suria

‘Bro’ ini masih kental walau terbabas langgar anjing! Sendirian tolak motor 1km selepas terseret atas jalan, kemudian pandu kereta ke hospital

Gara-gara seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba, motosikal Junaidi terbabas kerana tidak sempat mengelak.

BAK kata pepatah, malang tidak berbau.

Begitulah nasib yang menimpa seorang pemuda apabila motosikalnya terbabas, gara-gara seekor anjing!

Lebih malang, kemalangan berlaku di sebatang jalan yang agak sunyi di mana tiada kenderaan lain yang lalu lalang sekali gus menyukarkannya meminta pertolongan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayam punca kemalangan! Gadis terpaksa dibedah 3 kali, muka tertusuk cermin mata ketika edar taqwim bantu keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Jalan lengang, elok je rider bawa motor tapi malang tak berbau... patah tulang bahu! – “Yang langgar tu dah kenapa?”

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Junaidi ini berkata, kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Waktu tu lebih kurang pukul 7.40 pagi, saya dalam perjalanan nak ke tempat kerja. Ketika saya lalu satu kawasan selekoh sikit, ada kereta rosak parking tepi jalan.

"Sedang saya hampiri kawasan tu, saya tak perasan ada anjing melintas di tengah jalan. Nak mengelak pun tak sempat jadi terlanggarlah anjing tu sampai saya terseret di jalan," katanya sambil menambah, insiden berkenaan berlaku tidak jauh jauh dari rumahnya di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Junaidi, akibat kemalangan tersebut, dia mengalami luka-luka di anggota badan sebelah kiri, manakala anjing yang menjadi punca insiden itu pula mati akibat dilanggar.

accident 2

Junaidi mengalami luka di kaki kiri dan pinggang kirinya sehingga terpaksa menerima tiga jahitan.

Tambah pemuda berusia 31 tahun ini, disebabkan tiada kenderaan yang lalu lalang, dia menggagahkan diri untuk bangun dan menolak motosikalnya ke rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi berkenaan.

"Sampai rumah, ada emak dan kakak pagi itu. Mereka dah gelabah tapi saya rileks je. Selepas cuci luka, saya ambil first aid kit untuk hentikan pendarahan dan balut dengan kain.

"Sebenarnya saya anggota Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Kalau first aid ni saya tahu macam mana nak handle.

junaidi 1

Junaidi merupakan seorang anggota Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kemudian pandu ke hospital seorang diri. Pembantu perubatan di hospital pun terkejut saya accident motor tapi datang seorang," ujarnya sambil berseloroh.

Dek kerana luka yang agak dalam, Junaidi menerima tiga jahitan di pinggang kirinya dan diberikan cuti sakit sehari.

Saya pandu ke hospital seorang diri. Pembantu perubatan di hospital pun terkejut saya accident motor tapi datang seorang.

JUNAIDI

Mengakui ini adalah insiden pertama dia terlibat dalam kemalangan kerana terlanggar haiwan, Junaidi berkata dia tidak trauma namun lebih berwaspada memandangkan kawasan yang dilalui untuk ke tempat kerja terdapat banyak anjing berkeliaran.

"Saya hanya bawa kereta ke tempat kerja kalau hujan saja biasanya. Lepas ini kalau nampak anjing, memang baling batu dululah.

junaidi 2

Tugas Junaidi sebagai seorang anggota EMRS.

"Tak sangka video yang dikongsikan di TikTok meraih melebihi 107,000 jumlah tontonan. Untuk yang mendoakan saya supaya cepat sembuh dan komen-komen yang berkongsi pengalaman, saya doakan Allah permudahkan urusan kita semua dan diberi kesihatan yang baik.

"Kepada rider-rider di luar sana, berhati-hatilah dan berwaspada dengan keadaan sekeliling waktu bawa motor tu. Utamakan keselamatan, guna gear yang bersesuaian sebagai seorang rider dan jangan lupa berkasut dan pakai helmet," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain