MASIH ingatkah anda kes pasangan suami isteri yang tertukar bayi mereka dengan anak pasangan lain pada Jun tahun lalu? Kes melibatkan Sti Suriani Wahidin dan suami, Mohammad Syafiq Irfan Azman yang tertukar bayi dengan pasangan Diana Hanani Abdullah dan Muhammad Khairulazman hangat menjadi perbualan netizen pada waktu itu. Dalam perkembangan terkini, pihak peguamcara memberitahu bahawa Permohonan Penzahiran pasangan itu telah dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam di mana pihak Hospital Umra diperintah membayar kos sebanyak RM1,000 kepada pasangan itu. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sebab duit! Siti Jamumall, Diana Hanani nekad teruskan saman kes tertukar bayi ARTIKEL BERKAITAN: Bayi tertukar: Suami isteri terganggu emosi, sanggup selongkar sampah cari bukti sebab dah mula rasa sayang - “Tengok anak kami, teringat bayi satu lagi” Susulan itu juga, pada 22 Mac 2022 lebih kurang pukul 1.30 petang, Siti Suriani dan Diana diiringi peguamcara Marcus Tan & Co telah mengadakan sesi live di page Facebook Jamumall.com berkenaan status terkini kes bayi tertukar pada tahun lalu (2021). Kes melibatkan dua keluarga ini gempar pada tahun lalu. "Susulan keputusan Mahkamah Sesyen itu, pihak Hospital Umra telah memfailkan satu rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan semua pihak terbabit akan mendapatkan arahan lanjutan daripada Mahkamah Tinggi selepas ini," ujar kenyataan tersebut. Dalam pada itu, sesi live menerusi Facebook pada Selasa turut menampilkan dua wanita itu bersama anak masing-masing yang pernah tertukar pada Jun tahun lalu. Menurut Siti Suriani yang turut dikenali sebagai Siti Jamumatill, tindakan undang-undang itu tidak dibuat berlandaskan faktor wang, sebaliknya sebagai peringatan kepada semua pihak agar berhati-hati pada masa akan datang. Kecuaian ini adalah perkara yang sangat-sangat serius. Kalau saya tak tahu, saya mungkin tak jumpa anak saya. SITI SURIANI "Saya tidaklah berniat kerana duit untuk melakukan tindakan ini. Saman ini bukan kerana duit semata-mata tapi saya nak menyampaikan mesej penting kepada semua supaya berhati-hati bagi dua-dua belah pihak (ibu bapa dan hospital) supaya kejadian ini tak berlaku. "Kecuaian ini adalah perkara yang sangat-sangat serius. Kalau saya tak tahu, saya mungkin tak jumpa anak saya," ujar Siti Suriani dalam sesi live tersebut yang turut dihadiri kedua-dua bayi berkenaan. Kedua-dua bayi berusia sembilan bulan itu, masing-masing Aiman adalah anak Siti Jamumall, manakala Aysar adalah anak Diana. Dalam sesi live berkenan, peguamcara Marcus Tan & Co turut memaklumkan bahawa bayaran kos awal itu yang diperintahkan dibayar itu bagaimanapun belum diterima dua wanita berkenaan. Menurut peguam berkenaan yang dikenali sebagai Stanley, setakat ini, kes yang memasuki sembilan bulan itu masih diperingkat awal dan perintah bayaran RM1,000 itu memihak kepada Siti dan Diana untuk kos pengurusan kes sahaja. Katanya, sekiranya kes berkenaan mencapai tahap tindakan saman, jumlah tuntutan yang diterima besar kemungkinan adalah lebih tinggi bagaimanapun tempoh untuk tiba ke peringkat seterusnya dijangka antara enam ke sembilan bulan lagi. "Buat masa ini, kami masih belum mendapat identiti doktor dan jururawat yang mengendalikan kes berkenaan tetapi sehingga kini tidak menerima maklumat lengkap individu terlibat iaitu nama penuh, nombor MyKad dan alamat pihak terlibat untuk meneruskan tindakan saman," katanya yang mengesahkan pihak hospital terlibat tidak mengakui kesilapan yang dilakukan hingga menyebabkan bayi pasangan itu tertukar. Dua bayi ini pernah tertukar selepas dilahirkan di hospital tahun lalu. Untuk rekod, negara gempar pada Jun lalu berikutan kes pertukaran dua bayi berkenaan. Siti Suriani pada waktu itu berdepan detik cemas apabila menyedari anaknya yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi pasangan lain, selepas suaminya mendapati tanda nama pada bayi tersebut bukan tertera namanya sebagai ibu. Dia dan suami kemudiannya menghubungi pihak hospital sebelum bergegas ke sana pada malam 12 Jun 2021 dan menerima pengesahan pertukaran bayi. Siti Suriani dan suami pada waktu itu turut membuat laporan polis dan khidmat peguam bagi menguruskan insiden berkenaan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI