suria

Demi ibu... pengurus muda bukan sahaja sanggup lepaskan jawatan tapi pilih jadi 'mak andam', kini gaji dah level high class

Khuri Mazlan gembira dengan bisnes yang diceburinya.

KESUKARAN mendapatkan pekerjaan yang diminati mendorong anak muda masa kini menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Kebanyakannya bermula dengan menjadi stokis mahupun ejen produk ternama sebelum berjaya membina jenama sendiri.

Tidak terkecuali Muhammad Nurkhuri Ma’amur Mohd Mazlan yang memilih bidang lukisan henna, solekan dan dandanan rambut sebagai kerjayanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak lelaki umur 11 tahun dah boleh diharap mandikan bayi baru lahir, masak dan jaga ibu berpantang - “Saya sangat tegas, garang”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu trauma anak 5 tahun beritahu diajak ‘main jilat’, rakan tengok aksi tu di telefon emaknya

Bercerita kepada mStar, ujar anak muda berusia 25 tahun ini, dia tidak menyangka bidang solekan dan dandanan rambut serta lukisan henna akan menjadi kerjayanya selepas tiga tahun bertugas selaku pengurus.

Malah katanya yang pernah terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B) bagi tempoh tujuh tahun, menceburkan diri dalam 'dunia' yang dimonopoli wanita merupakan cabaran terbesar dalam hidupnya.

Namun, baginya ia adalah peluang terbaik kerana begitu meminati seni selain mahu menjaga ibu, Siti Sarina Ismail, 58, yang perlu menjalani dialisis kerana menghidap sakit buah pinggang.

"Pada asalnya, saya hanya kagum melihat orang melukis inai pada tangan kakak saya ketika majlis perkahwinan dia. Masa tu umur saya baru 16 tahun.

"Kemudian, saya cuba melakukannya dan ambil upah RM5 bagi lukisan sebelah tangan. Selepas dua tahun melakukannya, saya mula mendalami bidang solekan.

"Itu pun selepas kakak, Siti Halimatul Saadiah minta saya pergi kelas solekan. Kelas tu dia yang sertai mulanya, kemudian dia cakap dah tawar hati untuk buat... jadi minta saya gantikan.

"Lepas berjaya memahirkan diri dalam bidang solekan, baru saya berani ambil pelanggan. Pada masa sama saya bekerja F&B di sekitar Lembah Klang.

Khuri Mazlan bermula dengan bisnes lukisan henna.

Khuri Mazlan bermula dengan bisnes lukisan henna.

"Walaupun sudah bergelar pengurus, saya tak rasa kesal melepaskan jawatan tersebut pada pertengahan bulan Oktober tahun lepas.

"Lagipun saya nak jaga ibu yang disahkan sakit pinggang pada pertengahan tahun lalu kerana sekarang dia perlu jalani dialisis," ujarnya yang membuat keputusan drastik selepas mengkaji perkembangan industri solekan pada masa ini.

Menurutnya yang lebih mesra disapa Khuri Mazlan, menerusi bidang solekan dan dandanan juga, dia mampu menjana pulangan pendapatan yang memberangsangkan.

Katanya lagi, upah yang diperoleh daripada melukis inai di tangan pun sudah berbaloi, namun pelukis mesti mempunyai mental yang kuat selain perlu kreatif, cermat dan mempunyai kesabaran yang tinggi.

Antara design yang dilakukannya

Antara design yang dilakukannya.

"Dulu RM5, sekarang dah beratus... purata pendapatan saya pada masa ini adalah sekitar RM4,500 hingga RM6,000. Kira-kira RM21,000 simpanan yang saya dah ada sejak buat bisnes ni sepenuh masa.

"Buat ni mesti ada semangat yang tinggi, tak boleh ikut sangat emosi dan perasaan sebab kalau tiba-tiba emosi tak elok, nak buat dandanan atau solekan mesti rasa tak seronok. Hasilnya nanti mesti tidak memuaskan.

"Lagi pula, tempahan yang saya terima bukan hanya di sekitar Klang, Selangor sahaja tetapi turut meliputi Johor, Melaka dan Terengganu," ujarnya yang masih bertapak di bawah syarikat KCStudio milik kakaknya yang menjalankan bisnes jurugambar.

Tawaran tu memang tidak dijangka, mula-mula tu saya tak rasa gugup tapi masa hari dandanan tu, tiba-tiba jadi menggeletar. Alhamdulillah, hasil tetap memuaskan hati pelanggan.

KHURI MAZLAN

Sebagai seorang peniaga, pastinya dia juga mempunyai impian untuk memperluaskan bidang yang diceburi.

Malah katanya, dia tidak menyangka impian tersebut datang dengan sendiri.

"Baru-baru ini, saya diminta untuk mendandan rambut pelanggan salah sebuah butik pengantin. Puncanya disebabkan penata rias terbabit tiba-tiba positif Covid-19 dan kebetulan pula pelanggan saya juga positif.

"Tawaran tu memang tidak dijangka dan saya pun terima tawaran tersebut, mula-mula tu saya tak rasa gugup tapi masa hari dandanan tu, saya tiba-tiba jadi menggeletar. Alhamdulillah, hasil tetap memuaskan hati pelanggan.

"Untuk dandanan rambut ni, saya memang dah ada asas tapi belum membuatnya secara serius dan pelanggan tersebut adalah yang pertama untuk saya.

Datuk Fazley Yaakob pernah menjadi model make-up Khuri Mazlan.

Datuk Fazley Yaakob pernah menjadi model make-up Khuri Mazlan.

"Jadi lepas ni, saya akan fokus kepada tiga bidang iaitu lukisan henna, solekan dan dandanan rambut seterusnya berusaha untuk membuka syarikat sendiri," ujarnya yang berasal dari Klang, Selangor.

Bercerita lanjut tentang ahli keluarganya, anak kelima daripada enam beradik itu memberitahu, ibunya merupakan bekas guru manakala ayanya, Mohd Mazlan Bardun yang kini berusia 59 tahun adalah nelayan.

Khuri bersama ahli keluarganya.

Khuri bersama ahli keluarganya.

"Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menyokong kerjaya yang saya pilih walaupun mereka mengetahui pengalaman pahit yang pernah saya lalui seperti 'ditipu pelanggan'.

"Mak dan ayah juga sering memberi galakan kepada saya... mungkin sebab mereka tengok bagaimana saya mula dan betapa sukarnya saya membina nama sehingga akhirnya berjaya menjadi salah seorang make-up artis (MUA).

"Setakat ini, antara artis yang saya pernah solek adalah Datuk Fazley Yaakob, Fara Ahmad, Yonnie Boy dan ramai lagi," ceritanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan