"SAYA bimbang dia tanya mana ibunya... itu yang saya fikir dan rasa serba salah," rintih Mohd Khairi Hasbullah yang kematian isteri dan bayi yang terkeluar dari kandungan akibat kemalangan baru-baru ini. Menurut bapa berusia 31 tahun itu, dia masih lagi tidak tahu bagaimana ingin menyampaikan berita kematian isterinya, Nur Hasliza Yazaib kepada anak lelakinya, Muhammad Haziq yang baru berusia tiga tahun. "Kakak dia, Puteri Irdina Humairah umur lapan tahun, sekurang-kurangnya dah faham tentang kematian. Yang kecil umur tiga tahun ni, malam-malam dia akan tanya kadang-kadang sampai 10 kali soalan yang sama. ARTIKEL BERKAITAN: Insiden ibu maut bersama bayi terkeluar dari kandungan... kakak ipar sebak anak arwah Nor Hasliza asyik tanya “mana abu?” ARTIKEL BERKAITAN: Menyayat hati... penunggang motosikal maut tersepit tayar kontena, polis kesan saksi kemalangan "Jadi bila dia tanya, saya akan soal balik dan dia akan jawab 'ibu ciden abah, tubik darah, ibu mati'," ujarnya yang yakin anak kecilnya akan memahami situasi berkenaan suatu hari nanti. Tambahnya, anak keduanya, Nurul Iman Maisara, 6, yang terlibat kemalangan sama sudah dipindahkan ke wad biasa. "Alhamdulillah, dia sedar dua hari lepas. Tapi masa tu saya tak boleh pergi tengok dan hanya dimaklumkan jururawat yang menjaga Iman," katanya. Nurul Iman (kiri) bersama kakak dan adiknya. Menurut Khairi yang bekerja sebagai buruh kampung, dia sangat bersyukur kerana ingatan anak keduanya masih baik walaupun mengalami kecederaan parah di kepala. "Sekarang dia dah pindah ke wad biasa dan saya dapat jumpa dia pukul 11 pagi Jumaat. Soalan pertama yang dia sebut selepas melihat saya adalah keadaan kakak dan adiknya. "Saya tak tahu nak cakap apa jika dia bertanyakan tentang ibunya yang sudah tiada. "Saya pun tak nak Iman cakap banyak sebab rasa sedih melihatkan keadaan dia yang tiada suara untuk bercakap kerana tiub pernafasan baru saja ditanggalkan daripada mulutnya. "Selepas ini dia perlu jalani X-ray untuk melihat keadaan tangannya yang retak," ujarnya sedih selepas melihat keadaan Iman yang masih tidak bermaya. Dia jaga saya dan anak-anak dengan sangat baik. Setiap kali saya balik kerja, nasi sudah terhidang atas meja... hanya menanti saya suap ke mulut. MOHD KHAIRI HASBULLAH Mengimbau kenangannya bersama isteri tercinta, ujar Khairi yang sudah lapan tahun mendirikan rumah tangga, dua minggu sebelum kemalangan berlaku, arwah isterinya pernah menyatakan 'kalau saya kurang bercakap, itu maksudnya saya letih'. "Arwah seorang yang baik. Sebelum ni, dia tak pernah merungut letih dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri. "Dia jaga saya dan anak-anak dengan sangat baik. Setiap kali saya balik kerja, nasi sudah terhidang atas meja... hanya menanti saya suap saja. "Dia juga suka bergurau senda dengan saya sehinggakan saya tidak merasa sebarang perubahan yang berlaku. "Tapi adalah dia kurang cakap sikit dan dia bagitahu 'kalau ibu tak cakap dengan abah bukan sebab ibu tak suka tapi ibu letih'. Saya pun balas cakap faham dengan situasi dia," ceritanya sebak sambil memaklumkan anaknya yang terlahir di tempat kemalangan bernama Muhammad Harris Irfan. Khairi bersama anak sulung dan anak ketiganya. Menceritakan keadaannya masa ini, ujar Khairi, dia masih lagi rasa sukar untuk terima tragedi yang menimpa isterinya, namun demi anak-anak dia terpaksa kuatkan semangat. "Bukan senang nak lupa dengan orang yang kita sayang... tapi tengok anak-anak yang masih kecil terpaksalah saya senyum depan mereka supaya mereka tak turut sedih," katanya. Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam 18 Februari lalu, Nur Hasliza yang sarat mengandung sembilan bulan, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah motosikal lain. Pelanggaran itu menyebabkan anak yang dikandungnya terkeluar di tempat kejadian. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI