suria

Dua puteri raih keputusan cemerlang 10A, ramai sebak cara Dr Sheikh Muszaphar hargai anak-anak... akui tak mudah jadi kak long, anda anak nombor berapa?

Dr Sheikh Muszaphar berkongsi mengenai pencapaian dua puterinya menerusi bingkisan video di media sosial.

ANGKASAWAN negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sering berkongsi kisah penuh inspirasi mengenai kehidupannya bersama anak-anak dan isteri menerusi media sosial.

Kali ini, Dr Sheikh Muszaphar memuat naik sebuah video, memaparkan dua anaknya iaitu Sophea Isabella, 10, dan Sophea Natasha, 8, yang meraih keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan di sekolah mereka.

"Bella, seronok dapat jadi pengawas. Tasha, pelajar cemerlang 2021 tahun dua, 10A 10 subjek.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal timang anak kembar lagi! Dr Sheikh Muszaphar gembira, sedia teman isteri tambah berat badan - “Seperti Deja vu sekali lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Sheikh Muszaphar mula kongsi video ke angkasa, “Saya masih ada beribu rakaman yang belum pernah dilihat”

"Bella pun 10A 10 subjek, pelajar cemerlang 2021 tahun empat. Belajar kerana Allah Bella, belajar kerana Allah Tasha. Ingat pesan daddy," tulisnya pada video itu.

Dalam posting sama, Dr Sheikh Muszaphar turut bercerita panjang lebar mengenai anak-anaknya itu.

"Bella sentiasa cemerlang dalam apa sahaja yang disertainya, tak kira sukan mahupun pembelajaran. Dia sentiasa nombor satu sejak tahun satu. Rahsianya? Dia beri perhatian dalam kelas.

"Dan kini hanya menunggu masa Tasha mengikuti dan cuba bersaing dengan kakaknya untuk membuktikan diri. Alhamdulillah, syukur sangat," ujar Dr Sheikh Muszaphar.

Dr Sheikh Muszaphar bersama Bella dan Tasha.

Menurut beliau lagi, anak sulung memainkan peranan penting dalam keluarga kerana bakal menjadi ikutan saudara yang lebih muda.

"Mereka perlu memimpin dengan contoh, dengan harapan adik beradik yang lain akan mencontohi mereka. Mereka perlu rajin, sabar, bertanggungjawab dan penyayang.

Tak pernah mudah jadi yang paling besar. Saya gembira saya anak nombor tiga.

DR SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR

ANGKASAWAN NEGARA

"Ibu bapa biasanya ada jangkaan tinggi terhadap mereka dan kadang-kala ia memberi tekanan kerana berharap adik-beradik yang lain akan mencontohinya.

"Tak pernah mudah jadi yang paling besar. Saya gembira saya anak nombor tiga," kata Dr Sheikh Muszaphar.

"Biasanya anak nombor dua yang nakal, yang tengah agak santai dan yang bongsu paling manja. Anda anak nombor berapa?" soal Dr Sheikh Muszaphar pada kapsyen video itu.

dr sheikh 2

Bella dan Tasha meraih keputusan 10A dalam peperiksaan.

Video yang dikongsi menerusi akaun TikTok Dr Sheikh Muszaphar itu meraih lebih 740,000 tontonan.

Ia turut dikongsi di laman Instagram dan dihujani dengan pelbagai komen netizen, termasuklah yang memuji kecemerlangan akademik anak-anaknya.

Malah, netizen turut meluahkan rasa sebak dan sayu apabila melihat Bella dan Tasha bersalaman serta memeluk bapa mereka.

"Saya menangis tengok video ini. Tahniah Bella dan Tasha.

dr sheih

Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina memiliki enam cahaya mata.

"Alhamdulillah, saya kagum dengan teknik yang digunakan Dr Sheikh Muszaphar dalam mendidik.

"Mak ayah hebat, anak-anak pun hebat," tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, Dr Sheikh Muszaphar dan isteri, Datin Dr Halina Mohd Yunos mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.

Selain Bella dan Tasha, pasangan itu memiliki empat lagi anak iaitu kembar lelaki berusia empat tahun, Sheikh Adam dan Sheikh Noah serta sepasang lagi kembar iaitu Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia yang dilahirkan pada November 2020.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain