suria

Hilang seharian, esok jumpa koma dalam kereta! Adik insaf 2 minggu jaga kakak di hospital, sanggup Google cara jaga orang sakit

Uyank berkata, dia sedih melihat keadaan kakaknya sepanjang dua minggu dirawat di hospital.

PERASAAN pilu dalam hati, tiada siapa mampu mengerti.

Begitulah kata Uyank Ibrahim, 21, apabila mengenangkan semula pengalamannya selama dua minggu menjaga seorang ahli keluarga yang sakit di hospital.

Menurut pemuda itu, kakak sulungnya Suriani Ibrahim, 40, koma dan mengalami lumpuh separuh badan sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku dalam kepala, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tunggu masa nak bersalin, suami pula berkelakuan aneh... beri banyak petanda ajal menjemput - “Warna bilik kami putih, dia nampak hijau”

ARTIKEL BERKAITAN: Ayah hidap kanser usus meninggal dunia di bulan Ramadan, tragisnya masuk wad beberapa jam sebelum akad nikah anak - “Masa tu khemah, pelamin dah pasang”

"Kakak memang ada darah tinggi. Dalam dua minggu lepas, kakak hilang selama sehari. Rupa-rupanya dia pengsan dalam kereta ketika keluar ke bandar. Kami dapat tahu pun selepas dimaklumkan oleh polis.

"Kakak koma dalam seminggu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kemudian kakak juga menjalani pembedahan darah beku dalam kepala.

"Alhamdulillah, sekarang kakak dah sedar tapi pertuturannya tak jelas. Dia strok separuh badan belah kiri," ujarnya yang senang disapa Uyank.

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, kakaknya dibenarkan discaj dan pulang ke rumah pada Ahad lalu selepas dua minggu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

uyank22

Uyank (kanan) berkata, kakak sulungnya (kiri) sudah dibenarkan discaj pada Ahad lalu.

Mengimbas pengalaman dua minggu itu, Uyank menyifatkan ia sebagai pengalaman paling berharga yang menginsafkan dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Saya yang jaga kakak di hospital kerana orang lain ada komitmen. Anak-anak kakak ada empat orang, semua masih kecil. Yang sulung pun baru tingkatan satu. Ini kali pertama saya jaga orang sakit di hospital.

Kalau nak menangis depan dia pun saya tahan. Saya sebak memikirkan anak-anak kakak yang masih kecil.

UYANK

"Punyalah tak tahu, sampai saya terpaksa cari di Google mengenai cara-cara jaga orang sakit. Ini mungkin pengalaman yang menginsafkan.

"Saya tidur-tidur ayam saja sepanjang di hospital. Setiap empat jam, saya kena bancuh susu dan beri susu menerusi tiub untuk kakak.

"Mental kena kuat, saya memang rasa sedih. Kalau nak menangis depan dia pun saya tahan. Saya sebak memikirkan anak-anak kakak yang masih kecil. Tapi Alhamdulillah, sekarang dia dah balik rumah, ramai keluarga boleh tolong jaga," ujar Uyank lagi.

uyank3

Uyank terkejut video yang dikongsi tular di aplikasi TikTok.

Dalam pada itu, Uyank berkata dia juga tidak mandi selama tiga hari ketika sibuk menguruskan kakaknya di hospital.

Dia turut berkongsi kisah itu menerusi bingkisan video menerusi TikTok sehingga meraih hampir 80,000 tontonan.

Kata Uyank, dia berterima kasih kepada netizen yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral serta mendoakan kesihatan kakaknya.

uyank4

Jejaka Thailand yang menetap di Kelantan ini menganggap pengalaman menjaga kakaknya sebagai detik berharga dalam hidup.

"Saya sekadar suka-suka kongsi video di TikTok. Tak sangka ramai yang beri respon. Ramai juga yang kongsi pengalaman sama macam saya. Paling terharu, ramai yang mendoakan kakak," ujar Uyank lagi.

Mengenai dirinya, Uyank yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan berkata, dia bekerja dengan keluarganya, menguruskan sebuah pusat rekreasi di negeri itu.

Uyank merupakan warganegara Thailand, namun keluarganya sudah berkelana ke Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain