BARU-BARU ini media sosial kecoh apabila seorang pelajar perempuan berkongsi paparan mesej 'jelik' yang diterima daripada gurunya, menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menerusi perkongsian tersebut, pelajar berkenaan memuat naik tangkap layar (screenshoot) perbualan di aplikasi Telegram antara dia dan guru berkenaan, di mana dia cuba bertanya perkara sebenar kerana tidak tahu 'pucuk pangkal' mengenai apa yang sedang berlaku. Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ira berkata, dia menerima mesej tersebut sekitar pukul 8.21 malam, Jumaat lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Terasa hati kata-kata guru, pelajar hilang fokus ketika jawab kertas Matematik SPM... Apa yang berlaku sebenarnya? - “Ibu ayah minta saya reda dan maafkan” ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu dikenali sebagai ‘Abang Kesian’ raih populariti luar biasa, tak melatah terima komen pertikai karakter lembut - “Rasa macam artis walau sendu” Bersangka baik berkemungkinan gurunya tersalah hantar, Ira membalas mesej berkenaan dengan bertanya dalam nada sopan, namun tidak mendapat kerjasama malah guru berkenaan bertambah 'berang'. "Sebenarnya saya tanya dulu sebab takut dia salah send atau kena hacked ke apa, but dia beri respon macam tu pula. Sudah tentu saya terkejut bila dapat mesej macam tu," ujar gadis ini. Imej tangkapan skrin (screenshot) perbualan antara Ira dan gurunya di aplikasi Telegram. Ira berkata dia memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya, dan wanita itu turut menghantar mesej kepada guru berkenaan untuk meminta penjelasan. Bagaimanapun kata Ira, guru terbabit meminta ibunya datang ke sekolah untuk membincangkan perkara itu secara bersemuka bersama pengetua sekolah kerana ia 'tidak boleh dijawab menerusi mesej'. "Itulah mesej terakhir dengan ibu saya sebab memang tak 'chat' dah sebab dia block kami berdua di Telegram juga WhatsApp. Sepatutnya kalau ikut rancangan, ibu nak ke sekolah pada Isnin (hari ini) tapi ibu dijangkiti Covid-19 pula," ujarnya sambil menambah, dia bagaimanapun tidak dijangkiti wabak itu kerana tinggal di kediaman berlainan. Tangkapan skrin (screenshot) antara ibu Ira yang meminta penjelasan daripada guru berkenaan. Malah kata Ira, mengenali ibu dan bapanya, mereka lebih gemar mengambil pendekatan untuk mendengar penjelasan daripada pihak guru terlebih dahulu dan tidak akan terus menyebelahi anak sendiri. Bagaimanapun menurut Ira, setakat ini masih belum ada perkembangan mengenai tarikh dan waktu perjumpaan yang bakal diadakan nanti. Saya harap cikgu lain boleh berfikir secara rasional dan jadi adil dalam selesaikan isu ini. IRA Ira berkata dia sendiri masih tertanya-tanya 'motif' guru berkenaan menghantar mesej sedemikian kerana menurutnya, dia tidak mencetuskan masalah sebelum ini. "Saya clueless. Mungkin ada orang hacked dia or apa saja. Atau sebelum ini ada orang berlakon jadi saya dan chat dia ke apa. Kami tak tahu," ujarnya sambil menambah, guru tersebut mengajar satu subjek di kelasnya. Mengakui sedih dan persiapannya untuk menduduki peperiksaan agak terganggu, Ira berkata lebih memburukkan situasi, dia menerima kecaman daripada guru-guru lain di sekolah, selepas memviralkan perkara itu di laman sosial. Ira berkongsi insiden yang dialaminya di laman Twitter tanpa menyangka ia menjadi tular. "Basically cikgu lain back-up cikgu tu. Ada cikgu yang screenshoot petikan berita mengenai perkara ini dan hantar di grup WhatsApp kelas lain. "Sekarang saya macam kena kecam dengan cikgu lain sebab viralkan benda tu sedangkan saya dah try slow talk tapi kena block," ujar gadis ini lagi. Tidak menyangka perkongsiaannya di laman Twitter menjadi tular, Ira berkata dia terharu kerana mendapat sokongan dan kata-kata semangat daripada netizen. "Benda pertama saya nak cakap yang pangkat seseorang tidak menjustifikasikan perkara salah yang dilakukan. Saya harap cikgu lain boleh berfikir secara rasional dan jadi adil dalam selesaikan isu ni," katanya lagi. Sehingga kini, ciapan Ira diulang kicau (retweet) melebihi 6,000 kali. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI