suria

“Tak pernah naik kereta mahal” - Wanita mengidam naik Ativa putih syukur ada insan faham ibu hamil, excited sampai lupa ambil gambar

Naziha (dua dari kiri) yang mengidam naik Ativa putih dan Aisyah (kanan) yang menunaikan hajatnya.

BERSELISIH dengan kereta Ativa putih setiap kali berulang alik dari rumah ke tempat kerja, ibu mengandung ini tidak menyangka dia akan mengidam untuk merasai sendiri pengalaman menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak keluaran Perodua itu.

Walaupun segan, Nurul Naziha Ibrahim, 27 bagaimanapun memberanikan diri untuk mengirim mesej kepada pengacara dan juga personaliti televisyen Malaysia, Ahmad Fedtri Yahya yang kemudiannya berkongsikan mesej tersebut dengan semua pengikutnya di laman Twitter.

"Assalammualaikum abang Fedtri Yahya, Maaf, saya seorang ibu mengandung 10 weeks.. boleh tak abang tanya followers abang yang ada kereta Ativa Putih. Saya mengidam sangat nak naik kereta Ativa Putih area Kedah," tulis Naziha.

ARTIKEL BERKAITAN : Pelukis inai muak dengan pelanggan menipu sebab nak dapat balik deposit, beri alasan langsung tak masuk akal

ARTIKEL BERKAITAN : Ibu kongsi bagaimana anaknya boleh jadi gebu dan montel... ‘isu’ selipar belum selesai, sedang usaha kurangkan berat badan

Rentetan daripada perkongsian itu, seorang wanita tampil membantu ibu muda tersebut untuk menunaikan hajatnya.

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan, Siti Aisyah Sulaiman, 35 berkata, dia hanya menyedari tentang mesej Naziha selepas rakan-rakannya berkongsikan hantaran Fedtri di laman Facebook.

"Saya tak perasan posting Tuan Fedtri tapi ada yang screenshot posting tu, lepas tu kawan-kawan saya tagged saya di Facebook.

"Bila dapat tahu, saya offer nak jumpa dia di Kota Sarang Semut, saya tinggal di Jitra, jadi sejam juga nak ke sana.

"Kebetulan saya memang plan nak tengok cafe di Bukit Mertajam, Pulau Pinang jadi saya bawa mak dengan anak buah sebagai peneman sebab jalan jauh ni mengantuk," katanya.



Mesej Naziha kepada Fedtri yang tular di media sosial.

Aisyah yang baru sahaja membeli kereta Ativa tersebut pada Mei tahun lepas mengakui sedikit terkejut melihat keterujaan Naziha apabila keinginannya tercapai.

"Naziha datang dengan suami dia, bila sampai tu memang terus saya ajak dia naik, mula-mula saya drive tapi lepas tu saya tanya dia boleh bawa kereta tak?, dia cakap boleh, jadi saya offer dia drive sendiri, baru puas hati.

"Dia punya seronok tu memang sungguh-sungguh, saya yang terkejut, sebab bagi saya biasa je dapat naik kereta Ativa, tak sangka dia akan teruja sampai macam tu sekali.

"Dia dok kata rasa macam mimpi sebab dia banyak juga kena kecam (selepas hantaran itu tular), jadi tak sangka dapat naik betul-betul," katanya, sambil menambah ketika itu suami Naziha memandu kereta lain dari belakang.

Percaya dalam rezekinya ada juga rezeki orang lain, Aisyah yang juga seorang pengurus pemasaran sayur fucuk Hasdey dan pemilik Bucu Cafe serta ais krim Beekin berkata, mereka bersiar-siar sekitar Yan, iaitu dari Bukit Besar sehingga ke Pantai Murni.

"Saya biasa dengar kawan-kawan cerita, dapat apa yang diidamkan tu selepas bersalin, rasa dan kepuasannya tak sama macam bila kita dapat masa masih mengandung. Lagipun saya percaya dalam rezeki kita ada rezeki orang lain," katanya yang masih bujang.

Sementara itu Naziha memberitahu bahawa dia sememangnya peminat kereta Perodua.

"Saya sendiri pakai Myvi dan Viva tapi beli secondhand je la, kemudian bila nampak Ativa saya rasa ia unik... tak besar macam Aruz, tak kecil macam Myvi.

"Saya pula purple lover, bila saya ulang alik dari rumah mentua nak ke tempat kerja, tiba-tiba macam banyak pula Ativa putih atas jalan, tu yang teringin sangat nak naik," katanya yang menetap di Penaga, Pulau Pinang.



Naziha dan suaminya.

Naziha yang usia kandungannya kini mencecah 11 minggu berkata, dia pada mulanya tidak menyangka bahawa Fedtri akan membaca mesej yang dikirimnya.

"Saya ada beritahu pada suami (tentang keinginannya), kemudian dia cakap kalau ada rezeki kita pergi Perodua showroom.

"Lepas tu saya cuba nasib mesej abang Fedtri Yahya, sebab saya ingat kalau mesej artis mungkin tak baca kot chat.

"Tapi lepas tu abang Fedtri Yahya hantar screenshot chat dengan kak Aisyah Sulaiman, jadi saya pun contact dia," katanya yang juga seorang guru KAFA.

Saya tak ambil gambar pun sebab saya teruja sangat, fikir nak naik kereta je, saya tak pernah naik kereta mahal-mahal, kereta baharu... sebab saya beli kereta pun yang secondhand je.

NURUL NAZIHA IBRAHIM

Menurut Naziha, dia bersyukur kerana ada individu yang sudi membantunya mencapai apa yang diidamkan.

"Saya rasa syukur sangat-sangat sebab kak Aisyah sudi nak tumpangkan dan bagi izin saya drive sendiri, dan terima kasih pada suami juga sebab bagi keizinan, begitu juga keluarga dan mentua saya.

"Saya tak ambil gambar pun sebab saya teruja sangat, fikir nak naik kereta je, saya tak pernah naik kereta mahal-mahal, kereta baru... sebab saya beli kereta pun yang secondhand je.

"Lepas tu memang saya dah tak mengidam benda lain dah, harapnya ini akan menjadi kenangan saya dan suami," katanya, yang sedang hamil anak sulung.

Dia bagaimanapun mengakui sedikit terkilan apabila mesejnya tu menerima kecaman daripada segelintir netizen.

"Sedih juga la sebab ada yang cakap nasib tak minta naik UFO ke van jenazah ke," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain