suria

Gadis insaf berniaga depan kubur! Kakak jadi mangsa kena teman jika ada kematian, boleh COD jika pelanggan seram datang gerai

JIKA kebanyakan orang memilih untuk menyambung pengajian selepas tamat sekolah, gadis ini memilih untuk berniaga.

Menurut Siti Fatin Nasuha, dia lebih berminat untuk menjual makanan berbanding meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sejurus tamat persekolahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dia tanya banyak kali 'kenapa kedai akak seram sangat?'

ARTIKEL BERKAITAN: Dah nak tengah malam, perjalanan rider silap simpang berakhir di kubur... tak terfikir gangguan mistik, cuma risau kena prank - "Ada nampak lembaga bawah khemah"

Gerai jualan gadis berusia 21 tahun ini menjadi tarikan ramai apabila dia menjual kerabu Maggi dan burger di hadapan tanah perkuburan.

Mesra disapa Maklang, dia berniaga makanan ini secara berseorangan sahaja setiap hari bermula jam 12 tengah hari sehingga 11.30 malam.

"Kedai tu sebenarnya abang saya yang mula berniaga dulu. Tapi tak lama lepas tu dia dapat tawaran kerja di negeri lain. Saya rasa sayang pula kalau biarkan macam tu je jadi saya buat keputusan ambil alih berniaga.

"Jadi saya pun mulakan perniagaan dan bagi nama kedai tu Gerai Maklang sebab saya seorang je berniaga. Sebenarnya gerai tu pun sudah dikenali masa abang berniaga dulu lagi.

"Abang buka kedai dekat situ sebab tempatnya strategik terletak dekat jalan utama keluar masuk kampung. Cuma kedai dia betul-betul depan kubur. Sebelum ni kubur tu ada pagar tapi sudah diruntuhkan jadi setiap hari berniaga memang saya hadap kubur," jelasnya.



Keadaan gerai Maklang pada waktu malam di Bukit Kechik, Kelantan.

Maklang turut menjelaskan bahawa rumahnya yang terletak di Bukit Kechik, Kelantan juga terletak bertentangan dengan tanah perkuburan.

Ujar Maklang, dia sudah terbiasa melihat tanah perkuburan ini sejak kecil, bermula dengan sedikit sahaja ahli kubur dan kini sudah dipenuhi dengan 'penghuni'.

Walaubagaimanapun, menurutnya dia tidak pernah diganggu dengan sebarang gangguan mistik sepanjang tempoh berniaga di kawasan itu.



Keadaan gerai Maklang pada waktu siang yang turut menyeramkan.

"Sejak habis SPM, sudah lebih tiga tahun saya berniaga kat depan kubur ni. Memang saya akan berniaga sampai lewat malam pun setiap hari. Kalau ramai orang datang, saya tutup lewat sikit.

"Selepas pagar kawasan kubur diruntuhkan seramlah juga. Tambah lagi kalau ada kematian, saya takut juga. Saya akan minta kakak teman sebab lepas pukul 10 malam, jalan tu agak sunyi.

"Cuma kebanyakan orang dekat kampung ni pun dah terbiasa jadi mereka tak takut nak datang beli. Tapi ada juga yang takut nak datang malam-malam, jadi yang mana tinggal dekat kawasan Tanah Merah, saya pergi hantar je naik motosikal," kata Maklang.



Perkongsian Maklang keadaan gerainya untuk berniaga burger dan kerabu maggi.

Bercerita lanjut mengenai video tular sehingga meraih hampir 1 juta tontonan di TikTok itu, Maklang menerima banyak mesej di ruangan komen.

"Ni kedai adik aku, kalau hari dia takut aku yang kena teman. Tapi tak apa janji dapat makan kerabu free sambil insaf tengok batu nisan.

"Karang datang, tahu tahu esok pagi orang kampung cakap 'kedai makan tu dah lama tutup' hmm seram.

"Sambil membeli sambil mengingat kematian,” merupakan antara beberapa komen yang ditulis.



Maklang tidak mengambil hati malah menganggap bahawa komen pada video di TikTok sebagai jenaka sahaja.

Namun begitu, jelas gadis ini dia tidak mengambil hati malah menganggap bahawa komen tersebut sebagai jenaka sahaja.

Malah, ada yang meminta Maklang menceritakan pengalaman mistik yang pernah berlaku sepanjang dia berniaga namun jelasnya tiada sebarang 'kekacauan' berlaku setakat ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain