SEBUT sahaja perkataan kanser, tiada mana-mana individu yang bersedia untuk menerima hakikat menghidap penyakit yang boleh membawa maut itu. Begitu juga dengan pemuda ini yang disahkan menghidap kanser 'B-cell Lymphoma' tahap 2 ketika sedang mengejar cita-cita di menara gading. Berkongsi cerita dengan mStar, Syamir Safar berkata, ketika didiagnos menghidap penyakit tersebut, dia sedang berada di semester dua sewaktu mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Pentadbiran Perniagaan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA). ARTIKEL BERKAITAN: Gadis akur perlu tinggalkan kampus, 2 kali tangguh pengajian hanya kerana satu ‘benjolan tak sakit’ - “Kanser bukan tiket mati’’ ARTIKEL BERKAITAN: Diuji saat kerjaya melonjak, wartawan terpaksa ketepikan minat kerana kanser... paling ngeri kena pilih antara koma atau paru-paru ditebuk! "Saya tak ada simptom apa-apa tapi masa tu kena sakit kulit... macam kudis, bintik-bintik merah. Permulaannya ia naik di kaki dan tangan. "Beberapa bulan kemudian, sakit kulit tu dah elok. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, saya tak boleh tidur baring... kalau baring, mesti semput. Muka pun jadi pucat, cepat penat," ujarnya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Pemuda berusia 25 tahun ini berkata, keadaan 'tidak normal' tersebut membuatkan dia segera melakukan pemeriksaan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut situasi kesihatan dirinya. "Di hospital, doktor terus buat imbasan (scan). Hasilnya, nampak tumor bahagian belakang tulang rusuk berukuran sekitar 14 sentimeter. "Doktor syak kanser. Tapi ketika itu baru dapat tahu ada tumor je. Saya terus dipindahkan dari KPJ Seremban ke KPJ Damansara untuk prosedur ambil sampel bagi mengetahui apa sebenarnya tumor tersebut. Ketika menjalani pembedahan untuk mengambil sampel tumor. "Masa doktor syak kanser, memang perasaan waktu tu down, macam-macam rasa. Sebab sejarah kesihatan tak pernah sakit kronik. Family pun terkejut. Saya admit selama 13 hari di KPJ Damansara. "Selepas dua minggu dibenarkan keluar hospital, baru dapat result sampel hari tu. Doktor minta pergi ke hospital untuk bagitahu result. Hasil ujian ke atas sampel tumor, saya didiagnos menghidap 'B-cell Lymphoma' tahap 2. "Saya pergi untuk tahu result je, tapi doktor kata situasi saya bahaya. Takut block saluran pernafasan. Masa tu keadaan saya agak teruk dah... suara tak keluar sangat dan selalu semput. Selepas dapat result, terus saya jalani kemoterapi pertama," ujar anak bongsu daripada enam adik beradik ini. Hasil ujian imbasan terhadap tumor pada dada Syamir. Pemuda yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini berkata, dia perlu menjalani enam pusingan kemoterapi, iaitu satu sesi untuk setiap bulan dan ia berlanjutan sehingga enam bulan. Keadaan tersebut menyebabkannya terpaksa mengambil keputusan yang sangat sukar, iaitu menangguhkan pengajian dan berhenti kerja sebagai kerani data di sebuah kilang, demi memberi tumpuan kepada kesihatannya terlebih dahulu. "Setiap kali kemoterapi, saya kena warded lebih kurang lima hari, dan ia berterusan selama enam bulan. "Saya bekerja sambil belajar waktu tu. Sepanjang treatment, memang berehat. Pelajaran pun saya terpaksa tunda sebaik saja masuk hospital pada penghujung 2019, sehingga sekarang," ujarnya. Doktor belum isytihar saya bebas kanser lagi. Tapi saya dah boleh joging dan melakukan aktiviti latihan ringan. SYAMIR SAFAR Dua tahun berjuang dengan kanser dan melengkapkan enam pusingan kemoterapi serta radioterapi, Syamir berkata keadaannya ketika ini makin bertambah pulih. "Alhamdulillah sekarang ini keadaan saya makin okay. Doktor belum isytihar saya bebas kanser lagi. Tapi saya dah boleh joging dan melakukan aktiviti latihan ringan. Doktor juga pesan untuk jaga makan. "Sekarang ini saya masih perlu melakukan pemeriksaan (follow up) setiap tiga bulan," ujarnya. Syamir menambah dia masih belum menyambung pengajian atau bekerja lagi buat masa sekarang kerana mahu memastikan keadaannya benar-benar pulih. "Alhamdulillah, dalam tempoh ini, keluarga dan rakan-rakan sangat menyokong. Gambar Syamir sebelum diserang kanser. "Sebaik sahaja pulih nanti, saya nak kejar semula impian dan cita-cita yang tergendala. Saya akui ada masa down dan cemburu tengok orang lain dapat jalani hidup macam biasa, namun ini ujian untuk saya. "Apa yang menguatkan semangat saya, adalah apabila melihat anak kecil dan orang tua yang juga sakit kanser namun mereka kuat. Dari situ dapat semangat untuk bangkit. "Untuk semua pejuang kanser atau sesiapa saja yang sedang berjuang dengan penyakit masing-masing, kita kena kuat. Terus kekalkan aura positif. Anggaplah ini sebahagian dugaan yang perlu ditempuhi dalam hidup," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI