suria

“Selesai nikah, suami terus masuk bilik” - Pengantin perempuan pasrah di tepi tingkap, majlis kahwin tak seperti diimpi angkara Covid-19

Sarah hanya bergambar di tepi tingkap gara-gara suaminya terpaksa menjalani kuarantin.

TIADA sesi 'photoshoot' di pelamin mahupun bersama kedua-dua belah keluarga ketika hari bahagianya yang berlangsung baru-baru ini.

Semuanya gara-gara perkhabaran duka yang menjengah secara tiba-tiba menjelang tarikh pernikahannya, sekali gus menjejaskan hampir 100 peratus persiapan yang telah direncana.

Benarlah kata pepatah, manusia hanya mampu merancang sebaliknya Tuhan menentukan segala-galanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkara virus, ibu berkali-kali minta maaf! Majlis nak langsung esok, khemah dah pasang tapi anak tak dapat nikah seperti dirancang

ARTIKEL BERKAITAN: Dah selamat nikah, pengantin batal majlis kahwin saat akhir! Kesedihan terubat dapat jamu lauk kenduri buat mangsa banjir

Sungguhpun berat dan sukar diterima pada mulanya, wanita ini akhirnya memilih untuk reda dan berlapang dada dengan takdir yang sudah tertulis.

Berkongsi cerita dengan mStar, Sarah Zahari berkata, segala-galanya bermula apabila ibunya disahkan positif Covid-19 hanya lima hari sebelum tarikh pernikahannya pada 19 Februari.

"Waktu saya tiba di kampung di Ketereh, Kelantan beberapa hari sebelum tarikh nikah, ibu waktu tu dah macam tak sihat... dia mengadu sakit kepala.

"Tak lama tu ibu batuk. Bila kami buat ujian menggunakan kit ujian kendiri, hasilnya dua garisan. Kami ke klinik untuk buat ujian dan memang sah ibu positif.

"Sementara itu saya dan ayah negatif. Kami bertiga saja di rumah ketika itu. Adik beradik belum pulang. Terpaksalah ibu jalani kuarantin.

"Bila dapat tahu ibu positif Covid-19, saya menangis dan saya akui tak pernah sesedih itu. Saya sedih sebab mak tak boleh ada dengan saya ketika hari bahagia. Perkara lain pasal kenduri tu saya tak berapa sangat fikir sangat dah," ujar wanita berusia 32 tahun ini.

pengantin 2

Majlis pernikahan Sarah dan suami tetap diteruskan dengan SOP yang ketat.

Menurut Sarah, disebabkan berita mengejut itu, dia dan bapanya berbincang bersama bakal suami serta ahli keluarga sama ada mahu meneruskan atau menunda majlis pernikahan berkenaan.

"Bincang punya bincang, kami ambil keputusan untuk teruskan tetapi konsepnya terpaksa ditukar. Kami minta pihak katering buat food pack supaya senang kami agih kepada jiran, manakala tetamu yang datang pula hanya take away makanan saja.

"Kami ambil keputusan untuk tak payah pasang khemah mahupun pelamin. Mujurlah pelamin ini daripada team bakal suami saya saja.

"Persiapan yang masih berbaki, saya buat berseorangan sebab kami buat keputusan, adik beradik tak payah pulang kerana kami kontak rapat kes ibu," ceritanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta ini.

Sarah berkata dia akhirnya mampu menarik nafas lega apabila ibunya selesai menjalani kuarantin sehari sebelum hari pernikahannya menjelang.

Memang tak ada gambar kami berdua yang 'proper' pun hari nikah tu. Gambar dengan ibu bapa dan keluarga mentua pun tiada.

SARAH ZAHARI

Namun panas yang disangka hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

"Elok saja ibu habis kuarantin pada Jumaat, tunang saya (ketika itu) pada pagi hari yang sama kata dia tiba-tiba demam. Waktu itu, dia dan ahli keluarga bersama rombongan pihaknya dah tiba di Kelantan dari Kuantan.

"Bila buat ujian di klinik, sah tunang saya positif Covid-19. Jujurnya bila dia beritahu khabar itu, saya seperti blur dan dah macam tak ada perasaan. Air mata dah kering.

"Kami bincang termasuk dengan tok imam, dan tok imam faham situasi... kami pilih untuk teruskan majlis. Saya tetapkan di minda untuk selesaikan perkara wajib saja, yang lain saya dah tak kisah.

"Alhamdulillah, saya dan tunang selamat disatukan sebagai suami isteri juga di rumah saya namun dalam suasana SOP yang sangat ketat. Bilangan yang datang adalah ahli keluarga dan kenalan terdekat sahaja," katanya.

Menurut Sarah, selepas sahaja majlis ijab dan kabul, suaminya terus masuk ke dalam bilik khas yang disediakan di rumahnya untuk menjalani kuarantin.

pengantin 3

Sarah bersyukur majlis pernikahannya dapat dilaksanakan meskipun pelbagai perancangan diubah pada saat-saat akhir.

"Jadi rakan-rakan yang datang hanya jumpa pengantin perempuan sahaja. Entah macam mana, mereka bagi idea suruh suami buka tingkap bilik dan saya pula berdiri di luar... maka terjadilah 'photoshoot' tepi tingkap.

"Gambar dan video hanya dari kawan-kawan sebab saya batalkan tempahan jurufoto. Memang tak ada gambar kami berdua yang 'proper' pun hari nikah tu. Gambar dengan ibu bapa dan keluarga mentua pun tiada.

"Waktu majlis sambut menantu di Kuantan nanti pasti kami 'tebus' semula apa yang tak sempat buat ketika majlis di sebelah saya. Gambar nikah kemungkinan akan shoot di studio saja.

"Apa pun saya berharap majlis di Kuantan penghujung Februari ini akan berjalan lancar. Terima kasih kepada semua yang tak henti-henti doakan kami," katanya dalam nada terharu.

Sehingga kini perkongsian video Sarah di aplikasi TikTok meraih sehingga 423,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain