suria

“Belum pernah nampak yang seperti ini” - Pendaki teruja saksikan fenomena salji di Gunung Kinabalu

Tangkap layar daripada video yang dirakam pendaki di Gunung Kinabalu, pagi Isnin. Foto/video: mrk_ranau2021

PULUHAN pendaki teruja apabila dapat menyaksikan sendiri fenomena salji di Gunung Kinabalu, pada pagi Isnin.

Fenomena tersebut dikatakan agak luar biasa kerana ia jarang sekali berlaku di negara ini.

Beberapa klip video turut dirakam dan dikongsikan di laman sosial sekaligus mengundang bualan hangat warganet.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas KL, hujan batu melanda Shah Alam

Menerusi perkongsian mrk_ranau2021 di aplikasi TikTok, kelihatan butiran halus berwarna putih turun membasahi kawasan di puncak gunung berkenaan.

"Wowww... kali pertama. Maksud saya, pernah turun sebelum ini tapi kita belum pernah nampak yang seperti ini," katanya dalam video tersebut.

Malah para pendaki bersamanya turut teruja kerana butiran salji melekat pada pakaian dan rambut mereka.

@mrk_ranau2021 Snowing on top of kinabalu !!! @erasabah #fyp #share #borneo #kinabalu ♬ Sunset Lover - Petit Biscuit

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, fenomena salji itu berlaku di Sayat-Sayat sehingga ke puncak Gunung Kinabalu iaitu di Kilometer 8.72, sekitar pukul 7.18 pagi.

Menurut pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.

"Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia sehingga di puncak," katanya.

Jelasnya lagi, strukturnya memang salji dan bukannya seperti ketulan ais yang biasa mereka lihat ketika di puncak Gunung Kinabalu.

"Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat," ujarnya lagi.

Katanya lagi, sejak 11 tahun menjadi pelatih Via Ferrata, kejadian itu bukan kali pertama ia berlaku dan dia pernah saksikan fenomena yang sama pada 2018.

Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid memaklumkan, fenomena salji turun di Gunung Kinabalu turut pernah direkodkan pada 1975 dan 1993.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain