PEPATAH ada mengatakan bahawa lidah adalah lebih tajam daripada mata pedang. Adakalanya dalam tidak sedar, pertuturan harian kita boleh mengguris hati orang sekeliling kita.ARTIKEL BERKAITAN: Belajar di UK, balik Malaysia jual tauhu bergedil je... wanita ini ada cara tutup mulut makcik bawang!ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes sambil TikTok! 3 beradik tak kisah berpanas tepi jalan, buat kerja tak glamor - “Saya menari di gerai, orang pandang saya tak peduli” Sebagaimana kisah yang dikongsi oleh seorang doktor menerusi satu posting di Facebook, yang mana dia mengakui dirinya seorang yang suka berterus terang atau ‘cakap lepas’. Namun pertemuan dengan seorang rakan baik zaman sekolah di kliniknya baru-baru ini membangkitkan rasa insaf dalam dirinya kerana sering 'cakap tak berlapik' tanpa menyedari kata-katanya mengguris hati sahabatnya itu. Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan yang berkhidmat di Klinik Maimunah dan Rakan-Rakan, kisah bermula apabila dia didatangi seorang pesakit yang merupakan rakan lamanya di sekolah rendah. Tangkap layar perkongsian cerita Dr Kamarul di Facebook miliknya. “Masa ditanya kenal lagi atau tidak, aku cepat-cepat capai kad rawatannya. Mukanya aku tak cam. Dia bekerja di sebuah syarikat berkanun sebagai pengurus. Tak ada satu pun maklumat dalam kad ni boleh bantu aku mengingati lelaki tu. “Aku jujur dengan menjawab ‘Maaf, saya tak ingat’. Selalu juga berhadapan dengan situasi seperti ni. Kebiasaannya pesakit akan ingat doktor yang merawat, tapi doktor kadang kala tak ingat pesakit yang dirawat,” ujar Dr Kamarul. Jelas Dr Kamarul yang menetap di Johor Bahru itu, setelah berteka-teki pesakit tersebut memberitahu bahawa dia adalah Mat, rakan di Sekolah Agama Dato' Abdullah Esa di Johor. Pada ketika itu, Dr Kamarul masih diam dan berfikir kerana masih belum dapat 'menangkap' siapa lelaki tersebut sehingga dia memperkenalkan dirinya sebagai 'Mat Begedil Masin'. “Begedil masin; ia ibarat kata laluan yang membuka semula peti memori yang telah lama terkunci. 20 tahun berlalu, Mat masih boleh mengecam aku. Aku pula hanya mengingatinya setelah dia menyebut tentang begedil masin. “Kami berborak panjang, bercerita tentang kenangan lama. Sewaktu di Sekolah Agama (SA) Johor dulu, Mat sahabat karibku. Seluarnya senteng, songkok lipatnya hitam tapi ada sedikit rona kemerah-merahan, macam rambut makcik-makcik yang telah diinaikan. “Kami selalu makan di kantin bersama-sama. Aku akan beli nugget ayam, dia pula sering bawa bekal dari rumah. ‘Mak kau masak, selalu masin!’ ujarku sambil meluahkan kembali begedil yang aku baham tadi. Ini bukan kali pertama aku berkata begitu pada makanan yang dibawa oleh Mat,” tulis Dr Kamarul. Dr Kamarul mengakui sejak di bangku sekolah, dia memang sejenis cakap lepas dengan kawan-kawan yang mana dia tidak menyedari tindakannya itu akan memberi impak mendalam terhadap Mat. Imbas Dr Kamarul, dia juga membandingkan bekal begedil bersaiz sebesar bebola ikan dibawa oleh Mat yang hanya ada daun sup dan bawang goreng dengan begedil dibuat oleh ibunya yang sedap, besar dan berintikan daging. Jelasnya, itu merupakan kali terakhir dia berkongsi bekal dengan Mat kerana dia mendapat tawaran belajar di asrama penuh selepas keputusan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) diumumkan. Dr Kamarul merupakan seorang doktor berkhidmat di Klinik Maimunah dan Rakan-Rakan Dr Kamarul mengambil peluang ketika berjumpa Mat semula pada kali ini dengan meminta maaf kerana Mat sendiri mengaku dia berkecil hati apabila dia mengutuk bergedil yang dibuat oleh ibunya. “Aku rasa bersalah kerana peristiwa itu, dan aku rasa bersalah kerana mengungkitnya kembali. Tak sepatutnya aku timbulkan perkara-perkara yang sensitif begini setelah lama tak berjumpa. Lagi-lagi ia melibatkan emaknya yang dia beritahu kini sudah tiada. “Mat ada tanya mak dia kenapa selalu masak masin. Mat beritahu maknya jawab begini, Mat, mak tahu tak bagus makan masin-masin. Tapi Mat, kalau mak tak masak main macam tu, Mat dengan adik-adik makan lauk akan rasa tak cukup. Bila lauk masin kita boleh makan nasi banyak dengan lauk sikit. Sebab tu kita selalu makan ikan bilis, telur masin, ikan kering. Bapa tak mampu beli selalu lauk-pauk yang lain. Kalau kita dah mampu, mak janji tak masak lauk masin-masin. “Aku tak tahu nak beri reaksi macam mana setelah aku dengar jawapan emaknya. Luluh jantung, berkecai hati, bergenang air mata. Rasa macam masuk mesin tebu,” jelas Dr Kamarul dengan penuh rasa bersalah. Bagaimapaun Mat menjelaskan bahawa dia telah memaafkan Dr Kamarul kerana menurutnya selepas kejadian tersebut dia mendapat suntikan semangat untuk mengubah nasib keluarganya. Dr Kamarul pernah bersekolah di Sekolah Agama (SA) Johor. Doktor ini mengakui bahawa dia kesal dengan perbuatan lampaunya walaupun pada ketika itu baru sahaja berusia sembilan tahun. Malah dia tidak sanggup lagi meneruskan perbualan dengan Mat yang menggodak jiwanya dengan meneruskan urusan bersama pesakit lain. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI