suria

Takut dimarahi keluarga kerana hamil, remaja 17 tahun sanggup mengaku dirogol

Remaja hamil membuat laporan polis palsu dakwa dirogol.

SEORANG remaja perempuan sanggup membuat laporan palsu kononnya dia disamun dan dirogol dalam kejadian pada tahun lalu kerana bimbang dimarahi keluarga.

Kes melibatkan remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah itu adalah salah satu daripada 100 kes laporan palsu yang direkodkan Polis Pulau Pinang sepanjang tahun 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam! Wanita 87 tahun terlantar di katil dirogol

ARTIKEL BERKAITAN: Polis dedah rakaman suspek rogol dukung mangsanya dan berjalan dalam bandar sebelum serangan dilakukan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selain daripada kes tersebut, 99 kes laporan palsu yang direkodkan melibatkan pelbagai motif antaranya kehilangan kad pengenalan dan salah guna wang.

"Mengikut statistik, sebanyak 463 kes samun dilaporkan sepanjang tahun lalu namun apabila disiasat, 100 daripadanya didapati laporan palsu termasuk remaja yang mendakwa telah disamun dan dirogol.

"Pecahan kes adalah 74 kes melibatkan kehilangan kad pengenalan, salah guna wang (lapan), elak bayar hutang (empat), lima kes melibatkan kehilangan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), terlibat pergaduhan (tiga), ponteng kerja (dua), tuntutan insurans (dua), mengandung (satu) dan restu keluarga untuk berkahwin (satu).

"Dengan pecahan itu, jumlah peratusan laporan palsu yang diterima sepanjang tahun lalu adalah 21.6 peratus," katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Katanya, 11 kes laporan palsu melibatkan samun direkodkan sepanjang dua bulan pada tahun ini.

"Sebanyak 11 kes tersebut melibatkan kehilangan kad pengenalan (dua); hilang pasport (dua) dan masing-masing satu untuk tuntutan insurans, ditipu pelaburan dan salah guna harta," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain