suria

Ibu sayu 3 anak terpaksa tidur beralaskan tikar, berbumbungkan langit di R&R... dari Pulau Pinang sanggup ke Selangor jual tisu cari rezeki halal

Kiri tiga anaknya tidur di luar kereta di R&R, kanan Hafifa bersama dua anak lelakinya.

HANYA beralaskan tikar yang dihamparkan di atas rumput, tiga anak kelihatan nyenyak tidur berselimut, di luar sebuah kereta uzur.

Lebih memilukan, anak-beranak itu menumpang tidur di tempat parkir kereta di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang di Lebuhraya Utara-Selatan.

"Ya Allah, ya Tuhanku, kasihan kat anak-anakku along, angah dan adik. Mama minta maaf sebab tak dapat nak bagi anak-anak mama tidur dengan selesa," menurut keterangan seorang ibu menerusi video yang dikongsinya di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup tak makan KFC ketika jamuan, alasannya buat warden asrama nak menitik air mata

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal 6 anak dihalau, siapa sangka hidangan bubur kacang 2 pagi jadi petanda - "Rupa-rupanya Tuhan kirim satu keluarga cari aku"

Bercakap kepada mStar, Nurulhafifa Mohd Sabri berkata, dia tidak menyangka video kenang-kenangannya menempuh kesusahan bersama anak-anak menjadi tular.

Wanita berusia 32 tahun itu bagaimanapun mengakui menjadikan R&R sebagai tempat berteduh mereka anak-beranak sejak keluar dari rumah sewa di Kepala Batas, Seberang Perai.

"Sudah empat bulan kami tidur di kawasan R&R, berhujan dan berpanas selepas tak dapat bayar tunggakan rumah sewa selama lima bulan serta tunggakan bil air dan elektrik selama setahun berjumlah kira-kira RM4,000.

"Merata-rata tempat kami bermalam, kadang-kadang di R&R Juru dan R&R Gurun. Anak-anak lebih selesa tidur atas tikar di luar kereta, saya dan suami pula tidur di dalam kereta," katanya ketika dihubungi.

tidur RnR 1 N

Keadaan kereta Proton Wira yang dinaiki Hafifa sekeluarga.

Hafifa berkata, dia merupakan ibu tunggal selama 11 tahun sebelum berkahwin dengan seorang mekanik berusia 38 tahun dengan pendapatan tidak tetap, pada 9 Februari lalu.

"Bengkel tempat kerja suami ditutup sementara sebab kes Covid-19. Jadi, kami jual tisu.

"Kadang-kadang kami sampai ke R&R Sungai Buloh di Selangor sebab lebih 'laku' di sana. Kami pergi ke kereta-kereta, minta tolong mereka beli tisu sebab nak isi minyak dan top up duit tol," ujarnya yang berasal dari Permatang Pauh di Seberang Prai Tengah.

Penerima zakat sebanyak RM400 sebulan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu perlu berusaha lebih untuk membesarkan tiga anak lelakinya berusia 16, 13 dan 11 tahun, dengan dua daripadanya merupakan orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran.

tidur RnR 3

Suami Hafifa mengumpul tin-tin buruk untuk dijual di kedai besi buruk.

Hafifa berkata, dia sebelum ini berniaga gerai menjual air balang dan buah potong, namun bisnesnya terjejas ekoran pandemik Covid-19.

"Sejak pertengahan tahun lalu, saya mula jadi runner hantar makanan dan barang-barang. Tapi tak banyak dapat kerana bayaran ikut sedekah pelanggan.

Kadang-kadang kami sampai ke R&R Sungai Buloh di Selangor sebab lebih 'laku' di sana. Kami pergi ke kereta-kereta, minta tolong mereka beli tisu sebab nak isi minyak dan top up duit tol.

NURULHAFIFA MOHD SABRI

"Kadang-kadang ada upah, kadang-kadang tak ada job runner. Saya jadi runner pun guna kereta Proton Wira dipinjam daripada abang ipar.

"Pernah sekali enjin kereta rosak. Saya terpaksa guna duit zakat dan jualan tisu untuk baiki kereta,” katanya sambil menambah ketiga-tiga anaknya tidak bersekolah sejak mereka keluar dari rumah sewa.

tidur RnR 4

Anak sulung Hafifa (kanan) turut membantu menjual kotak dan tin.

Beberapa pihak tampil memberi bantuan, susulan video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok pada Jumaat malam, meraih lebih 1.4 juta tontonan.

Salah seorang daripada mereka adalah pemilik butik, Nazuha M Ariffin, 31, yang menemui Hafifa di R&R Bagan Ajam di Butterworth, Pulau Pinang pada Sabtu lalu, sebelum membawa keluarga itu membeli barang keperluan.

tidur RnR 2 N

Hafifa (kanan) bersama anak-anak membeli barang keperluan dengan bantuan seorang usahawan wanita.

Hafifa berkata, seorang lagi turut membantu dari segi bayaran tunggakan rumah sewa sekali gus membolehkan dia bersama keluarga kembali tinggal di rumah berkenaan.

"Alhamdulillah ada yang baik hati. Sekarang ni kami dah tak jual tisu cuma pergi cari kotak dan tin buruk untuk jual di kedai besi buruk.

"Sekarang ni saya, suami dan anak sulung yang ke sana ke sini cari kotak dan tin buruk untuk dijual. Alhamdulillah, dua lagi anak dah masuk ke sekolah tahfiz atas bantuan seorang ustaz.

"Saya nak berniaga balik tapi tak ada modal. Teringin nak berniaga air balang dan buah potong macam dulu, dan mungkin juga jual nasi tomato. Harap dipermudahkan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain