suria

Pesara tentera dah tak garang sejak ‘mengasuh’ cucu, siap ajar menantu mandikan baby - “Dulu dia pernah bakar baju di ampaian”

Bapa Balqis selalu datang ke rumahnya untuk membantu menguruskan cucunya.

RAKAMAN seorang lelaki sudah lanjut usia menguruskan cucu berusia empat bulan menyentuh hati ramai.

Siapa sangka di sebalik sikap menyayang menguruskan cucunya, Han Zafril, rupa-rupanya si datuk merupakan pesara tentera.

ARTIKEL BERKAITAN: Mengaku cucu paling manja tapi penjual ayam golek ini kerap buat neneknya menangis... terbaharu netizen pula sebak tengok video mereka berdua

ARTIKEL BERKAITAN: Usia hampir seabad, romantik macam baru kahwin... cucu dari jauh ada sebab mula simpan koleksi video sweet datuk, nenek

Anaknya, Ili Nur Balqis Mohd Diah, memberitahu, rakaman itu dibuat sewaktu bapanya, Mohd Diah Amir datang ke rumahnya di Bukit Sentosa, Rawang.

Wanita berusia 22 tahun itu berkata, bapanya yang berumur 64 tahun merupakan seorang yang garang suatu ketika dahulu.

“Abah sebenarnya dah ada lapan orang cucu termasuk anak saya. Tapi semua duduk jauh jadi dia tak dapat nak main dengan cucu macam anak saya yang duduk satu taman ni saja.

“Abah pernah tidur rumah saya dua malam sebab nak tolong jaga cucu. Mak pun ada tolong tapi dah tak larat sangat. Boleh dikatakan hari-hari abah datang rumah sebab nak mandikan anak saya. Awal-awal dulu suami memang tak berani nak pegang anak kami yang masih kecil tapi lama kelamaan dia boleh pegang lepas belajar daripada abah.

“Ada satu kejadian tu buat saya sangat tersentuh. Masa anak saya kena demam kuning, abah yang banyak tolong. Semua tip dan petua orang bagi abah ikut je siap tolong hantar pergi klinik lagi untuk check up,” jelasnya yang mesra disapa Balqis.



Balqis melangsungkan perkahwinan pada 28 Disember 2020.

Menurut anak ke-10 daripada 12 beradik itu, bapanya sebenarnya seorang yang tegas dan garang sehingga digeruni anak-anak.

Bapa Balqis merupakan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 1980 dan bersara daripada perkhidmatan pada 2003.

"Masa kecil dulu, kami adik-beradik susah nak bergurau dengan abah sebab garang. Abah tegas sangat, terutama sekali bila tengah tengok berita di televisyen. Semua kena senyap, kalau tak nanti kena marah.

Kalau mak saya basuh baju dan sidai, kami tak angkat bila sudah kering semua baju, dia akan campak je ke luar rumah.

ILI NUR BALQIS

“Waktu makan pun sama tak boleh bising. Lepas tu kalau makanan kita makan tu tak habis pun dia tak bagi bangun kena habiskan dulu. Kalau balik lambat keluar waktu malam, kena siap-siap sedia untuk tidur dekat luar rumah.

"Abah memang mementingkan disiplin. Semua anak dia latih macam tu. Kalau mak saya basuh baju dan sidai dan kami tak angkat bila sudah kering semua baju, dia akan campak je ke luar rumah. Pernah dulu dia bakar baju-baju dekat ampaian yang tak berangkat," ujarnya yang mengimbas kembali zaman kecilnya.

Wanita yang berkahwin dengan ahli perniagaan dalam bidang Kejuruteraan dan Pembinaan pada 28 Disember 2020 ini berkata, bapanya berubah menjadi lebih mesra sejak dikurniakan lapan cucu setakat ini.

Walaupun garang dengan anak-anak, bapanya yang sebelum ini juga bekerja sebagai pemandu teksi telah mengambil keputusan untuk berhenti pada tahun 2017 kerana mahu menghabiskan masa bersama anak cucunya.



Bapa Balqis berkhidmat dalam TUDM sejak 1980.

“Dalam tegas abah dulu, tapi tidaklah sepanjang masa. Saya pernah demam masa kecil dulu, saya memang tak pandai nak telan ubat biji. Jadi abah siap hancurkan bagi saya minum.

“Tapi sekarang memang dah berubah sejak ada cucu-cucu. Bila cucu-cucu balik bising pun dia tak marah langsung. Dia siap mengemas rumah lagi bila tahu cucu-cucu nak balik. Dulu nak kejutkan dia masa tengah tidur pun takut,” tambah Balqis.

Mengenai perkongsian video di TikTok, Balqis cuma mahu menyimpan rakaman tersebut sebagai kenangan saja untuk dilihat anaknya apabila sudah besar.

Namun, video tersebut menjadi tular sehingga ramai yang berkongsi cerita mengenai bapa mereka yang garang.



Bapa Balqis merupakan pesara dan kerja terakhirnya adalah memandu teksi pada 2017.

“Saya share video tu sebab nak simpan je untuk anak saya tengok bila dah besar nanti. Terharu bila abah banyak tolong saya masa pantang.

“Tak sangka ramai juga yang doakan abah saya dekat komen supaya sentiasa sihat,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain