suria

Puas tegur sampai bermasam muka, apa nak buat kalau jiran kemaruk letak kereta depan rumah kita? Ini jawab peguam hartanah

Kata Syazwan, ramai yang tidak sedar mengenai hak mereka dari sudut undang-undang berkaitan kes-kes tersebut.

APABILA hidup dalam suasana berjiran, kita pastinya akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia.

Bagi yang menetap di taman perumahan, kes pagar rumah dihalang kereta jiran sering berlaku, sekaligus membuatkan suasana kehidupan menjadi kurang harmoni.

Menurut peguam hartanah Syazwan Mohd Jafri, kes-kes sedemikian sudah menjadi perkara biasa sepanjang tujuh tahun dia berkecimpung dalam bidang itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita pulang ke rumah terkejut lihat ampaian beralih, rupa-rupanya ‘kerja’ jiran jarang borak... CCTV bongkar kisah sebenar!

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai cantik-cantik, kacau kuali depan rumah je? Peniaga colek mengaku kuat melaram... tak kisah mulut orang, lebih risau apa kata jiran

"Kes begini dah biasa berlaku. Saya juga menerima banyak persoalan mengenai kes kereta jiran halang pagar rumah. Boleh dikatakan ramai orang kita tidak tahu mengenai hak mereka di sisi undang-undang.

"Bila berlaku kes begini, mereka fikir ia isu bergaduh dengan jiran semata-mata. Biasanya, selepas nasihat cara baik pun jiran tak dengar, ada tuan rumah ambil tindakan kongsi masalah di media sosial sehingga viral. Ada kes yang pernah saya dapat, mereka bergaduh dan bertengking sehingga satu taman keluar.

"Jarang sangat yang rujuk kes-kes begini kepada pihak berkuasa, jadi mereka tak tahu bahawa kita semua ada hak di sisi undang-undang. Bergaduh tak boleh selesaikan isu pun," ujar pengamal undang-undang yang berusia 31 tahun itu.

jiran1

Kisah jiran bergaduh kerana menghalang laluan bukanlah isu baharu di negara ini. (Gambar Hiasan)

Senang disapa Syazwan, dia turut berkongsi beberapa akta yang terpakai dalam kes-kes tersebut dan antaranya merupakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

"Seksyen 48(1) APJ 1987 menyebut, adalah menjadi kesalahan bagi pemandu yang meletakkan kenderaan mereka dengan cara yang menyusahkan atau menghalang pengguna lain. Jika didapati bersalah, boleh didenda minimum RM1,000 dan maksima RM5,000 atau penjara tidak kurang satu tahun atau kedua-duanya.

"Di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955 (AKK 1955) pula ada menyebut tentang kesalahan letak kereta depan rumah orang. Seksyen 22 AKK 1955 menyebut, barangsiapa yang melanggar masuk perkarangan rumah dengan sengaja tanpa alasan munasabah, boleh didenda sehingga RM50.

Ada kes yang pernah saya dapat, mereka bergaduh dan bertengking sehingga satu taman keluar.

SYAZWAN MOHD JAFRI

PEGUAM HARTANAH

"Ramai tidak tahu, sebenarnya di bawah Seksyen 48(2) APJ 1987, pihak berkuasa seperti pegawai polis, pegawai JPJ atau pegawai majlis perbandaran, dibenarkan untuk clamp dan towing kereta yang menghalang atau menyusahkan orang lain.

"Oleh itu, semasa membuat aduan, pastikan anda maklumkan akta ini. Bila tahu kereta nak kena tow, pasti jiran tidak akan ulang kesalahan sama," ujarnya lagi.

Tambah Syazwan, perbuatan meletakkan kereta sehingga menghalang rumah orang turut dikira sebagai kesalahan tort kacau ganggu peribadi.

Malah, pemilik rumah juga boleh mengemukakan saman dan mendapatkan perintah halangan agar pelaku (jiran) tidak lagi meneruskan salah laku tersebut.

syazwane

Syazwan berkata, dia sering berhadapan kes itu sepanjang tujuh tahun bergelar peguam hartanah.

Terdahulu, Syazwan pada Rabu berkongsi pendapatnya mengenai kes itu menerusi Facebook sehingga menerima lebih 300 komen netizen.

Malah, ramai netizen turut berkongsi kisah masing-masing yang turut berhadapan isu sama di kawasan kediaman mereka.

"Nampak remeh, nampak macam tak bertimbang rasa... tapi isu macam ni boleh buat bermasam muka sesama jiran.

"Dah pernah kena. Berjiran dengan orang tua. Nak tegur nanti kata tak ada adab.

"Bila tegur, dia cakap tak ada sifat kejiranan la... Esok mati jiran juga yang datang dulu," tulis beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain