun saya okay," tambahnya.

dr say isteri masak 4

Dr Say dan Dr Azura bersama anak-anak. foto instagram say_shazril

Sehubungan itu, Dr Say kurang bersetuju dengan ungkapan 'Tapi kalau isteri masak pasti suami lagi sayang' kerana baginya terdapat cara lain seorang isteri untuk menawan hati suami.

"Ada banyak lagi cara lain seorang isteri boleh membuatkan suami menyayanginya. Saya happy sangat dah kalau wife always around physically dan emotionally.

"Nak ajak dia lepak shopping atau tengok movie, dia ada. Nak ajak dia brain storm topik-topik Instagram saya, dia ada. Dia tolong jaga anak masa saya tengah karang cerpen ni pun saya bersyukur sangat dah," tambahnya.

Ada banyak lagi cara lain seorang isteri boleh membuatkan suaminya menyayanginya. Bagi saya, saya happy sangat dah kalau wife always around physically dan emotionally

DR SAY SHAZRIL

Secara ringkasnya, kata Dr Say, dalam agama juga tidak mensyaratkan tugas seorang isteri adalah memasak sambil mengaitkan semakin ramai wanita bekerjaya pada masa kini.

"Zaman sekarang ramai isteri yang bekerjaya. Balik kerja dah lambat, nak kemas rumah (yang juga bukan tanggungjawab seorang isteri ye), nak jaga anak, lepas tu nak suruh dia masak lagi, dan bila masa suami dan isteri nak ber'bonding'?

"Sekarang ada Foodpanda, GrabFood make use of that. Jadi janganlah rigid sangat dalam perkara ni, yang penting makan sekali sebagai satu family dah memadai," katanya.

dr say isteri masak 1

Perkongsian Dr Say di laman Instagram meraih pelbagai reaksi.

Rata-rata netizen terutama dalam kalangan wanita di ruangan komen turut bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan Dr Say.

"Jika semua lelaki berfikiran demikian, nescaya kadar kebahagiaan rumah tangga bagi seluruh rakyat Malaysia akan aman dan damai.

"Yang penting tolak ansur suami isteri. Masak atau tak masak bukan kunci kebahagiaan.

"Bab ni saya setuju terutama isteri yang bekerja, balik dah penat. Tapi kalau ada free time baru masak. Syukurlah kalaua ada suami yang memahami," antara komen-komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain