PENANTIAN satu penyeksaan. Itulah yang dapat digambarkan situasi wanita ini dan keluarganya yang saban hari menunggu kepulangan adik lelakinya. Menurut Wan Mahani Wan Ismail, adik lelakinya Wan Mohd Hadi, 41, keluar dari rumah bapanya di Alam Impian, Shah Alam pada 26 Januari lalu dan tidak pulang sehingga hari ini. ARTIKEL BERKAITAN: Tolonglah, ini ikhtiar terakhir sebelum isytihar tokwan dah mati... hampir 10 tahun, kes atuk hilang bersama kereta Kancil masih misteri, tapi naluri mak kata masih hidup ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ditinggalkan sejak usia 6 bulan harapkan ‘hadiah’ bermakna di hari bahagia, tak pernah putus asa mencari... - “Pulanglah demi nenek” Hampir 50 hari tanpa khabar berita mahupun sebarang petunjuk, wanita ini berkata apa yang membimbangkan mereka sekeluarga adalah keadaan kesihatan adik lelakinya kerana dia perlu mengambil ubat secara berterusan ekoran menghidap skizofrenia. Memperincikan semula detik sebelum Wan Mohd Hadi hilang, Wan Mahani berkata adik lelakinya itu keluar rumah sekitar pukul 2.30 pagi ketika bapa dan seorang lagi adik perempuannya sedang tidur. "Dia keluar sehelai sepinggang dan hanya membawa beg sandang berwarna merah. Kad pengenalan dan dompetnya tak bawa... ada di rumah. Pengawal keselamatan beritahu nampak dia keluar dan maklumkan kepada kami. Wan Mohd Hadi kali terakhir dilihat pada 26 Januari lalu. "Info mengatakan kali terakhir dia berada di kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Kandis. "Tiga hari dia tak pulang, kami buat laporan polis. Namun sehingga kini usaha pencarian seperti tiada perkembangan sebab tak ada petunjuk. Telefon bimbitnya juga dah tak boleh dihubungi, itu yang makin sulit," ujar wanita berusia 45 tahun ini. Menurut Wan Mahani, mereka sekeluarga tidak mampu untuk 'goyang kaki' dan hanya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis semata-mata. Justeru, dia dan keluarganya melakukan pelbagai cara sebagai ikhtiar untuk menemukan semula Wan Mohd Hadi. Kami sendiri tak senang duduk sebab adik sendiri tak tahu khabar beritanya apatah lagi Ramadan hampir tiba. WAN MAHANI KAKAK "Kami buat poster untuk war-warkan kehilangannya, buat hebahan di media sosial. Dalam pada itu, ada juga sumber mengatakan adik ketika ini dekat sempadan Johor Melaka. "Mungkin kerana adik sendiri tak boleh terangkan memandangkan keadaan kesihatan mentalnya, malah dia juga tiada sebarang dokumen pengenalan... sebab itu orang tak tahu bagaimana nak menghubungi kami," ujarnya yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik. Menurut Wan Mahani lagi, mereka adik beradik juga sudah puas mencari di lokasi berhampiran serta kawasan yang sering dikunjungi adiknya, selain membuat carian di hospital serta masjid-masjid yang berdekatan, namun hampa. "Inilah kali pertama kami tak dapat hubungi dia... lost contact terus. Kami risau dengan keselamatan dan kesihatannya. Kami risau dia jatuh ke tangan orang yang tak baik. "Sudah hampir 50 hari tak dengar apa-apa berita, ayah adalah orang yang paling risau sebab rindukan anak keempatnya itu. Poster yang dibuat untuk mengwar-warkan kehilangan Wan Mohd Hadi. "Setiap hari bangun tidur dia akan tanya mengenai berita pasal adik. Kami tak tahu nak beri jawapan apa. Kami minta dia jangan risau sebab kami akan usaha cari. "Kami sendiri tak senang duduk sebab adik sendiri tak tahu khabar beritanya apatah lagi Ramadan hampir tiba," ujarnya lagi sambil menambah, adiknya masih bujang. Sehubungan dengan itu, Wan Mahani memohon jasa baik orang awam untuk membantu keluarganya mengesan adik lelakinya itu. "Kami berharap bila berita ini viral, ada pihak buka mata dan tergerak hati nak hantar dia... hantar dekat balai polis pun ok dah. "Buat masa ini, selain ikhtiar-ikhtiar yang lain, kami hanya mampu berdoa dan melakukan solat hajat. Tiada apa yang kami harapkan melainkan berlaku keajaiban tidak lama lagi," akhirinya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI