suria

Wanita berguling atas jalan... belon berisi emas terbang tak dapat diselamatkan, suami tenang je beri gelang baharu

Kak Su terkejut apabila melihat gelang emasnya terbang bersama belon.

WANITA dan emas memang tidak dapat dipisahkan.

Maka, tidak hairanlah ada yang sanggup menyelongkar sampah demi mendapatkan semula emas yang dibuang secara tak sengaja.

Baru-baru ini viral di laman sosial apabila seorang wanita berlari mengejar belon yang mengandungi gelang emas hadiah hari lahirnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita cemas terbuang dompet barang kemas, mujur pekerja MBSP sanggup korek timbunan sampah cari sampai jumpa

ARTIKEL BERKAITAN: Target 18 bulan... Pengusaha butik akhirnya kumpul emas sama nilai sebuah kereta, tapi bikin kecoh pakai rantai tangan hampir setengah kilo!

Menerusi video berdurasi 1 minit 46 saat itu, wanita yang dikenali sebagai Nur Suhana Mat Noor, 34, menerima hadiah hari lahir daripada suaminya, Muhamad Tarmizi Mat Zain, 32, namun dia tidak menyangka hadiah tersebut terbang bersama belon yang diberikan.

Menceritakan kembali kenangan manis itu kepada mStar, Che Rizni yang merupakan pekerja kepada pasangan suami isteri itu memberitahu, kejutan hari jadi untuk majikannya yang mesra dipanggil Kak Su itu telah dirancang awal.

"Birthday party tu surprise, suami dia yang kami panggil Abe Mizie tu tempah event planner untuk dekorasi.

"Dalam pukul 4 petang macam tu, belon yang berisi hadiah Kak Su sampai. Jadi Abe Mizie ajak dia pergi ambil gambar sambil pegang belon tu.

"Pastu dia minta Kak Su tarik riben dan apabila belon terbang baru dia beritahu ada gelang emas dalam belon tu," ceritanya sambil menambah Kak Su juga tidak menyangka akan menerima dua kali kejutan hari lahir.

Berkongsi tentang situasi cemas yang dihadapi Kak Su, dia memberitahu, belon berisi hadiah barang kemas itu merupakan idea yang dirancang Abe Mizie sendiri.

Surprise hari lahir disambut di premis kedainya di Wakaf Che Yeh

Surprise hari lahir disambut di premis kedainya di Wakaf Che Yeh.

"Prank untuk belon berisi hadiah tu dirancang suami bos sehari sebelum sambutan hari lahir pada 9 Januari lalu.

"Asalnya memang nak bagi barang kemas sebagai hadiah, tapi disebabkan nak buat kelainan dan mengikut trend duit terbang tu... jadi Abe Mizie gantikan duit dengan barang kemas," ujarnya ketika dihubungi.

Menurut gadis berusia 20 tahun itu lagi, ketika melihat belon terbang, bosnya yang merupakan anak kelahiran Kelantan tidak mengetahui bahawa hadiah barang kemas telah diletakkan dalam belon tersebut.

"Apabila dimaklumkan, Kak Su terus berlari dan mengejar belon tu sambil jerit 'emas aku, emas aku'. Kira-kira empat meter juga dia lari dari tempat buka hadiah.

Semasa Abe Mizie pakaikan gelang kat tangan, dia tanya 'papa pastu emas tu macam mana, membazir dah terbang'.

CHE RIZNI

"Dia sangat terkejut bila tahu hadiah diletakkan dalam belon. Tapi memang suami dia plan nak buka hadiah kat kawasan parkir depan kedai di Wakaf Che Yeh.

"Muka dia pun nampak panik sangat masa tu. Bila belon terbang tinggi dan tidak dapat diambil, dia berguling atas jalan kerana sedih dan kecewa hadiah birthday dibawa angin.

"Belon tu memang tidak dapat tangkap sebab dah terbang jauh. Jadi, bagi mengelakkan Kak Su terus melakukan aksi 'ekstrem' atas jalan, Abe Mizie beritahu perkara sebenar," ujarnya yang turut menyaksikan adegan cemas Kak Su.

Menurutnya, Kak Su kembali ceria sejurus melihat Abe Mizie mengeluarkan hadiah dari poket seluar.

Kak Su bahagia bersama suami dan tiga anaknya.

Kak Su bahagia bersama suami dan tiga anaknya.

"Semasa Abe Mizie pakaikan gelang kat tangan, dia tanya 'papa pastu emas tu macam mana, membazir dah terbang'.

"Abe Mizie terus jawab yang emas tu palsu. Tapi Kak Su tetap membebel dan cakap 'kenapa buat macam tu.. mama dah tergolek-golek'.

"Kak Su juga cakap yang dia pernah mimpi emas hilang sebab itulah dia kalut bila nampak belon yang dikatakan ada hadiah barang kemas terbang," katanya.

Pekerja juga sering dibawa bercuti bersama.

Pekerja juga sering dibawa bercuti bersama.

Bercerita lanjut, dia yang hampir dua tahun berkhidmat bersama pasangan berkenaan yang menjalankan bisnes permaidani berkata, Kak Su yang juga ibu kepada tiga cahaya mata begitu meminati logam berharga itu.

"Dia memang minat emas dan setiap kali hari lahirnya, Abe Mizie mesti hadiahkan emas.

"Sepanjang mengenali Kak Su dan Abe Mizie ni, mereka sangat sporting dan baik. Dengar Kak Su membebel tu adalah biasa tapi dia sangat ceria.

"Kami sebagai pekerja dah dianggap macam keluarga dia. Dia juga selalu bawa kami pergi bercuti," ujarnya sambil mendoakan semoga Kak Su dan Abe Mizie dimurahkan rezeki dan sentiasa bahagia bersama keluarga tercinta.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain